BILA saya ingat-ingat balik, agaknya kita orang Melayu wajar beri markah tinggi kepada penjajah Inggeris yang melahirkan antaranya RJ Wilkinson, Frank Swettenham, Richard Windstedt, Hugh Clifford dan Mubin Sheppard.
Kerana apa? Kerana mereka mempelajari adat resam bahasa Melayu. Menerusi Malaya Publishing House di Singapura dan Kuala Lumpur, mereka menyebarluas Papers on Malay Subjects yang disunting Wilkinson, A. Caldecott, Sheppard dan lain-lain.
Setiap pegawai Inggeris sebelum kita merdeka (1957) mempelajari pantang larang adat hidup bermasyarakat di kampung dan kaedah mentadbir melalui penghulu. Mereka juga mengkaji dan mengamalkan protokol serta bahasa Melayu istana. Tidak hairanlah kalau Swettenham pernah berkata “the Malays have their own outright position as native inheritors of their land” (Orang Melayu mempunyai kedudukan mereka sendiri sebagai pewaris tanah mereka).
Juga pada 1905, Swettenham mengungkapkan: “When the Malays say no to certain things, they may say yes for their Sultans” (Apabila orang Melayu mengatakan tidak untuk perkara tertentu, mereka mungkin mengatakan ya untuk Sultan mereka).
DANGKAL
Belajar dari yang lampau, memandang kepada yang baik. Pada masa ini fakulti dan pengajian sejarah kita terlalu banyak bergantung kepada hasil kajian arkeologi Barat musim lampau seperti Coedes, Carter dan lain-lain.
Kita belum lagi mempelajari seni dan ulitan arkeologi yang dipakari China, Jepun dan Korea misalnya. Apabila orang kita tidak ada kemahiran arkeologi, pemahaman sejarah silam kita juga menjadi dangkal.
Kepada yang belajar sejarah, mereka tentu kenal dengan dua arkeologis terkenal Indonesia, Raden Panji Soejono dan Soekmono. Di negara ini ada juga, Profesor Zuraina Majid dan Prof. Mohd. Mokhtar Saidin. Cuma bilangannya terlalu kecil berbanding keperluan justeru pakar-pakar lain perlu dimunculkan dalam dunia arkeologi tempatan.
Saya secara peribadi akui semangat kita orang Melayu tentang sejarah bangsa dan negara sendiri tidak kuat. Oleh sebab pegangan sejarah yang tidak begitu kukuh inilah, A’Famosa atau kubu-kubu usang tinggalan Portugis di Melaka yang lengkap dengan isian atau likuan serangan hendap Feringghi serta menjadi tarikan pelancongan, tersemat di fikiran sebagai lambang kemegahan Portugis pasca 1511. Dan saban hari mencernakan imej kekalahan dan kemusnahan dinasti Kesultanan Melayu Melaka.
Pihak-pihak yang kontra Melayu sering menguar-uarkan “Inilah tugu pertahanan Feringghi yang menyumbang ranapnya kerajaan Melaka”. Apa agaknya yang dicereterakan oleh cikgu sejarah sekolah menengah kepada murud-muridnya yang melawat A’Famosa? Sampai bila pun dinasti Raja Melaka dialahkan melalui perlambangan A’Famosa akan berterusan.
KOMUNISME
Dan demikianlah juga saya tidak hairan mengapa ramai kalangan orang kita cukup fobia bilamana tular papan iklan di premis makanan di Taman Mount Austin, Johor baru-baru ini yang memaparkan gambar pemimpin komunis. Ini termasuklah dekorasi bahagian dalam selain para pekerjanya dikatakan turut berpakaian seperti tentera komunis China.Seruan supaya mengiktiraf komunisme Chin Peng dan gerombolannya merupakan langkah yang sia-sia kerana nilai sejarah bagi komunisme di negara ini sentiasa menggambarkan lumuran darah, kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda.
Parti Komunis Malaya (PKM) dalam tempoh kebangkitannya menentang gerakan nasionalisme watan dan penjajahan Inggeris antara 1948-1960 telah membunuh dan mencederakan lebih 12,600 orang awam dan anggota pasukan bersenjata tanah air. Jadi, tuntutan persepsi harmonis dan kesejagatan kemanusiaan bagi komunisme merupakan kepayahan untuk diterima.
Fasa komunisme gerila ini di negara ini akan sentiasa menghadapi bantahan penilaian negatif, justeru tidak akan berjaya sebagai perjuangan kebangsaan. Cuma di sebalik pandangan atau persepsi sejarah ini, jika orang Melayu berupa minoriti di negara ini hajat mendewa-dewakan komunisme Chin Peng mungkin amat mudah menjadi realiti.
Jadi, dengan mudah boleh kita rumus bahawa pandangan atau persepsi warga majoriti boleh dengan mudah merobah persepsi aliran sejarah sesuatu bangsa.
Jadi, apa usaha kita untuk mewujudkan deretan sejarawan berkaliber, arkeologis berwibawa, etymologis, pakar antropologi, pengkaji prasejarah yang setanding dengan S. Oppenheimer yang memperincikan Melayu sebagai sebahagian bangsa Austranesian – memang penduduk asal dunia Melayu.
Jawabnya – tentulah melalui didikan dan pembelajaran kemanusiaan atau humanities yang digalakkan pemerintah.
Masih terdapat banyak hal dan perkara sejarah di Sabah dan Sarawak misalnya yang masih kabur dan tidak sampai ke paras muktamad. Contohnya hal ehwal tuntutan Filipina terhadap Sabah.
Kawasan ini yang dilakukan pemetaannya oleh Inggeris banyak yang dipertikai kerana tiadanya batu sempadan. Kita pun sudah kehilangan Batu Puteh tempoh hari.
Dan sekalipun Inggeris sudah meninggalkan kita semenjak 1957 dan Belanda meninggalkan Indonesia sejak 1945, kesan sosiobudaya mereka terus wujud subur. Malah jauh lebih subur daripada sosiobudaya warga tempatan sendiri. Dengan pendidikan Inggeris yang diperoleh, kita kini berupaya menilai secara menyeluruh kekitaan kita dalam aspek sosiobudaya sendiri. Sekurang-kurangnya kita sedar kita sudah ketinggalan dalam bab jati diri dan nilai budaya.
Soalnya ialah bagaimana dapat kita menyesuai dan memulihkan identiti bangsa yang sudah kabur? Ini soal berkaitan kehilangan budaya atau cara hidup yang dilarikan zaman – yang tolong ditiadakan oleh bangsa sendiri dan yang masih tiada jawapan jelas baginya.










