Buka kedai emas, perabot lagi bahaya - Utusan Malaysia

Buka kedai emas, perabot lagi bahaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dan setiap detik yang ku lalui
Seluruh malam ku membisu
Tetap setia menantimu
Bayanganmu entah di mana…

Lirik lagu Penantian dendangan Black Rose seolah-olah menusuk kalbu hampir 80,000 tenaga kerja dalam sektor gunting rambut. Ini kerana mereka sedang mengeluh dan risau dalam meneruskan kelangsungan hidup berikutan sektor tersebut sudah hampir lumpuh ditambah peningkatan kes Covid-19 di negara ini kian meningkat.

Tidak mustahil sektor yang tenat ini akan lenyap sekali gus menambah lagi jumlah pengangguran melibatkan majoriti belia Melayu.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), T.N WINDA MOHD. TAHIR ketika ditemu bual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto MUHAMAD IQBAL ROSLI mengharapkan magik dalam pengumuman oleh kerajaan, Khamis ini bagi mengembalikan harapan kepada sektor pengguntingan rambut yang sangat terjejas.

UTUSAN: Perkembangan terbaharu sektor ini?
T.N WINDA: Jujur saya katakan, kami sangat sakit. Sektor ini baru sahaja mahu bertatih setelah dibenarkan beroperasi kembali pada 10 Jun tahun lalu selepas ditutup selama tiga bulan bermula 18 Mac 2020.

Sebenarnya kami tidak menjangka kerajaan melarang sektor ini daripada beroperasi memandangkan hampir 70 peratus sektor lain termasuk tidak kritikal dibenarkan meneruskan perniagaan.

Antaranya kedai emas dan perabot yang bukan dikategorikan sebagai keperluan.

Bagaimana situasi sepanjang tujuh bulan dibenarkan operasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama?
Jauh bezanya. Sejak mula beroperasi semula, untung yang diperoleh sekadar 50 peratus sahaja. Kemerosotan ini berikutan masih ramai yang takut dan ragu-ragu menggunakan perkhidmatan gunting rambut kerana risau dijangkiti Covid-19 selain berkira kerana pendapatan mereka juga terjejas.

Malah, arahan membenarkan pelajar berambut panjang ke sekolah menambah buruk perniagaan sektor ini.

Jika masih tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh lama, apa pandangan anda?
Sektor ini menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM13.5 bilion setahun. Malah, bidang meliputi perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan ini melibatkan hampir 80,000 tenaga kerja daripada 20,000 perniagaan yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Sama ada kerajaan sedar atau tidak, hampir 40 peratus pengusaha kedai gunting terpaksa ‘bungkus’ semasa PKP pertama, malah sektor ini mengalami kerugian sebanyak RM500 juta dalam tempoh dua minggu pelaksanaan PKP 2.0. Jumlah ini dijangka terus bertambah sekiranya masih tidak dibenarkan beroperasi dalam jangka masa panjang.

Anda sebut 40 peratus pengusaha terpaksa tutup kedai. Berapa sebenarnya anggaran mereka yang hilang sumber pendapatan?
Kajian di peringkat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendapati sebanyak 8,000 pengusaha gulung tikar melibatkan anggaran 15,000 hingga 16,000 pekerja.

Ada dalam kalangan mereka terpaksa berniaga makanan dan minuman di tepi jalan. Ada yang terpaksa pulang ke kampung halaman, malah masih ada tercari-cari hala tuju untuk meneruskan kehidupan. Mereka perlu menampung bayaran sewa premis, kebajikan pekerja dan komitmen lain.

Bahkan majoriti pemain industri adalah belia. Kita tidak mahu mereka hilang arah selepas terpaksa menutup perniagaan dan akhirnya menyumbang kepada peningkatan masalah sosial lain.

Sektor ini antara terakhir dibenarkan beroperasi selepas PKP pertama. Komen anda?
Semasa PKP pertama, kami akur terpaksa tutup perniagaan dalam tempoh agak panjang kerana sektor ini melibatkan hubungan rapat dan sentuhan.

Pun begitu, sejak dibenarkan beroperasi semula, sehingga kini kita tidak pernah dengar ada Kluster Barber atau Kluster Salun.

Saya melihat SOP cukup baik, cukup ketat dan pematuhan sangat bagus daripada pemain industri, ala-ala klinik pergigian. Semua peralatan pakai buang seperti pelitup muka, pelitup badan dan sarung tangan yang digunakan ditukar untuk setiap pelanggan. Kerja-kerja sanitasi kerap dilakukan bagi mengelak penularan kes Covid-19.

Maka, saya melihat tiada masalah untuk kerajaan membenarkan kami beroperasi semula. Cumanya, kami melihat dari segi kerisauan orang ramai untuk mendapatkan perkhidmatan.

Jika dibenarkan beroperasi, kami akur sekiranya kerajaan mahu ia berjalan dengan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat seperti had masa operasi dipendekkan atau hanya berdasarkan temu janji supaya pelanggan tidak berada terlalu lama di dalam kedai. Kami tiada masalah kerana amalan temu janji sudah menjadi sebahagian daripada teknik pemasaran dalam sektor ini.

Permintaan tinggi

Kenapa sektor ini perlu segera dibuka semula?
Perkhidmatan ini mendapat permintaan tinggi terutama daripada kakitangan kerajaan. Sudah menjadi polisi kerajaan tidak membenarkan penjawat awam berambut panjang ke pejabat. Begitu juga anggota beruniform seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan lain-lain lagi yang hanya dibenarkan berambut pendek dan kemas.

Ini bermakna mereka ini adalah golongan yang wajib ke barber setiap dua minggu. Mereka inilah penyumbang besar kepada pendapatan kami.

Ketika tidak dibenarkan beroperasi pada tahun lalu, kita dengar beberapa tukang gunting rambut menjalankan perniagaan ikut ‘pintu belakang’ dan ada yang ke rumah pelanggan. Mereka menerima permintaan tersebut kerana ia melibatkan periuk nasi dan kelangsungan hidup.

Adakah ini bermakna salah satu cara untuk memastikan sektor ini kekal adalah menjalankan perkhidmatan on call?
Saya tidak bersetuju, malah tindakan membenarkan beroperasi cara ini jauh lebih bahaya kerana banyak perkara yang tidak diingini boleh berlaku seperti kegagalan mematuhi SOP. Bagaimana kerajaan mahu pastikan perkhidmatan ini dijalankan dengan pematuhan SOP yang baik? Tambahan pula aplikasi MySejahtera tidak digunakan ketika berkunjung ke rumah pelanggan.

Bagaimanapun, saya tidak boleh halang ini daripada berlaku kerana wujudnya permintaan. Justeru, adalah lebih baik kerajaan memberi sedikit kelonggaran kepada pemilik kedai gunting rambut untuk beroperasi memandangkan tiada jangkitan kes direkod membabitkan kedai gunting rambut.

Kerajaan jangan berat sebelah

MBBA ada berjumpa dan berbincang dengan kerajaan?
Sejak awal lagi kami sudah berjumpa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta Kementerian Kesihatan tetapi tiada jawapan. Kami hanya diminta menunggu sehingga 4 Februari ini untuk mendengar keputusan kerajaan.

Saya berharap ada berita baik buat pemain industri. Menunggu tarikh itu sangat menyeksakan. Dalam keadaan baru sahaja ‘sembuh’ dan kemudian ‘sakit’ semula, kami diibaratkan seperti telur di hujung tanduk.

Tindakan kerajaan seolah-olah berat sebelah kerana membenarkan sektor lain seperti perniagaan barangan emas dan perabot beroperasi sedangkan ia bukan kategori keperluan selain kedua-dua perniagaan itu melibatkan interaksi dan sentuhan.

Sebaliknya kami menjalankan perniagaan dengan pematuhan SOP yang ketat termasuk mencuci gunting dan sikat menggunakan bahan kimia khas setiap kali selepas digunakan.

Apa bantuan disediakan kerajaan?
Tiada. Kami tidak menerima bantuan khas. Kami hidup dengan duit simpanan kecuali di Pulau Pinang yang menerima bantuan RM500 secara one-off daripada kerajaan negeri. Sedangkan dalam keadaan yang sukar ini, kerajaan boleh sahaja memperuntukkan bantuan khusus untuk pemain industri yang berdaftar.

Yang ada cuma Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Itu pun tidak semua layak. Begitu juga dengan Geran Khas Prihatin (GKP) secara one-off bernilai RM3,000 kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro yang berkelayakan juga tidak diterima secara menyeluruh. Ini kerana mereka yang membuka kedai di kampung-kampung sudah pastinya tidak berdaftar dengan SSM.

Bidang pilihan kedua

Perniagaan barber semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda. Jika penutupan premis berterusan, dikhuatiri mereka akan putus asa. Pandangan anda?
Sektor ini melibatkan 90 peratus bumiputera muda yang menceburi bidang pengguntingan rambut ala hipster. 10 tahun lalu, bidang ini kurang mendapat sambutan dalam kalangan belia Melayu.

Namun, perubahan zaman dengan pakej dekorasi kedai yang menarik membolehkan belia berkelulusan tinggi melibatkan diri dalam perniagaan ini.

Sejak 2009, kedai gunting rambut moden memenuhi kehendak fesyen terkini dengan memperkenalkan pelbagai gaya potongan rambut.

Beberapa artis tempatan juga memilih untuk membuka perniagaan ini. Sektor ini sedang berkembang dan jika dipandang sebelah mata oleh kerajaan, tidak mustahil ia akan lumpuh.

Malah, ia menjadi pilihan bagi mereka yang kehilangan pekerjaan semasa PKP pertama. Ramai pramugara dan mereka yang dibuang kerja memilih sektor ini. Kesianlah mereka baru mahu merasa hidup kembali, tetapi terpaksa menerima dugaan buat kali kedua. Sekali lagi mereka diduga dengan kehilangan pendapatan.

Apa yang boleh dilakukan untuk memastikan sektor ini terus berdaya saing?
Di pihak MBBA, kami mempunyai perancangan untuk membangunkan satu aplikasi, Gunting Online yang membolehkan pelanggan membuat tempahan secara dalam talian. Melalui aplikasi ini, pelanggan boleh membuat tempahan dengan memilih penggunting rambut, masa dan lokasi di seluruh negara.

Data yang diperoleh akan disimpan sebagai rujukan Kementerian Kesihatan sekiranya terdapat kes penularan semasa perkhidmatan ini dijalankan.

Cara ini memudahkan pengesanan pelanggan dan pengusaha serta pekerja kedai sebagai kontak rapat. Ia sekali gus dapat mengelakkan penipuan.

Negara-negara lain seperti Indonesia menggunakan kaedah ini sejak beberapa tahun lalu dan semakin mendapat sambutan di kala penularan pandemik Covid-19, sekali gus menjadikan Malaysia jauh ketinggalan.

Pelanggan boleh membaca maklum balas, membandingkan harga dan lokasi sebelum membuat tempahan slot.

Oleh itu, kami mengalu-alukan kerajaan, swasta atau pihak tertentu untuk membangunkan aplikasi berkenaan menerusi jalinan kerjasama yang baik.

Harapan anda kepada kerajaan?
Sejujurnya kami tidak sabar menunggu pengumuman itu nanti. Harapan saya agar kerajaan turut memikirkan masalah kami dari segi bantuan khusus seperti pinjaman kepada semua pengusaha dan permudahkan tanpa kerenah birokrasi.

Saya menerima banyak aduan mengatakan rumah tangga mereka bergolak sehingga mahu bercerai akibat putus punca rezeki. Justeru, saya mewakili seluruh pemain industri ini meletakkan harapan tinggi dan pertimbangan sehabis baik daripada kerajaan agar dapat membenarkan sektor perkhidmatan ini beroperasi selepas 4 Februari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN