Pensijilan halal dilandskapkan sebagai permintaan perdagangan dan alat pemasaran yang membawa keuntungan walaupun asal perkataan halal itu dinisbahkan perintah agama. Pensijilan Halal Malaysia diakui sebagai yang terbaik di peringkat global, salah satu pemacu utama kepada kejayaan dan perkembangan pesat industri halal global. Diukur nilai import halal negara yang kini berjumlah (RM104 bilion) dan dijangka terus meningkat kepada RM333 bilion menjelang 2030, bermakna Halal Malaysia yang dimulakan dan diuruskan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dianggap sebagai halal gateway economy iaitu pencetus kepada pasaran halal atau ekonomi halal dunia.
Tiada Jakim atau JAIN, tiada ekonomi halal. Bukan hanya di Malaysia tapi global, sebabnya Jakim juga mengiktiraf badan pensijilan halal di seluruh dunia. Namun untuk mencapai tahap kini, pelbagai detik sejarah perlu dijadikan ibrah. Sejarah bukan untuk dikenang tetapi menjadi titik kemajuan. Sejarah perlu dibetulkan supaya ia tidak dikelirukan.
Apa yang menyedihkan, apabila tercetusnya isu kartel daging sejuk beku, maka ada suara sinis mencadangkan Jakim dirombak kerana terlibat dalam ketirisan integriti dan rasuah berleluasa.
Fenomena rombak Jakim berlaku setiap kali isu halal dibangkitkan dalam media massa. Maka agensi agama yang disalahkan berkaitan halal sudah semestinya Jakim.
Isu halal mendapat liputan meluas media massa dan perhatian pengguna kerana ia sangat sensitif, walaupun kadang-kadang orang yang mencanangkan itu tidak sensitif mana pun dalam isu halal haram lain. Sama seperti isu masjid ditutup sebab Covid-19, ramai yang marah. Apabila dibuka semua, yang marah entah ke mana.
TAMPARAN
Oleh itu, isu kartel daging sejuk beku memberikan satu tamparan kepada Jakim. Mereka tidak mengetahui bagaimana Jakim yang sinonim dengan perkataan halal telah membangunkan pensijilan halal bermula dari kosong sehingga menjadi sumber ekonomi, marketing tool dan mencapai pelbagai kejayaan yang diiktiraf sama ada dalam atau luar negara. Halal Malaysia adalah terbaik di dunia dan menjadi rujukan bagi badan persijilan halal lain di dunia.
Di Malaysia, perkataan halal bukan lagi milik mutlak etnik Melayu Muslim. Komuniti peniaga kebanyakan bukan Islam mula sedar kepentingan halal dan memohon produk barangan mereka diberikan pengesahan halal walaupun masih bersifat sukarela. Perubahan ini memecah tembok sempadan perbezaan agama dan budaya yang menganggap piawaian dan standard halal hanya untuk orang Islam. Produk halal boleh dimakan dan digunakan oleh sesiapa sahaja termasuk bukan Islam. Ia adalah satu perintah Allah sebagaimana dijelaskan dalam surah al- Baqarah ayat 168:
“Hai sekalian manusia, makanlah yang halal lagi baik dari apa yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Kerana Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu.”
Kepakaran dan keilmuan Jakim berkaitan ekosistem pensijilan halal adalah tunjang kekuatan Halal Malaysia sehingga menjadi rujukan kuasa ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat, China, Jepun, Australia, New Zealand, Korea Selatan. Kekuatan halal knowledge economy (HKE) ini perlu dijana dan dicanang sebaiknya ketika Malaysia dilihat bukan negara utama pengeluar produk halal.
Jepun yang sepatutnya menganjurkan Olimpik 2020 ingin mencipta sejarah olimpik halal pertama menjadikan Jakim sebagai rujukan halal utama. Ini adalah kepercayaan sebuah negara maju ke atas Halal Malaysia.
INOVASI
Jakim membuktikan agensi agama mampu bersaing dari segenap sudut termasuk inovasi dengan kejayaan berinovatif merentasi arus globalisasi. Ini termasuk makmal halal pertama dunia iaitu Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) menelan belanja RM56.7 juta di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan yang beroperasi sejak 2015 dengan kelengkapan makmal serba canggih.
Jakim dan Jabatan Standard Malaysia terpilih menduduki kerusi Lembaga Pengarah Institut Standard dan Metrologi Negara-Negara Islam (SMIIC) pada 2018 dalam pembangunan standard halal negara-negara Islam. The BrandLaureate World Halal Bestbrands Awards 2019 bagi kategori Brandleadership Awards 2019 juga menganugerahkan Ketua Pengarah Jakim, Datuk Mohamad Nordin atas sumbangan dan peranan beliau secara aktif dalam meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan pensijilan Halal Malaysia.
Jakim turut menerima Strategic Business Partner Brand Award yang mengiktiraf Halal Malaysia di persada global. Pada 10 Oktober lalu, Jakim memperoleh kelulusan akreditasi ISO/IEC 17065 yang mematuhi sepenuhnya keperluan, standard dan perundangan ditetapkan oleh International Organization for Standardization (ISO). Jakim juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Inovasi Halal Terbaik 2020 daripada SMIIC.
Justeru, adakah kita sendiri malu mengiktiraf Jakim? Kejayaan ini bukan kebanggaan, tidak bermakna Jakim tiada kelompongan. Cuma saya mahu berkongsi kejayaan yang dikecapi sepanjang 17 tahun terlibat dalam pengurusan pensijilan halal sejak 2003. Sejarah dan perjalanan pensijilan halal yang panjang dan menarik bermula pada 1965. Apa yang perlu dicadangkan ialah menambah baik dan memperkasa Jakim sama ada dari sudut pegawai, peruntukan atau memperkemaskan prosedur serta peraturan halal supaya ia menjadi bukti kesungguhan memartabatkan halal untuk ekonomi ummah.
Bayangkan jika Jakim tidak lagi menguruskan pensijilan halal?
PENULIS ialah Panel Pakar Industri Halal Negara dan Penyelidik di Pusat Kajian Halal Universiti Malaya (UMHRC).










