Statistik lagi, setakat itu sahajakah? - Utusan Malaysia

Statistik lagi, setakat itu sahajakah?

Statistik kes Covid-19 yang diumumkan setiap hari dilihat hanya menimbulkan panik, perasaan tidak selamat dan setakat menjadi topik perbualan dengan rakan semasa sesi teh tarik. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim semasa mengulas cara kerajaan menguruskan penularan Covid-19 menegaskan, apa yang orang ramai perlukan sekarang adalah perancangan jelas untuk minggu dan bulan hadapan, bukannya sekadar memberi statistik setiap hari.

Ada benarnya kenyataan beliau itu kerana selepas setahun berada dalam selimut Covid-19, rakyat sudah bernorma baharu apabila dihidangkan statistik demi statistik tentang data pandemik.

Persoalannya sekarang, adakah statistik itu masih relevan diumumkan setiap hari selepas setahun dihidangkan dengan perkara sama setiap petang? Adakah statistik itu dihidangkan lagi saban hari bagi tempoh berbulan akan datang? Pastinya akan tambah satu lagi kemas kini selepas ini, iaitu bilangan yang telah menerima vaksin.

Saya tertanya dan mungkin saya silap, apakah kesan statistik itu kepada rakyat selain hanya menimbulkan panik, perasaan tidak selamat ataupun setakat menjadi topik perbualan dengan rakan semasa sesi teh tarik?

Persoalan seterusnya, apakah dapatan statistik itu membantu kehidupan rakyat atau memberi keyakinan tentang cara kerajaan menguruskan pandemik?

Menonton CNN, BBC, Al Jazeera, Sky News, CNA dan beberapa lagi stesen berita luar negara, tidak pula kelihatan menteri atau pegawai kerajaan muncul setiap hari membuat pengumuman tentang statistik pesakit, angka kematian dan berapa ramai yang sudah disuntik dengan vaksin Covid-19 di negara mereka.

MENGERIKAN

Di Britain misalnya, negara yang jumlah kes Covid-19 cukup mengerikan pada ukuran orang Malaysia, tiada siaran langsung setiap hari untuk umum angka macam kita. Yang ada, siaran langsung sekali sekala oleh menteri dan pegawai berhubung polisi kerajaan. Sementara Boris Johnson (Perdana Menteri) apabila muncul, sentiasa bercakap dengan jelas menyuarakan keyakinan, semangat kepada warga Britain dalam menghadapi kesukaran semasa.

Warga Malaysia mahu melihat lebih daripada setakat angka kes Covid-19. Selepas setahun, kita memerlukan pendekatan baharu, bukan setakat umum angka sahaja. Berikan keyakinan kepada kami, apa rancangan kerajaan. Berkomunikasilah dengan kami selaku rakyat dengan jelas, telus dan jujur, wahai kerajaan.

Ya, berbalik kepada kisah statistik, walaupun angka itu menjemukan bagi sebilangan orang, kita sebenarnya telah diacukan sedemikian sudah lama.

Lihat sahaja semasa banjir, kita dihidangkan dengan jumlah mangsa, angka berpindah, bilangan lokasi terlibat.

Begitu juga apabila ada Ops sikap semasa musim perayaan. Kita diberitahu setiap hari, berapa banyak kemalangan, berapa ramai cedera dan berapa ramai yang meninggal dunia akibat kecelakaan di jalan raya.

Kita sebenarnya terpaksa menerima sahaja cara kerajaan yang suka umumkan angka.

PENULIS ialah perunding media.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN