PAGI Sabtu lalu, selepas mengikuti siaran berita di televisyen, baru saya sedar bahawa Majlis Tanah Negara (MTN) dalam mesyuaratnya kali ke-78 telah membuat beberapa keputusan dasar yang pada hemat saya akan menentukan hala tuju baharu undang-undang tanah negara.
Dalam mesyuarat terbaharu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara maya itu, lapan kertas kerja mengenai beberapa dasar penting berkaitan tanah dan perhutanan negara dibentangkan. Hendaknya selepas ini, keputusan MTN yang penting ini akan segera disusuli dengan tindakan pelaksanaan seterusnya oleh semua kerajaan negeri.
Di bawah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, isu tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala peranan MTN di bawah Perkara 91 Fasal (5) adalah membentuk dasar negara untuk memajukan dan mengawal penggunaan tanah. Peruntukan sama juga menyatakan, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri hendaklah mengikuti dasar yang dibentuk itu.
Hasil mesyuarat yang dihadiri secara maya oleh menteri Kabinet, menteri besar dan ketua menteri, MTN membuat lima keputusan dasar yang penting seperti berikut:
Pertama, setuju dengan Dasar Perhutanan Semenanjung Malaysia 2020 (DPSM 2020) yang baharu untuk menggantikan Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992).
Kedua, setuju dengan Undang-Undang Perhutanan Negara (Pindaan) 2020.
Ketiga, setuju dengan Peraturan-Peraturan Kanun Tanah Negara (Tanah Bawah Tanah) (Borang-Borang Permohonan) (Pindaan) 2020.
Keempat, setuju dengan pindaan Jadual Kelima Akta Hakmilik Strata 1985 (Akta 318).
Kelima, setuju dengan cadangan penggubalan Akta Tanah Kampong Baru dan Pemansuhan Kaedah-Kaedah Malay Agricultural Settlement (MAS) Kampong Baru (Kuala Lumpur) 1950.
Selain lima keputusan penting tersebut, MTN juga mengambil maklum mengenai pelaksanaan program Penghijauan Malaysia melalui Kempen Penanaman 100 Juta Pokok oleh Kementerian Tanah dan Sumber Asli (KeTSA).
ANGKASA
MTN juga mengambil maklum tentang penggunaan teknologi angkasa bagi tujuan pemantauan tanah negara oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menyatakan, kementeriannya telah diarah mencari penyelesaian isu pengkuarian dalam hutan simpanan kekal dan kawasan berhutan lain (yang berfungsi sebagai rizab hidupan liar), kawasan penempatan Orang Asli dan masyarakat setempat, kawasan tadahan air serta kawasan sensitif.
Dalam komen awal mengenai hasil mesyuarat MTN ini, saya hanya dapat sentuh isu peraturan baharu mengenai tanah bawah tanah (disebut stratum dalam Seksyen 92A KTN). Di kesempatan lain, insya-Allah saya dapat mengulas isu-isu seperti akta baharu untuk Kampong Baru dan Akta 318.
Pada masa ini, peraturan mengenai stratum terkandung dalam National Land Code (Underground Land) (Minimum Depth) Regulations, 2006 (P.U.(A) 414/2006 yang mengandungi dua peruntukan dan satu jadual saha. Peraturan 1 menyatakan nama penuh peraturan ini dan tarikh berkuat kuasa, iaitu 5 Disember 2006. Peraturan 2 pula menyatakan kedalaman minimum stratum seperti yang disebutkan dalam Seksyen 92B dan 92E KTN.
Dalam Jadual Peraturan 2006 ada diperincikan bahawa kedalaman minimum stratum itu berbeza mengikut kategori tanah. Bagi tanah pertanian, kedalaman minimumnya adalah enam meter, tanah bangunan 10 meter dan bagi tanah industri, 15 meter.
KTN 1965 telah dipinda pada 1990 (di bawah Akta A752) dengan memasukkan ke dalamnya satu bahagian baharu, iaitu Bahagian Lima (A) Seksyen 92A hingga 92G, iaitu mengenai pelupusan tanah bawah tanah.
MRT
Pengamal undang-undang, khususnya yang ada di sekitar Kuala Lumpur, pertama kali terpaksa mengkaji impak peruntukan baharu KTN ini apabila beberapa pemilik tanah di sekitar kawasan Bukit Bintang dan Imbi memohon semakan kehakiman (judicial review) untuk mencabar tindakan pengambilan tanah milik mereka bagi maksud pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) di Lembah Klang. (https://www.theedgemarkets.com/article/underground-issues-try-national-land-code-amendments)
Seiring pindaan di bawah Akta A752 itu, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) Putrajaya mengeluarkan Pekeliling JKPTG No.1/2008 bagi maksud menghuraikan pindaan KTN tersebut.
Pekeliling itu dikeluarkan untuk “menasihatkan pengarah-pengarah tanah dan galian negeri, pendaftar-pendaftar dan pentadbir-pentadbir tanah mengenai panduan pelaksanaan pelupusan tanah bawah tanah (disposal of underground land) menurut KTN.”
Pekeliling itu juga mengandungi ‘Panduan pelupusan tanah bawah tanah di bawah KTN 1965’ yang disediakan oleh Seksyen Hakmilik Strata JKPTG, Putrajaya.
Dalam dekad kebelakangan ini, pembangunan stratum menjadi isu penting di kebanyakan negara terutama yang mengalami masalah kecukupan keluasan tanah untuk pembangunan masa depan seperti Singapura dan Hong Kong. Singapura telah pun menggubal Pelan Induk Tanah Bawah Tanah pada 2019.
Di Hong Kong, di mana tujuh juta penduduknya terpaksa berkongsi tanah seluas 1,100 kilometer persegi dengan hanya suku sahaja sesuai utnuk dibangunkan, kerajaannya terpaksa melihat kepada pembangunan tanah bawah tanah serta pembangunan dalam bukit (cavern development).
Di China, lebih 20 bandar raya (termasuk Beijing, Shanghai dan Shenzhen) kini giat membuat perancangan untuk melakukan pembangunan tanah bawah tanah.
Di Barat, antara bandar raya yang berjaya memanfaatkan pembangunan tanah bawah tanah adalah Helsinki dan Montreal. Di Mexico, satu projek pembinaan digelar Pencakar Bumi (Earth Scraper) melibatkan bangunan 65 tingkat tanah bawah tanah selaku piramid terbalik (inverted pyramid) dirancang sejak 2011. Kejauhannya adalah 300 meter bawah tanah di bawah bandar raya Mexico City. (https://www.dailymail.co.uk/news/article-2048395/Earth-scraper-Architects-design-65-storey-building-300-metres-ground.html).
Sementara saya gembira dengan hasil mesyuarat MTN yang baharu ini, saya masih tertanya-tanya, jika dasar perhutanan baharu boleh dibentuk, macam mana pula dengan Dasar Tanah Negara? Jika isu stratum sudah selesai, bila pula isu spatium (ruang udara di atas tanah) akan dibawa ke MTN?
DATUK Salleh Buang ialah bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan bekas Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia.










