BARU-BARU ini, ahli akademik dikejutkan dengan kenyataan bekas Pengarah Institut Teknologi Mara (ITM) pertama, Tun Dr. Arshad Ayub yang mempertikaikan kualiti profesor di negara ini. Beliau menyeru kerjasama lebih erat antara golongan profesor dan profesional dilakukan bagi menghasilkan idea lebih bernas untuk pembangunan negara.
Sebagai pensyarah, saya akui kenyataan beliau memang ada benarnya. Namun, untuk mengatakan semua profesor tidak berkualiti adalah tidak adil kepada komuniti akademik di negara ini.
Sebelum dilantik memegang jawatan pensyarah, saya pernah bekerja di syarikat perundingan dan syarikat kontraktor. Saya juga pernah menjadi penyelidik bagi sebuah syarikat aeroangkasa utama di United Kingdom bagi menyelesaikan masalah hingar pada kapal terbang. Untuk meneruskan kerjasama dengan syarikat ini, saya menubuhkan Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC) di Malaysia. AMIC adalah pusat penyelidikan aeroangkasa yang diterajui oleh Airbus dan Rolls Royce.
Pengalaman lebih lima tahun menyelesaikan masalah industri, saya guna sepenuhnya untuk membantu melahirkan generasi pelajar yang mampu meningkat kualiti kehidupan manusia.
Saya memang dapat memahami kekecewaan dari lubuk hati Tun Arshad, tentang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh golongan profesor di negara kita.
Selama berkhidmat di universiti, saya dapati masih ramai ahli akademik keliru dengan istilah ciptaan (invention) dan inovasi. Rakan saya dari Jerman pernah menerangkan istilah ini dari sudut pandangan pihak industri. Perbezaan dua istilah ini amat besar walaupun di peringkat universiti ia dilihat hampir sama. Bagi industri yang terlibat dengan penyelidikan dan pembangunan (R&D), istilah ciptaan merujuk kepada penggunaan sejumlah wang bagi menghasilkan satu bentuk ilmu baharu atau prototaip. Inovasi pula merujuk kepada penggunaan ilmu atau prototaip tersebut bagi menjana keuntungan atau meningkat nilai kualiti kehidupan.
Selain melahirkan graduan, universiti juga berfungsi menghasilkan sesuatu idea atau ciptaan baharu. Malangnya, amat kurang ciptaan tersebut berjaya diinovasikan bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.
Kebanyakannya hanya berakhir sebagai prototaip yang tidak dapat diketengahkan menjadi produk komersial. Komunikasi antara penyelidik di universiti dan industri juga menjadi faktor utama menjadikan hubungan mereka tidak mesra. Mungkin pengalaman silam menyebabkan mereka bersikap sedemikian.
Pelbagai inisiatif dilakukan sejak lebih 10 tahun lalu untuk merapatkan jurang ini. Banyak aktiviti berlaku, namun tahap pengkomersialan masih lagi di takuk lama. Keadaan terjadi kerana ahli akademik bertaraf profesor mungkin sudah berpuas hati dengan hasil kerja mereka berikutan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan oleh universiti hanyalah geran penyelidikan dan penerbitan jurnal.
LITTLE NAPOLEON
Namun, untuk membandingkan sumbangan golongan profesor sekarang dengan arwah Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid mungkin agak kurang tepat kerana ketika zaman 1960-an dan 1970-an, hanya ada beberapa orang bertaraf profesor di Malaysia. Kebanyakan idea oleh profesor ketika itu akan terus diterima oleh kerajaan bagi tujuan membangunkan negara.
Dengan bilangan profesor lebih 2,000 orang, agak sukar mengetengahkan idea terbaik untuk negara. Bahkan mereka terpaksa bersaing pula membentangkan idea untuk diterima oleh kerajaan.
Jika ditambah isu blue eyes syndrome dan Little Napoleon di sektor awam, keadaan menjadi lebih sukar.
Namun bagi yang benar-benar menyerlah sumbangannya, mereka dihargai dengan anugerah Profesor Ulung, Tokoh Akademik Negara atau Anugerah Merdeka. Namun sehingga kini, ahli akademik kita masih gagal lagi dianugerahkan Hadiah Nobel.
Secara umumnya, seseorang yang bergelar profesor pada zaman Tun Arshad boleh juga dianggap seorang pemikir untuk membantu negara. Walaupun ramai profesor pada zaman ini sudah bersifat seorang pemikir, namun kebanyakannya hanya memfokus bidang kepakaran masing-masing.
Mereka tidak dilibatkan membentuk polisi baharu dalam negara. Golongan ini akhirnya tidak berminat untuk terlibat menangani isu ekonomi dan politik negara. Seseorang profesor yang berjiwa pemikir akan mencari ruang dan peluang mengikut kepakaran mereka, cuba menyelesaikan masalah rakyat.
Seorang profesor perlu berjiwa besar. Walaupun ada pihak yang menolak idea dan cadangan mereka, tidak boleh cepat berputus asa jika merasakannya baik untuk negara. Mereka sepatutnya berpegang pada pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama. Namun, bukanlah nama yang sepatutnya menjadi cita-cita tetapi amal jariah hasil sumbangan mereka yang harus difikirkan. Sebelum bersara, harus ada perasaan kecewa jika mereka gagal menyumbang sesuatu kepada negara.
Sekurang-kurangnya boleh berasa bangga apabila terdapat graduan yang mereka didik di peringkat universiti mampu meningkatkan taraf hidup rakyat dengan cara menyediakan peluang pekerjaan dan bukannya berebut peluang pekerjaan di negara kita.
DR. Mohd. Roshdi Hassan ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM).










