Kerajaan tak prihatin nasib kami - Utusan Malaysia

Kerajaan tak prihatin nasib kami

Kerja-kerja sanitasi dijalankan di bilik penginapan hotel bagi mengelak jangkitan wabak Covid-19. – Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah
Industri perhotelan baru sahaja menarik nafas lega selepas kerajaan memperkenalkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada Jun lalu. Namun, sekali lagi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di seluruh negeri kecuali Sarawak dan proklamasi darurat dikuatkuasakan sehingga Ogos ini.

Keadaan ini sedikit sebanyak memberi tekanan kepada industri perhotelan, lebih-lebih lagi selepas menanggung kerugian jutaan ringgit sejak awal penularan pandemik Covid-19 selepas pintu sempadan ditutup bagi mengekang peningkatan kes.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), YAP LIP SENG ketika ditemubual wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID berharap kerajaan melihat dari pelbagai sudut bagi memastikan industri ini terus ‘hidup’ dan tidak terkubur.

 

UTUSAN: Bagaimana anda melihat sektor perhotelan di negara ini sepanjang tempoh PKP sejak Mac tahun lepas?
LIP SENG : Sejak pembukaan semula pelancongan domestik pada 7 Disember lalu, industri menampakkan peningkatan tempahan bilik khususnya untuk tempoh cuti Hari Krismas dan sambutan tahun baharu. Kadar penginapan meningkat sehingga 43 peratus tetapi harga bilik lebih rendah dengan anggaran diskaun antara 30 hingga 70 peratus.

Apabila PKP diumumkan semula dan sekatan pergerakan antara negeri berkuat kuasa 13 Januari lalu, industri menerima pembatalan tempahan bilik di seluruh negara. Kadar penginapan hotel dijangka jatuh kepada tahap di bawah 20 peratus seperti semasa pelaksanaan PKP, Mac tahun lalu.

Dengan permulaan tahun 2021 yang terjejas teruk, kadar penginapan hotel dianggarkan kurang daripada 20 peratus untuk suku pertama dan seterusnya bergantung kepada kelonggaran kawalan pergerakan dan pembukaan semula sempadan negara.

Keadaan tidak dijangka berubah sehingga akhir 2021 dan dengan itu kemungkinan besar kadar penginapan hotel tidak akan melebihi 30 peratus untuk keseluruhan tahun.

Berapa jangkaan penurunan kadar penginapan dan kerugian dalam tempoh itu?
Berdasarkan kaji selidik MAH, industri perhotelan dijangka kehilangan pendapatan sekurang-kurangnya RM300 juta setiap dua minggu sepanjang tempoh PKP.

Untuk tahun lalu, kami menganggarkan kehilangan pendapatan sebanyak RM6.5 bilion. Kadar penginapan hotel untuk tahun lalu adalah lebih kurang 31 peratus secara purata termasuk sebagai pusat kuarantin, berbanding 2019 pada 61 peratus.

Harga bilik penginapan secara purata jatuh antara 30 hingga 70 peratus bergantung kepada lokasi.

Pembukaan semula sektor pelancongan domestik pada Jun lalu memberi sedikit sinar untuk merancakkan kembali sektor perhotelan. Berapa peningkatan ketika itu?
Semasa PKPP pada Jun tahun lalu, industri perhotelan mencatatkan peningkatan kadar penginapan pada tahap tertinggi sehingga 42 peratus semasa hujung minggu sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada Ogos.

Kadar penginapan mula menunjukkan tanda-tanda stabil pada September lalu iaitu lebih kurang 39 peratus tetapi jumlah tersebut kembali jatuh akhir September hingga November lalu dengan mencatatkan serendah 20 peratus secara purata dan kurang 10 peratus di kebanyakan destinasi pelancongan tempatan.

Difahamkan banyak pemilik hotel melahirkan kekecewaan selepas pembentangan Belanjawan 2021 yang dilihat tidak membantu kelangsungan industri perhotelan untuk kekal. Komen?
Sektor pelancongan adalah yang paling terjejas dan melalui Belanjawan 2021, MAH menaruh harapan kepada kerajaan untuk menyalurkan lebih bantuan terus kepada industri yang kini hampir lumpuh. MAH telah lama meminta kerajaan menaikkan kadar subsidi upah dengan kadar 50 peratus untuk pekerja bergaji maksimum RM4,000 dan 30 peratus untuk mereka bergaji sehingga RM8,000. Ini adalah satu-satunya cara untuk melindungi industri dan pekerja.

Tambahan lagi, diskaun elektrik yang dicadangkan pada kadar 50 peratus bersama diskaun bekalan air serta pengurangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada majikan untuk membantu aliran tunai. Kerajaan juga sepatutnya mengarahkan moratorium pinjaman bank atau syarikat kewangan seperti tahun lalu bagi membantu bukan sahaja industri tetapi juga individu terjejas.

Untuk jangka panjang, industri hotel wajar diberi tarif elektrik industri yang lebih rendah dan bukannya komersial memandangkan sumbangan industri kepada ekonomi negara.

Kami juga telah mencadangkan pelepasan cukai individu lebih tinggi untuk aktiviti pelancongan domestik sebanyak RM5,000 dan juga bagi syarikat-syarikat yang menganjur atau mengadakan aktiviti di hotel seperti mesyuarat, konvensyen dan bengkel.

Selain itu, antara isu yang telah lama tertunggak adalah memansuhkan kutipan cukai pelancongan masih lagi tidak dilaksanakan.

Apa masalah dihadapi sepanjang penularan Covid-19?
Masalah paling ketara adalah ketidaktentuan hala tuju industri. Pada masa sama, pengusaha hotel tidak dapat membuat keputusan yang tepat untuk situasi semasa termasuklah perancangan pekerja hotel dan kekeliruan pelaksanaan PKP dengan sekatan dan larangan yang berlainan setiap masa.

Tambahan pula kerajaan tidak prihatin dengan industri perhotelan. Walaupun hotel dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu, namun industri tersebut masih kehilangan hampir semua punca pendapatan disebabkan oleh sekatan pergerakan orang ramai.

Dari segi operasi hotel seharian, kos penyelenggaraan adalah tinggi walaupun tiada tempahan. Pembersihan masih perlu dijalankan dan peralatan-peralatan sama ada mekanikal atau elektrikal masih perlu diselenggara.

Apa lagi perniagaan atau perkhidmatan yang boleh ditawarkan oleh pemilik hotel demi memastikan kelangsungan perniagaan?
Pelaksanaan PKP juga memaksa pengusaha hotel untuk mempelbagaikan perkhidmatan dan tawaran terutama perkhidmatan makanan dan minuman. Hotel yang biasanya hanya menawarkan makanan di kafe atau restoran masing-masing kini menyediakan penghantaran serta bawa pulang.

Ada juga hotel yang lebih kreatif dengan menjual barangan jenama sendiri serta menawarkan peluang tempat kerja semasa PKPP apabila dibenarkan oleh kerajaan.

Bagaimanapun, inisiatif-inisiatif ini tidak mampu menjana pendapatan mencukupi untuk pengusaha hotel. Perkhidmatan tambahan seperti ini hanya bertujuan mengekalkan pekerja dan memastikan mereka tidak hilang pekerjaan.

Tidakkah anda melihat ‘perniagaan kuarantin’ sebagai pilihan kedua terbaik untuk memastikan kelangsungan industri?
Sebenarnya sejak awal April tahun lalu, hotel-hotel di negara ini menyokong inisiatif kerajaan untuk menjadikan hotel sebagai pusat kuarantin. Pada masa ini, masih banyak hotel yang diwartakan sebagai pusat kuarantin tetapi permintaan untuk kuarantin telah berkurangan.

Inisiatif terkini adalah untuk menjadikan hotel sebagai pusat rawatan bagi pesakit positif yang tidak bergejala atau bergejala ringan. Perkara ini masih dalam perancangan antara kerajaan dan hospital swasta. Bagaimanapun, ini tertakluk kepada syarat-syarat dan keperluan Kementerian Kesihatan.

Adakah ini akan melibatkan peningkatan kos?
Antara syarat yang perlu diambil oleh pihak hotel adalah memastikan kerajaan menjamin kadar penggunaan sekurang-kurangnya 80 peratus jumlah bilik kerana hotel perlu ditutup sepenuhnya untuk tujuan ini, selain perlu bertanggunjawab ke atas kerja-kerja sanitasi sebelum atau selepas penggunaan bilik.

Dalam pada itu, kakitangan Kementerian Kesihatan perlu ditempatkan di hotel pada setiap masa sementara pihak berkuasa berperanan mengawal keselamatan. Kerajaan juga diminta membekalkan pakaian peralatan perlindungan diri (PPE) kepada hotel.

Industri sedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat?
Beberapa buah hotel sudah bersedia untuk tujuan ini, itu pun tertakluk kepada syarat dan terma kerajaan yang belum lagi ditentukan.

Berapa peruntukan yang diperlukan untuk tujuan ini?
Sekiranya kerajaan bersetuju dengan syarat-syarat di atas dan menanggung kos-kos tersebut secara terus, hotel bersedia untuk menawarkan harga bilik yang berpatutan dan membekalkan makanan untuk pesakit tiga kali sehari. Sebelum ini bagi tujuan kuarantin, harga yang ditetapkan oleh kerajaan adalah RM150 untuk satu bilik setiap malam bagi seorang penginap.

Beberapa hotel di Thailand memperkenalkan konsep kuarantin yang unik di resort-resort golf. Tidakkah kita mahu mengikut langkah tersebut?
Kami telah banyak kali mengusulkan inisiatif sebegini, termasuk untuk tujuan mesyuarat atau konvensyen antarabangsa tetapi masih tiada maklum balas daripada kerajaan dan masih tidak kelihatan sebarang perancangan awal dalam pembukaan semula sempadan negara secara berperingkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN