APABILA diajukan lontaran daripada seorang rakan politik tentang satu istilah atau konsep percaturan saingan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dikenali vote transferable, penulis ‘tersentak’ seketika.
Boleh jalankah (berjaya)? Kalau tak silap pada PRU 2004, konsep ini sudah dipraktikkan ketika Pas bersekutu dengan PKR berdepan Barisan Nasional (BN) di Kelantan.
Berikut keputusannya:
PRU 2004
P.021 Kota Bharu (61,409 undi)
– Datuk Zaid Ibrahim (BN) 23,831
– Nik Mahmood Nik Hassan (PKR) 22,108
N.08 Tanjong Mas (17,273)
– Che Mansor Adabi Che Hassan (BN) 5,226
– Rohani Ibrahim (Pas) 8,015
N.09 Kota Lama (24,787)
– Leong Su Siang (BN) 9,120
– Datuk Anuar Tan Abdullah (Pas) 9,156
N.10 Bunot Payong (19,349)
– Sekh Mohd. Ruzi Sekh Ahamad (BN) 6,409
– Takiyuddin Hassan (Pas) 8,340
Dalam PRU 1999, kerusi Parlimen Kota Bharu dimenangi Ramli Ibrahim (PKR) dengan majoriti 10,206 undi berbanding kekalahan teruk dihadapi Nik Mahmood dengan 1,723 undi di tangan Zaid pada 2004.
Rumusannya, vote transferable yang disyorkan, dengan dua parti sekutu mengagihkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti A manakala kerusi Parlimen oleh parti B dalam berdepan lawan mereka, terbukti sukar direalisasikan untuk membuahkan kemenangan.
Andai jika itu yang ada dalam benak fikiran Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk berkongsi kesepakatan bertanding menentang lawan dalam PRU-15, mampukah penyokong Pas membezakan untuk memangkah Pas dalam kotak kerusi DUN manakala Bersatu untuk kotak Parlimen di atas kertas undi?
Bagaimana pula katakan UMNO bersepakat dengan PKR atas konsep sama, vote transferable di kerusi Parlimen Tanjong Malim dalam PRU-15? Mari kita lihat:
PRU 2018
P.077 TANJONG MALIM (5,358)
– Chang Lih Kang (PKR) 24,672
Majoriti 5,358
– Dr. Mah Hang Soon (BN) 19,314
– Mohd. Tarmizi (Pas) 10,311
Kerusi DUN di Tanjong Malim
SUNGKAI
– A. Sivanesan (PKR) 9,631
Majoriti 6,493
SLIM
– Datuk Khusairi Talib
(BN) 8,327
Majoriti 2,183
BEHRANG
– Aminuddin Zulkipli
(PKR) 9,770
Majoriti 409
Dan jika Bersatu bertanding kerusi Parlimen Tanjong Malim, adakah orang UMNO serta orang Melayu di DUN Slim akan memberi undi kepada PKR?
Bersatu harus beringat akan janji orang Pas. Dalam PRU 2004, PKR sudah menerima nasibnya. Kerusi-kerusi DUN disapu Pas tetapi rakan sekutu, PKR diketepikan di Parlimen pula dengan orang Pas menyokong BN.
Waima apa pun diperkatakan tentang saingan politik di Semenanjung yang dijangka melibatkan cabaran menguasai kira-kira 125 hingga 130 kerusi Parlimen berteraskan Melayu, percaturan satu
lawan satu tidak dapat disangkal satu formula terbaik.
Didapati sekurang-kurangnya 30 kerusi Parlimen yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-14 tempoh hari akan ‘bermasalah’ dalam PRU-15 andai ‘tiada sebarang cacat cela’ dalam kesepakatan Pas-UMNO menerusi Muafakat Nasional.
Diandaikan, kemenangan BN di 79 kerusi Parlimen dan Pas (18) dalam PRU-14 akan menjadikan gabungan BN/UMNO-Pas menang di 127 kerusi Parlimen (79 + 18 + 30) yang melepasi majoriti mudah 112 kerusi dalam PRU-15, sekali gus membentuk kerajaan.
Kerusi-kerusi berkenaan melibatkan:
– PKR: 14
– Bersatu: 8
– Parti Amanah Negara (Amanah): 6
– DAP: 2
Jumlah 30
Contoh keputusan PRU-14:
1) P. 005 JERLUN
Mukhriz Mahathir (Bersatu)
– PH 18,695
– UMNO+Pas 25,242
Majoriti 6,547
2) P. 006 KUBANG PASU
Amiruddin Hamzah (Bersatu)
– PH 29,984
– UMNO+Pas 30,350
Majoriti 366
3) P. 008 POKOK SENA
Mahfuz Omar (Amanah)
– PH 28,959
– UMNO+Pas 41,791
Majoriti 12,832
4) P. 018 KULIM BANDAR BAHARU
Saifuddin Nasution Ismail (PKR)
– PH 23,159
– UMNO+Pas 31,184
Majoriti 8,025
5) P. 015 SUNGAI PETANI
Johari Abdul (PKR)
– PH 45,532
– UMNO+Pas 46,723
Majoriti 1,191
6) P. 057 PARIT BUNTAR
Mujahid Yusof (Amanah)
– PH 16,753
– UMNO+Pas 25,967
Majoriti 9,214
7) P. 063 TAMBUN
Ahmad Faizal Azumu (Bersatu)
– PH 38,661
– UMNO+Pas 48,289
Majoriti 9,628
Di sebalik itu, idea penjajaran baharu politik yang muncul telah ‘mencuri’ tumpuan ketika sibuk memperkatakan kerjasama UMNO-Bersatu-Pas. Dan kita tidak boleh nafikan realiti politik berbilang kaum. Takkanlah mahu tubuhkan pakatan politik tanpa disertai wakil bukan Melayu? Lihat sahaja di Perak, barisan Exconya 100 peratus Melayu. Ia jajaran politik tidak sihat.
Kita pula jangan terlalu prejudis dengan DAP. Jangan lupa yang mula menabur politik kebencian terhadap DAP ini ialah Perdana Menteri tahun 1980-an. Sedangkan hari ini kita hidup di alaf baharu abad ke-21.
Perlu diwujudkan jajaran dan pendekatan politik baharu serta terbuka demi semua kaum tanpa ada perasaan syak wasangka.
Politik kepartian berasaskan bangsa perlu dinilai semula dengan pandangan dan sikap yang lebih realistik.
Berpijaklah di bumi nyata demi memacu ekonomi negara memasuki 2021 ini yang kian hambar serta kestabilan yang cabarannya cukup getir.
Untuk parti yang dalam dilema seperti Pas, madu di tangan kananmu, racun di tangan kirimu.
UMNO dan Bersatu tak tahu mana yang akan Pas berikan (siapa pilihan rakan kongsi). Dan ingat, percaturan politik di Pantai Barat dengan di Pantai Timur adalah berbeza.
Tepuk dada, tanya pengundi!
DATUK DR.AHMAD FARIS ABDUL HALIM ialah penganalisis isu-isu semasa.










