Ramai yang tidak jangka kita akan sekali lagi berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), iaitu sama seperti 18 Mac tahun lalu. Walaupun PKP 2.0 hanya melibatkan enam negeri, iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Melaka, namun impak pelaksanaannya cukup terasa di seluruh negara. Ini ditambah pengisytiharan darurat sehingga 1 Ogos nanti.
Ironinya, tatkala begitu yakin dapat menangani wabak Covid-19 dan menang dalam peperangan melawan virus ini, secara tiba-tiba kita dikejutkan dengan peningkatan mendadak jumlah kes yang direkodkan. Jadi, banyak yang boleh dipelajari daripada pelaksanaan PKP pertama agar kita tidak mengulangi kesilapan sama dalam PKP 2.0.
Statistik menunjukkan kita berjaya mengawal penularan wabak ini melalui pelaksanaan PKP mulai Mac tahun lalu, sekali gus membolehkan kita memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Namun, umpama peribahasa, disangka panas sampai ke petang, kiranya hujan di tengah hari, kegembiraan kita ternyata hanya seketika apabila bermula penghujung November lalu, negara mula merekodkan fenomena kes harian empat digit. Peningkatan secara mendadak kes harian kembali mencetuskan panik dalam kalangan rakyat dan petugas barisan hadapan.
LALAI
Akhirnya kita sampai ke detik keperluan untuk melaksanakan semula PKP dan kali ini fokus kepada negeri yang mencatatkan kes tertinggi. Kebenaran rentas negeri di seluruh negara juga terpaksa ditarik balik kerana khuatir penularan wabak akan terus memuncak.
Persoalannya, kenapa secara tiba-tiba kes yang direkodkan boleh naik mendadak? Jujurnya, kita perlu tepuk dada dan tanya minda masing-masing kerana jawapannya ada pada diri kita sendiri. Ternyata kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan melalui PKPP dan juga PKP Bersyarat (PKPB) disalahguna oleh masyarakat sehingga kita leka dan lalai betapa virus itu masih ada bersama kita.
RAKUS
Apa yang cukup menyedihkan, nasihat demi nasihat yang diberikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada setiap hari umpama mencurah air ke daun keladi atau ringkasnya masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Pengorbanan petugas barisan hadapan juga seolah-olah langsung tidak dihargai. Saya akui, ramai yang sentiasa akur dan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan seperti memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal. Namun, jangan kita menafikan masih terdapat sebahagian masyarakat sudah semakin alpa dan leka sekali gus memasuki fasa acuh tak acuh dengan SOP yang berkuat kuasa. Mereka inilah menjadi sumber penularan wabak ini.
Apabila kita ambil mudah ketika PKPP mahupun PKPB, wabak ini kembali menyerang dengan lebih rakus. Akibatnya, bilangan kes kematian semakin meningkat dan membimbangkan. Misalnya, ketika kerajaan memberi kelonggaran pergerakan, kita terlalu leka hingga menjelajah seluruh negara. Penduduk dari zon merah juga didapati begitu bebas ‘merayau’ ke merata tempat tanpa menyedari kemungkinan kita menjadi ejen penularan wabak tersebut. Sekarang nasi sudah menjadi bubur, kita tidak boleh menyalahkan orang lain dan terpaksa akur untuk kembali berkurung di rumah angkara perbuatan diri sendiri.
Dalam konteks ini, satu perkara yang perlu diberi perhatian serius adalah sikap dan tingkah laku kita yang semakin leka dalam mematuhi SOP menyebabkan petugas barisan hadapan semakin dibebani pertambahan kes harian. Harus diingat, seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri sendiri, fasiliti Kementerian Kesihatan sudah tidak mampu untuk menampung peningkatan sehingga empat digit angka kes baharu pada setiap hari. Apakah kita mahu membiarkan angka ini terus meningkat? Sedarlah betapa peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian juga akan terus meningkat.
TERKURUNG
Justeru, sudah tiba masanya kita betul-betul ambil iktibar dan belajar daripada kesilapan lalu jika tidak mahu keadaan menjadi semakin parah. Sepatutnya pada peringkat ini, kita tidak perlu diingatkan lagi untuk memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakan fizikal, apatah lagi ada yang ditangkap kerana ingkar PKP. Sewajarnya SOP tersebut sudah menjadi budaya dan amalan norma baharu dalam kehidupan seharian kita. Tanyalah diri sendiri, apakah kita mahu terus terkurung di rumah dengan pergerakan yang terbatas, menyambut hari perayaan dalam rumah sendiri sahaja, tidak dapat berjemaah di surau atau masjid, hasil pendapatan terjejas bagi mereka yang bergaji harian dan berniaga, berkemungkinan dibuang kerja serta tidak dapat menguruskan jenazah ahli keluarga yang mati akibat wabak ini? Kini semuanya terletak pada diri kita sendiri.
Seboleh-bolehnya kita tidak mahu PKP 2.0 ini dilanjutkan lagi kerana kehidupan rakyat cukup terjejas. Oleh itu, saya merayu kepada seluruh rakyat agar patuhilah segala SOP yang ditetapkan.
Ambil iktibar dan jangan ulangi kesilapan sama. Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membantu memutuskan rantaian penularan wabak ini. Ingat, kita belum menang lagi!
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










