CPI kita tahun depan lebih teruk? - Utusan Malaysia

CPI kita tahun depan lebih teruk?

-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Transparency International (TI) mengumumkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2020, baru-baru ini.

Malaysia berada pada kedudukan ke-57 daripada 180 negara, turun enam anak tangga dengan skor 51 daripada 100 mata. Pada 2019, kedudukan Malaysia pada tangga ke-51 (skor 53 mata) daripada 100 dan menjadikannya mata tertinggi sejak tujuh tahun lalu.

Penurunan ini disebabkan kekerapan berlakunya rasuah, ketidakstabilan politik, krisis demokrasi iaitu apabila institusi yang lemah kurang mampu mengawal rasuah, kelemahan ekonomi, tadbir urus tidak baik serta masa depan negara yang tidak menentu. Jika sekiranya faktor di atas termasuk iktizam politik tidak diperbaiki, kemungkinan besar CPI tahun depan akan menjadi lebih buruk.

Semakin tinggi skor negara tersebut, semakin tinggi kedudukannya serta dianggap kurang korup. Skor ini menentukan tahap tanggapan rasuah sektor awam, iaitu daripada sifar (sangat korup) hingga 100 (sangat bersih).

Maka, negara dengan skor lebih tinggi akan mendapat kedudukan jauh lebih tinggi (sebagai kurang korup).

Negara yang berada pada kedudukan teratas ialah Denmark dan New Zealand yang berkongsi skor 88 mata. Negara paling tercorot ialah Somalia, Sudan Selatan dan Syria dengan skor masing-masing 12, 12 dan 14.

CPI merupakan pungutan undian, iaitu berdasarkan indeks komposit yang menggabungkan data dan pelbagai tinjauan oleh ahli perniagaan dari seluruh dunia, termasuk pakar dan penganalisis tempatan yang bekerja di negara-negara dinilai.

Data sekunder tersebut tidak diperoleh oleh TI, sebaliknya oleh organisasi lain. Ibu Pejabat TI di Berlin hanya mengumpulkan kesemua hasil tinjauan untuk mencipta satu skor bagi setiap bidang. Ia dilakukan oleh institusi bebas dan mempunyai reputasi baik melalui sumber yang boleh dipercayai dan akan mengeluarkan hasil kajian bersama-sama indeks menggunakan pelbagai kerangka kerja persampelan, metodologi berbeza dan seterusnya akan diaudit oleh Pusat Penyelidikan Bersama Suruhanjaya Eropah.

Malaysia menggunakan sembilan daripada 13 sumber sekunder bagi melakukan kiraan CPI. Sumber tersebut terdiri daripada:

1. Bertelsmann Foundation Transformation Index
Para pakar menilai sejauh mana penjawat awam dilarang menyalahgunakan kedudukan mereka bagi kepentingan individu dan sama ada kerajaan berhasil mengadili, menghukum dan mencegah rasuah.

2. Economist Intelligence Unit Country Risk Ratings
Ia merupakan firma penyelidikan dan penasihat global yang menghasilkan risikan perniagaan dan pendedahan kewangan untuk pembuat dasar di seluruh dunia.

3. IMD World Competitiveness Yearbook
Tinjauan yang dilakukan akan mengukur ahap daya saing dan kedudukan negara serta meneliti bagaimana iklim sosiopolitik dan ekonomi negara tersebut mempengaruhi daya saing korporat.

4. Political and Economic Risk Consultancy Asian Intelligence)
Responden perniagaan tempatan dan ekspatriat ditanya sama ada mereka menganggap rasuah sebagai masalah dalam jabatan atau institusi tertentu.

5. Political Risk Services International Country Risk Guide
Tinjauan ini menilai peranan bank dalam pengurusan ekonomi, dasar struktur, kemasukan sosial dan pengurusan sektor awam negara-negara yang layak mendapat bantuan daripada International Development Association.

6. World Justice Project Rule of Law Index
Para pakar tempatan menilai sama ada pegawai kerajaan di cabang eksekutif, kehakiman, badan perundangan, polis dan tentera menyalahgunakan pejabat awam untuk kepentingan peribadi.

7. World Economic Forum Executive Opinion Survey
Responden diminta menilai seberapa umum pengalihan dana awam kepada syarikat, individu, atau kumpulan yang terdedah dengan rasuah seperti import dan eksport, kemudahan awam, pembayaran cukai tahunan, pemberian kontrak awam dan pemberian lesen dan memperolehi keputusan kehakiman yang betul.

8. Global Insight Country Risk Ratings
Peringkat penilaian yang dijalankan meliputi pelbagai jenis rasuah – daripada rasuah kecil hingga rasuah politik berprofil tinggi dan skor yang diberikan kepada setiap negara adalah berdasarkan penilaian kualitatif rasuah.

9. Varieties of Democracy (V-DEM) Project
Indeks rasuah ini merangkumi langkah-langkah daripada bidang eksekutif yang membezakan antara bribery and corruption serta penyelewengan melalui rasuah.

CPI merupakan alat yang dapat membantu mengukur tahap rasuah di sesebuah negara. Indeks ini juga merupakan satu satunya kayu ukur untuk menentukan kedudukan tahap rasuah di 180 buah negara di seluruh dunia dan menunjukan sama ada rasuah terus melanda sesebuah negara.

Datuk Seri Akhbar Satar ialah Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN