“Kalau hujan, atap selalu bocor dan kami terpaksa duduk berhimpit menahan sejuk. Dalam satu kejadian, saya terdengar bunyi sesuatu di belakang rumah dan sebab tak sedap hati terus terjun ke bawah.
“Tak lama kemudian, dua batang pokok menimpa rumah,” kata ibu tunggal, Norhayati Bedak, 48. Dia yang daripada masyarakat Orang Asli suku Semai di Kampung Menson, Cameron Highlands, bercerita tentang kehidupan sukar sebelum ini, menghuni rumah usang diperbuat daripada buluh.
Bagaimanapun, semua itu berakhir setelah menerima dan menduduki Rumah Rakyat Pahang (RRP). Rumah konkrit sesebuah bernilai RM65,000 secara percuma daripada Kerajaan Negeri Pahang .
“Kami anak-beranak gembira sangat apabila dapat tahu layak menerima rumah baharu. Terima kasih banyak-banyak kepada kerajaan kegeri dan MB (menteri besar). Hanya Tuhan sahaja yang dapat membalas jasa MB,” kata Norhayati lagi.
Norhayati adalah antara rakyat termiskin dan memerlukan yang menerima manfaat daripada program RRP yang diilhamkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Diputuskan untuk membina 98 buah RRP di seluruh negeri pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri 26 Februari 2020, selepas hanya sembilan bulan, lima daripadanya telah siap dan diduduki, termasuk sebuah oleh Norhayati. Baki lagi 93 buah ada antaranya hampir siap dan bakal diduduki.
RRP bermatlamat menyediakan rumah yang selamat dan selesa secara percuma kepada golongan B40 yang tidak memiliki rumah atau kediaman sedia ada berkeadaan daif dan tidak selamat diduduki.
E-KASIH
Spesifikasi bagi setiap RRP ini pula ialah jenis rumah sesebuah setingkat, berkeluasan 750 kaki persegi, tiga bilik tidur, masing-masing satu ruang tamu, dapur dan ruang makan serta dua bilik air dilengkapi jubin seramik.
Kesemua 98 RRP ini disasarkan dibina bagi 2020 dengan agihan dua buah bagi setiap 42 kawasan Dewan Undangan Negeri di Pahang atau kesemuanya 84 buah serta sebuah bagi setiap 14 kawasan Parlimen atau kesemuanya 14 buah.
Bagi tahun ini pula, kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 100 buah lagi, lebih dua daripada 2020 dan dijangka dapat memulakan pembinaan pada akhir Mac ini.
“… kita tak nak dengar projek (RRP ini) terbengkalai, tak siap, ada masalah itu, ada masalah ini dan sebagainya,” tegas Wan Rosdy. Beliau jelas menitikberatkan bukan sahaja soal pelaksanaan RRP bahkan dari aspek tempoh masa penyiapannya.
“Kita sudah bagi arahan supaya Datuk DO (pegawai daerah) akan terus menghubungi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen di kawasan masing-masing dan mereka diminta beri (senarai) nama penerima dan keputusan muktamad akan dibuat oleh jawatan kuasa penilaian yang dipengerusikan oleh Dato’ DO,” tegasnya lagi.
Kriteria kelayakan penerima RRP secara amnya, mestilah disahkan miskin tegar atau miskin, dan berdaftar dalam bank data kemiskinan nasional atau e-kasih atau diperaku dan disahkan layak oleh mesyuarat Focus Group Daerah (FGD) atau Focus Group Negeri (FGN).
USANG
Penerima juga mesti disahkan tidak mempunyai rumah atau rumah sedia ada diperakui usang, daif atau tidak selamat diduduki. Penerima juga mestilah memiliki tanah sendiri atau sebahagian daripadanya yang perlu mendapatkan kebenaran pemilik tanah lain.
Bagi menjayakan RRP ini, Kerajaan Negeri Pahang menetapkan sumber kewangannya ialah kerajaan negeri serta daripada Tabung Perumahan Rakyat Pahang (TPRP) yang ditubuhkan sejak akhir 2019.
Peruntukan yang diluluskan bagi pembinaan 98 buah RRP tahun 2020 sahaja ialah RM6.37 juta, iaitu RM980,000 daripada kerajaan negeri sendiri dan baki RM5.39 juta daripada TPRP.
Dana bagi TPRP pula diperoleh hasil sumbangan pemaju perumahan di negeri itu yang diberi pilihan sama ada membina rumah kos sederhana rendah di satu-satu kawasan perumahan yang hendak dimajukan. Jika tidak, dimestikan membayar wang gantian yang disalurkan ke TPRP.
Dan kadar wang gantian ini adalah berdasarkan lokaliti kawasan perumahan berkenaan. Kadar berbeza-beza bagi kawasan yang terletak di bawah pentadbiran majlis perbandaran dan majlis daerah.
Sehingga akhir 2020, sumbangan yang diterima oleh TPRP ialah kira-kira RM13 juta, mengatasi jangkaan asal cuma RM6 juta (kutipan pada akhir tahun 2019 cuma RM300,000).
Bagi memenuhi dan menampung permintaan RKSR berharga RM90,000 sebuah yang mana kini pihak pemaju tidak lagi wajib tetapi diberi pilihan untuk membinanya, kerajaan negeri memberi penekanan kepada pembinaan Rumah Makmur berharga lebih murah iaitu RM80,000 sebuah.
Sehingga kini sebanyak 7,088 Rumah Makmur, iaitu rumah teres setingkat yang dijayakan dengan kerjasama pemaju perumahan juga telah diluluskan dan sebanyak 692 unit mula dibina tahun lepas.
Dengan ini ia merupakan keadaan menang-menang kepada semua dan dalam hal RRP, sudah tentulah memanfaat rakyat termiskin dan memerlukan demi menjaga kebajikan dan kesejahteraan mereka.










