Skandal Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) melibatkan penyelewengan jutaan ringgit dilaporkan oleh media tempatan pada Oktober 2016.
Penyelewengan dalam pengagihan kontrak dan tender pembinaan serta penyelenggaraan air ini memberi kesan amat buruk bukan sahaja kepada jabatan itu, malahan rakyat.
Sejak 2005 hingga 2016, Kementerian Kewangan Negeri Sabah meluluskan RM4.3 juta Waran Peruntukan Am (WPA) kepada JANS, Dalam tempoh tersebut, sebanyak 7,389 Surat Kuasa Membelanja Peruntukan bernilai RM2.1 juta diluluskan oleh Pengarah JANS.
Bagaimanapun, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa telah dilakukan oleh pegawai-pegawai terlibat dengan meminta dan menerima komisen antara 27 hingga 33 peratus daripada nilai kerja-kerja kecemasan dan sebut harga kecil ditawarkan kepada kontraktor.
Selain itu, pelantikan kontraktor juga tidak mengikut Arahan Perbendaharaan oleh Kementerian Kewangan Negeri Sabah dan Surat Pekeliling Kewangan (SPK) Bil.2 Tahun 2009. Pemilihan dibuat terlebih dahulu oleh Jurutera Air Bahagian dengan melantik ejen atau orang perantaraan bagi menguruskan proses tersebut.
Sebahagian besar kerja-kerja penyelenggaraan infrastruktur air oleh JANS dilakukan melalui perolehan kecemasan tanpa melalui prosedur yang banyak atas dasar ‘kecemasan’. Ini disebabkan ketiadaan garis panduan atau polisi yang mendefinisikan ‘kerja kecemasan.’ Kelemahan tersebut membolehkan semua aduan berkaitan masalah air dikategorikan sebagai kerja kecemasan.
PAIP BOCOR
Pemeriksaan Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan (BPMP) SPRM mendapati, kerja-kerja penyelenggaraan seperti paip bocor, pecah, kerosakan pam, pemindahan meter, pemeriksaan semula bacaan meter dan kes penyambungan air secara haram dikategorikan sebagai kerja kecemasan. Ini memberi peluang dan ruang berlakunya ketidaktelusan dan penyelewengan.
Selain itu, pelantikan kontraktor bagi nilai kerja bawah RM20,000 dibuat oleh Jurutera Air Bahagian atau Daerah dalam kalangan syarikat kontraktor kelas F yang berdaftar di pejabat jurutera tersebut. Kos setiap kerja ditentukan berdasarkan Jadual Kadar Harga (JKH) yang disediakan oleh JANS.
JKH yang disediakan oleh Jawatankuasa Air Bahagian atau Daerah kebiasaannya bermesyuarat dua atau tiga kali setahun.
Bagaimanapun, tiada penetapan tempoh masa khas untuk JKH dikaji semula dan hanya digunakan oleh JANS tanpa dikemukakan ke Kementerian Kewangan Negeri. Perkara tersebut tidak selaras dengan Arahan Perbendaharaan 179 iaitu JKH yang disediakan mestilah disemak atau dikaji oleh jawatan kuasa bebas atau jabatan teknikal bersesuaian.
Bagi mengawal harga dalam perolehan sebut harga di JANS, BPMP mencadangkan semakan semula dan penambahbaikan ke atas JKH. Susulan cadangan tersebut, Mesyuarat Penyediaan JKH Fasa 1 diadakan pada Mei 2018 bagi menambah baik dan menyemak semula jadual terbabit.
POPULAR
Hasil mesyuarat tersebut, draf JKH telah dikemukakan kepada Kementerian Pembangunan Infrastruktur dan Kementerian Kewangan Negeri untuk diluluskan pada Jun 2018. Bagaimanapun, semakan Kementerian Kewangan Negeri mendapati beberapa perkara harus diperbetulkan bersama dokumen sokongan bagi tujuan kelulusan.
Susulan skandal terbabit serta beberapa penambahbaikan dikemukakan oleh BPMP, JANS menubuhkan Unit Integriti (UI) dibawah Pengurusan Sumber Manusia. Penubuhan UI adalah selaras dengan pengesyoran BPMP dalam mempertingkatkan integriti, kredibiliti dan akauntabiliti warganya.
JANS menyatakan harapan agar pelaksanaan pengkoporatan ke atas Suruhanjaya Air Negeri Sabah dapat melaksanakan tugasnya dengan lebih telus memandangkan ia akan melalui pengauditan serta pelaporan di setiap sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tindakan penambahbaikan oleh JANS berdasarkan cadangan BPMP dalam aspek amalan, sistem dan tatacara kerja dapat mengurangkan risiko berlakunya rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan di samping memastikan pelaksanaan perolehan penyelenggaraan infrastruktur air dilaksanakan lebih jelas dan telus. Sudah pasti, mekanisme semak dan imbang yang diwujudkan mampu memastikan segala polisi, peraturan dan prosedur sentiasa dalam tahap pematuhan yang terbaik.
Walaupun kes skandal JANS berlaku empat tahun lalu, tugas SPRM tidak terhenti setakat itu sahaja. SPRM masih meneruskan tanggung jawab dalam memastikan budaya rasuah dapat dibanteras di setiap peringkat. Ingin ditegaskan, SPRM bukan sahaja badan yang ‘popular’ dengan tangkapan dan sitaan semata-mata. Hakikatnya, SPRM akan terus membantu mana-mana golongan, syarikat, jabatan mahupun agensi dalam memberikan penambahbaikan serta pendidikan supaya perlakuan rasuah mampu dihentikan dengan kerjasama semua pihak.
Peranan SPRM khususnya BPMP dalam menyelesaikan skandal air Sabah ini mampu menjadi ‘akar umbi’ yang kuat kepada JANS dalam mengekang jenayah rasuah daripada terus berleluasa.
Dengan keseriusan pengurusan tertinggi sekarang dan sokongan padu seluruh warganya dalam memerangi rasuah, sudah pasti sejarah hitam yang pernah membelenggu jabatan tersebut tidak akan berulang lagi.
PENULIS ialah Pengarah Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










