
Desas-desusnya sudah diperkatakan sejak beberapa bulan lalu.
Akhirnya Jumaat malam lepas, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan menolak untuk bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berdepan bekas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Perkara itu dikhabarkan seorang pemimpin negeri kepada wartawan Utusan Malaysia, Aslinda Nasir kelmarin.
Pendek kata, dalam gelanggang PRU-15 nanti, UMNO mahu dengan Pas sahaja berdepan satu lawan satu dengan pencabarnya. Jika Bersatu masuk bertanding dalam kerusi UMNO, sekali gus menjadikan tiga penjuru.
Nampaknya Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang khabarnya akan diadakan dua kali tahun ini itu hanya formaliti untuk endorsed sahaja. Keputusan dalam isu kerjasama UMNO-Bersatu ini telah dibuat MKT.
Ternyata ‘Langkah Sheraton’ Februari tahun lepas yang membolehkan UMNO bersama pimpinan Bersatu menubuhkan kerajaan baharu belum dapat memujuk UMNO.
Mungkinkah jika mana-mana parti mengalami nasib sama seperti UMNO akan mengambil tindakan menjauhkan diri daripada bebayang pihak yang melukakan mereka?
HEMBUSAN 1MDB
Selepas tumbang buat pertama kali dalam sejarah lebih 60 tahun memerintah negara pada 9 Mei 2018 kerana ‘hembusan 1MDB,’ UMNO seperti anak ayam kehilangan ibu. Presidennya meletak jawatan. Biarpun begitu, sebulan kemudian UMNO bangkit dengan mengadakan pemilihan – memilih Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menakhodai parti.
Disangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Pucuk pimpinan baharu yang dipilih akar umbi diperleceh. Akibat hilang kuasa, Barisan Nasional (BN) ditunjangi UMNO yang memenangi 79 kerusi Parlimen hanya tinggal 41 kerusi. Sebilangan wakil rakyatnya lompat ke PH dan parti pembangkang lain.
Sebelum pemilihan kepimpinan UMNO Jun 2018, dua ahli Parlimen dari Perak- Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) terawal meninggalkan UMNO. Sehari selepas itu, Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) keluar UMNO.
Tindakannya diikuti Mustapa Mohamed (Jeli), Anifah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan). Mas Ermieyati dan Mustapa akhirnya menyertai Bersatu sementara Rozman menyertai Parti Warisan Sabah. Kedua-dua parti itu sebahagian daripada PH.
Disember 2018 menyaksikan 11 ahli Parlimen – lima dari Sabah – keluar UMNO kerana tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu. Ini memaksa Ahmad Zahid menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Datuk Seri Mohamad Hasan. Beliau bagaimanapun tidak melepaskan jawatan presiden.
Pada Februari 2019, Bersatu menerima pelompat dari UMNO iaitu Hamzah Zainuddin (Larut), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Abdul Latiff Ahmad (Mersing) dan Mohd. Fasiah Mohd. Fakeh (Sabak Bernam) serta Rosol Wahid (Hulu Terengganu).
Pada Mac 2019, Azizah Mohd. Dun (Beaufort), Ronald Kiandee (Beluran), Abd. Rahim Bakri (Kudat) dan Zakaria Mohd. Edris (Libaran) turut keluar UMNO menyertai Bersatu. Yamani Hafez Musa (Sipatang) menyertai Bersatu pada September 2019.
HASIL MASYHUL
Orang UMNO, apatah lagi pemimpinnya amat sedih, kecewa dan marah kerana ‘pelompat-pelompat ini’ kata mereka telah meraih kemenangan dalam PRU-14 atas tiket UMNO. Juga menggunakan kos belanja UMNO membiayai kemenangan mereka. Bahkan undi pun diraih daripada ahli dan penyokong UMNO. Semuanya hasil masyhul daripada UMNO.
Begitupun, kesemua ini tidak melemahkan UMNO. Satu misi yang sungguh mustahil digerakkan untuk mengajak Pas bersama UMNO dalam satu gabungan dinamakan Muafakat Nasional (MN).
‘Mustahil’ kerana sejak puluhan tahun UMNO merupakan musuh tegar Pas, termasuklah UMNO pernah ‘dikafirkan’.
Walaupun pusingan pertama siri pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU-14 dimenangi PH dengan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, DUN Seri Setia, DUN Balakong serta Parlimen Port Dickson, namun ia tak bertahan lama.
Dengan flip flop kerajaan 22 bulan PH semasa berkuasa hingga dikatakan pada peringkat awal berbilion ringgit mengalir keluar hanya kerana ‘dendam dan mahu mencalar imej,’ MN yang dijalin UMNO-Pas lama kelamaan membuahkan hasil disokong pengundi. Gabungan itu menewaskan PH berturut-turut di kesemua tujuh PRK di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini serta Slim.
Kemenangan MN di Slim umpama “platform terakhir kepada keteguhan MN selama ini” bila mana memasuki episod pilihan raya negeri (PRN) Sabah 26 September 2020.
Selama lebih 27 tahun UMNO sudah bertapak di Sabah. Selama itu jugalah UMNO parti dominan sejak masuk ke Sabah. UMNO juga ‘ketua’ parti-parti.
Tetapi yang berlaku dalam PRN Sabah tempoh hari menyaksikan UMNO hanya menjadi salah satu parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
UDANG DI SEBALIK BATU
PRN Sabah seperti ‘mengejutkan UMNO dari lena’ tentang pengagihan kerusi yang merugikan dengan Bersatu. BN walaupun bersekutu dengan Parti Bersatu Sabah (PBS), bertembung sesama sendiri pula di 17 daripada jumlah 73 kerusi DUN negeri itu, sekali gus mencetuskan motif ‘ada udang di sebalik batu’. Biarpun ada cakap-cakap bahawa penyusutan kerusi kemenangan UMNO kerana tindak tanduk kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetepikan sejumlah ketua bahagian UMNO sebagai calon pilihan raya, ada pula cakap-cakap ‘UMNO yang meraih 14 kerusi, lebih tiga daripada 11 diperoleh Bersatu, lebih layak diangkat ketua menteri. Iktibar agihan kerusi di Sabah menghantui UMNO merebak ke Semenanjung hingga saat ini.
Kecurigaan terus berlegar bila Ogos 2020, Majlis Tertinggi Bersatu bersetuju menyertai MN ‘untuk mendukung PN sebagai the grand coalition.’
Sesiapapun boleh menjadi pemerhati namun soal ‘mengamati’nya sukar.
Umpama ceritera yang pernah dikisahkan tentang pelbagai tafsiran enam orang buta.
Mereka memberi deskripsi mengenai rupa bentuk seekor gajah. Ada yang memegang ekor, dikatakannya tali. Ada yang memegang kaki, dikatakannya tiang. Ada yang memegang telinga, dipanggilnya kipas. Yang memegang badan, disamakan pula dengan dinding. Yang memegang belalai, disamakan dengan ular. Dan yang memegang gading, disamakan dengan tombak.
Setiap daripada orang buta itu tidak salah. Mereka juga tidaklah betul. Mungkin begitulah kepelbagaian niat dan interpretasinya.
Yang penting dalam politik, bak kata Aristotle, ahli falsafah dari Yunani ini pernah menulis: “Politicians also have no leisure, because they are always aiming at something beyond political life itself, like power and glory, or happiness. And this particular politician chooses happiness.”
Cuma beringatlah, pengakhiran mana-mana kerajaan dan kekalahan parti politik adalah disebabkan oleh unforeseen circumstances. Ia berasal dari kelemahan dan keangkuhan mereka sendiri.










