Sekiranya ditanya kepada kebanyakan kita, siapakah yang kita sentiasa ingat dalam proses pendidikan memahami kehidupan beragama? Pastinya ramai akan menyebut guru yang mengajar mereka membaca al-Quran. Antara insan yang saya sentiasa kenang dalam proses menjadi manusia ialah guru mengajar al-Quran ketika kanak-kanak iaitu Allahyarham Ustaz Siraj Wafer di Bagan Serai, Perak dan Allahyarham Abang Mohammad di Padang Besar, Perlis.
Kedua-dua mereka berbeza latar belakang. Ustaz Siraj ialah guru agama di sekolah rendah manakala Abang Mohammad seorang anggota polis. Walaupun berbeza dari segi latar belakang, namun dari segi kesungguhan, sentuhan dan pastinya kesan daripada ajaran mereka amat membekas dalam diri saya dan rakan-rakan. Kehidupan beragama yang mereka cuba pasakkan dalam diri kanak-kanak seperti saya amat jelas, mudah dan penuh kecaknaan tanpa dinafikan sifat tegas dan garang itu masih wujud dalam daerah kesantunan seorang guru kepada muridnya.
Demikianlah tabiat agama ini yang mula dibawa oleh junjungan mulia SAW. Identiti awal Muhammad Bin Abdullah SAW yang dikenali oleh penduduk setempat di Mekah bukannya sebagai seorang jagoan yang gagah, pemidato yang petah, rupawan yang indah atau bangsawan yang gah, walaupun kesemua itu ada pada baginda SAW.
LUCAH
Namun, ketinggian budi dan keluhuran akhlak yang menjadi identiti pengenalan kepada baginda hinggakan gelaran Al-Amin (yang beramanah) menjadi sebahagian daripada panggilan diri.
Penegasan ayat, “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” (Riwayat Ahmad) menunjukkan betapa penting soal keluhuran akhlak menjadi misi utama agama ini.
Dalam keadaan agama Islam yang didambakan menjadi sumber ketenangan oleh jutaan insan, amat menyedihkan apabila mesej dan pengajarannya terkadang disampaikan dalam rupa yang jelik, kasar dan lucah oleh si penyampainya atau lebih mudah dikenali sebagai pendakwah atau ustaz. Tambah memalukan apabila golongan ini berhujah bahawa kekasaran, kelucahan dan kejelikan dalam perkataan serta kelakuan mereka adalah sebahagian daripada daerah ‘hikmah’ yang Allah SWT pertegaskan dalam surah An-Nahl ayat 125 berbunyi:
“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Tidakkah pendakwah atau ustaz ini menyedari hikmah disebutkan dalam kalam mulia ini sepertimana ditafsirkan oleh jumhur (majoriti) mufasir dengan maksud hujjah atau dalil seperti disyarahkan oleh al-Baidhawi, al-Alusi, an-Nisaburi, al-Khazin dan an-Nawawi yang mengaitkan seruan dengan hikmah ini kepada hujjah yang tertuju pada akal. Bukankah satu jenayah akhlak sekiranya dihujahkan lagi bahawa kekasaran, kejelikan dan carutan itu adalah persis seperti sahabat baginda SAW yang mulia iaitu Amirul Mukminin Umar Al-Khattab ra.?
Benar Umar Al-Khattab itu tegas, namun beliau bukanlah seorang yang jelik tutur kata dan perilakunya bahkan dicatatkan dalam beberapa kisah sejarah betapa luhurnya Umar Al-Khattab dalam melayani kaum keluarga dan golongan yang tidak seakidah dengannya.
Kalaulah dihujahkan pula bahawa perlu kata-kata yang kasar, jelik dan carut itu kerana ingin menyentap dan memberikan kesedaran kepada dhamir hati yang degil, adakah Firaun lebih lembut hatinya apabila Allah SWT mengarahkan Nabi Musa as. untuk berlunak kata terhadap Firaun yang Allah sendiri menyebut dalam ayat sebelumnya bahawa dia telah melampaui batasan sepertimana firmannya dalam surah Thaha (ayat 43-44), yang bermaksud: “Pergilah kamu berdua kepada Firaun. Sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, Mudah-mudahan ia ingat atau takut.”
Pada akhirnya, setiap pendakwah dan ustaz perlu sedar bahawa tutur kata, perilaku dan perbuatan itu adalah cerminan kepada tahap akal dan budi kita. Bukanlah negeri asal, tempat pengajian mahupun status kedudukan menjadi justifikasi untuk kita sandarkan carutan, kejelekan dan kebobrokan tingkah laku.
BANGGA
Malang sekali sekiranya dengan modal kepetahan, kedudukan, pengetahuan dan sedikit kelebihan yang Allah kurniakan, tidak kita gunakan sebaiknya untuk memperkenalkan agama Allah ini dalam rupa yang baik.
Tidakkah terfikir, sekiranya masih ada yang tertarik dengan pendekatan kita yang buruk itu? Bukan sahaja meninggalkan satu sunnah yang buruk kepada pengikut kita selepas itu, bahkan mungkin satu istidraj daripada Allah untuk terus membiarkan kita dalam perbuatan yang akhirnya akan dibalas di kemudian hari?
Cubalah bayangkan sekiranya Rasulullah SAW hadir mendengar kuliah atau ceramah yang menerangkan ajaran dibawa oleh baginda SAW dengan disulami carutan, kelucahan dan makian, adakah baginda akan tersenyum bangga atau sebaliknya?
Demikianlah iltizam kami di Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), bukan sekadar serius untuk melahirkan pendakwah yang petah lidahnya, namun santun juga perilakunya. Bukan sekadar luas ilmunya tetapi juga tinggi budinya. Bukan sekadar teguh hujahnya, namun terbuka kepada kritikan serta kepelbagaian.
Bagi kami, dakwah ini bukan sekadar seruan kepada yang mendengar tetapi juga bukti tanggungjawab seorang hamba yang perlu dilunas dan dipersembahkan sebaiknya kepada Allah SWT tanpa mengira latar belakang sama ada Ustaz Siraj atau Abang Mohammad kita. Moga Allah terima!
PENULIS ialah Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).










