Selalulah beri salam ketika Covid-19 - Utusan Malaysia

Selalulah beri salam ketika Covid-19

Apabila seseorang hilang pekerjaan, secara tidak langsung dia hilang pendapatan seterusnya terdedah kepada risiko kemiskinan. –Gambar hiasan/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Penularan pandemik Covid-19 meningkatkan kadar pengangguran di negara kita. Kadar tertinggi direkodkan pada Mei 2020 dengan 826,100 warganegara dilaporkan tidak mempunyai pekerjaan.

Angka ini kemudiannya menurun kepada 748,200 pada Oktober 2020. Berdasarkan rekod Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pula, seramai 99,696 orang diberhentikan kerja bagi tempoh Januari sehingga November 2020. Angka ini jauh lebih tinggi dari 2019 dan 2018, iaitu masing-masing 40,000 dan 24,000.

Apabila seseorang itu hilang pekerjaan, secara tidak langsung ia hilang pendapatan, seterusnya mendedahkan masyarakat kepada risiko kemiskinan. Laporan Family on the Edge (siri 2) yang diterbitkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), kisah-kisah berkaitan permohonan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), cerita-cerita masyarakat yang ditunjangi watak-watak seperti Ustaz Ebit Liew atau Uncle Kentang, sudah memadai untuk menjelaskan kesusahan dan kesengsaraan yang dialami masyarakat kini.

Apapun dalam suasana sekarang, unsur kemanusiaan adalah elemen paling mustahak diperlukan bagi mendepani kesan pandemik ini. Dalam Islam, unsur kemanusiaan dititik berat. Malah, amalan memberi bantuan dan berbuat baik sesama insan terutama mereka yang lemah dan ditindas sama ada berbentuk kewangan ataupun bukan kewangan adalah sangat dituntut oleh Islam. Bahkan dalam banyak keadaan, tuntutan berbuat baik bukan pilihan tetapi suatu kewajipan perlu ditunaikan oleh mereka yang berkemampuan.

Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis nabi menyuruh umat Islam berbuat kebaikan. Amalan bersedekah, berzakat, berwakaf, menghormati jiran, membantu orang yang lemah atau dizalimi mahupun dalam kesusahan, menziarahi kematian atau melawat orang sakit dan sebagainya merupakan beberapa manifestasi kepada prinsip kemanusiaan yang dianjurkan oleh syariah.

Jika diamati dengan teliti, aspek kemanusiaan yang dianjurkan Islam bukan bersifat material semata-mata. Ia turut meliputi unsur kemanusiaan dalam bentuk dorongan emosi dan sokongan moral kepada mereka di sekeliling kita yang memerlukan dalam bentuk sedemikian.

Semasa Nabi SAW berhijrah ke Madinah, antara perkara pertama yang diucapkan baginda: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berilah makan (kepada yang memerlukan), sambungkanlah silaturrahim, solatlah di waktu malam ketika manusia sedang tidur, nescaya kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” (hadis diriwayatkan oleh Tirmizi).

SILATURAHIM

Dalam hadis ini, penekanan kepada unsur kemanusiaan dijelaskan oleh baginda dalam bentuk yang paling mudah sekali untuk dilaksanakan oleh manusia, iaitu dimulakan dengan ucapan salam.

Memberi salam merupakan satu bentuk penekanan kepada kepedulian dalam Islam.

Apabila memberi salam, kita sebenarnya mendoakan kesejahteraan kepada orang lain dan pada masa sama, menzahirkan sikap mengambil berat terhadap saudara kita. Dari sini, jika saudara kita dalam kesempitan maka kita perlu membantunya baik dari segi material mahupun emosi. Seterusnya keakraban akan terhasil dan silaturahim dapat diperkukuh. Apabila silaturahim wujud, aspek-aspek lain seperti bantu-membantu dan tolong-menolong akan terhasil. Jadi, bertitik tolak daripada kepedulian menerusi ucapan salam, secara tidak langsung masalah-masalah yang dihadapi oleh jiran dan masyarakat sekeliling dapat diatasi. Insentif yang dijanjikan oleh Islam kepada mereka yang berbuat baik sesama manusia dan pada masa sama tidak mengabaikan hubungannya dengan Yang Maha Pencipta ialah balasan syurga.

Dalam konteks mendepani pandemik Covid-19 dan kesan yang dibawanya, unsur kemanusiaan dan kepedulian seperti dianjurkan oleh Islam ini seharusnya disuburkan bagi membantu mereka yang terkesan.

INFAQ

Bagi mereka yang kehilangan punca pendapatan dan jatuh miskin, kepedulian kita boleh ditunjukkan menerusi bantuan makanan, kewangan mahupun kemahiran bagi membantu golongan ini mencari punca pendapatan altenatif. Sebarang bentuk bantuan yang diberikan dengan ikhlas akan diberi ganjaran oleh Allah SWT, baik bantuan tersebut diberikan kepada orang Islam mahupun bukan Islam hatta haiwan sekalipun. Ini selaras dengan sabda Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari bermaksud: “Setiap kebaikan itu adalah sedekah.” Kebaikan di sini merujuk segala bentuk manfaat yang diberikan kepada orang lain baik perbuatan atau perkataan.

Seperkara yang perlu ditegaskan di sini ialah jika kita berbuat baik dalam bentuk infaq, harta kita sebenarnya tidak akan berkurang. Ini sebagaimana yang dijanjikan Allah di dalam ayat 39 surah Saba’ bermaksud: “Dan apa saja yang kamu nafkahkan (dermakan), maka Allah akan menggantikannya dan Dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.” Hal ini turut dikuatkan oleh satu hadis diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Sedekah itu tidak akan mengurangi harta.”

Pada masa sama, unsur kemanusiaan juga perlu dizahirkan oleh masyarakat kepada petugas barisan hadapan yang terpaksa mengorbankan kesenangan dan keselesaan mereka demi memastikan wabak ini dapat dikekang. Sokongan moral dan emosi perlu ditunjukkan kepada mereka. Dalam suasana kelaziman baharu, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasa oleh pihak berwajib perlu diikuti oleh masyarakat. Pematuhan kepada perkara ini bukan sahaja dapat membantu para petugas ini menjalankan amanah dengan berkesan, malah dapat mengurangkan tekanan emosi berikutan kurang karenah masyarakat yang perlu dihadapi.

Sebenarnya jika kita mengkaji lebih mendalam, ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis nabi, kita akan mendapati ajaran Islam memberi perhatian yang serius terhadap prinsip kemanusiaan ini. Yang menariknya ialah aspek kemanusiaan dalam Islam turut menjadi satu asbab yang mendekatkan diri seseorang hamba dengan Allah SWT.

Justeru, dalam mendepani pandemik Covid-19, kita tidak seharusnya menjadikan cabaran-cabaran yang muncul sebagai satu kekangan kepada penyuburan unsur kemanusiaan sesama insan. Bagi yang berkemampuan baik dari segi kewangan mahupun ilmu pengetahuan, kelebihan yang ada ini perlu dikongsi dengan mereka yang kurang bernasib baik. Pada masa sama, sokongan moral juga perlu diberikan kepada pasukan petugas hadapan bagi menguatkan semangat mereka dalam mengharungi cabaran semasa menjalankan tugas yang diamanahkan.

PENULIS ialah Felow, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN