Saya amat tertarik dengan pandangan Penolong Setiausaha Agung Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr. Rosna Awang Hashim yang disiarkan dalam Utusan Malaysia, kelmarin supaya kerajaan memberikan peluang dan melaksanakan cadangan-cadangan yang baik daripada ahli akademik dalam merangka dasar negara di peringkat nasional.
Selama ini pun agak banyak perbincangan, seminar dan forum diadakan dalam kalangan para cendiakawan dan sarjana yang mengambil resolusi dan cadangan terbaik untuk dijadikan asas bagi beberapa dasar negara, Namun, kebanyakan pemikiran yang terbaik itu sering hanya tertinggal di dalam fail atau buku resolusi semata-mata kerana beberapa sebab tertentu yang seharusnya dikaji juga.
Hal ini berlaku bukanlah kerana profesor kita yang berjumlah ribuan pada hari ini tidak mempunyai kualiti terbaik seperti difahami oleh sesetengah pihak. Memandangkan hakikat inilah, rasanya Rosna juga menegaskan bahawa terdapat cadangan dan pandangan para sarjana kita mungkin merupakan keputusan yang tidak berdasarkan fakta dan bukti seperti diperlukan. Namun pada pandangan beliau, kalaulah negara ini sentiasa mengambil kira fakta empirikal dan kajian mendalam dalam membuat keputusan, maka profesor akan sentiasa menjadi lebih relevan.
Sememangnya jika difikirkan kepada jasa dan pemikiran Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, amat nyata beliau meninggalkan beberapa institusi negara yang amat baik dan ulung sekali. Hal ini juga berlaku mungkin kerana kerajaan pada zamannya sanggup menerima kerangka dan cadangan yang beliau lakukan pada zamannya seperti penubuhan Tabung Haji.
SERIUS
Malah dalam pentadbiran dan pengurusan negara mengikut sarwajagat Islam, saya mendapat maklum daripada pihak tertentu, terdapat beberapa pandangan para akademik kita yang tidak diambil secara serius oleh pimpinan negara seperti dasar kurikulum pendidikan Islam umpamanya, juga peningkatan dasar ekonomi umat Islam seperti dana zakat.
Contohnya, cadangan dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab tentang langkah kerajaan sendiri yang mengambil alih tugas pungutan zakat dengan penubuhan Pusat Pengutan Zakat. Hasil daripada usaha yang baik ini maka kini kita telah dapat mengumpulkan wang pungutan zakat lebih RM3 bilion setahun dari negeri-negeri di Semenanjung. Jumlah ini dijangka bertambah pada masa akan datang. Berdasarkan kenyataan ini, dicadangkan ditubuhkan sebuah institusi Islam secara khusus untuk menjana dan memanfaatkan sumber kewangan zakat itu.
Pungutan wang zakat tersebut mungkin dapat digerakan menerusi satu permodalan yang aktif dalam pelbagai sektor seperti ekonomi hartanah, pelaburan saham dan perladangan.
Mekanisme ke arah merealisasikan hal ini mungkin dapat diterajui oleh kuasa pemerintah kita kerana tujuan zakat bukan hanya untuk memberi wang kepada para penerima, tetapi untuk asnaf dan fakir miskin yang kemudiannya bangun sebagai pembayar zakat.
PRAKTIKAL
Di samping itu terdapat juga pandangan supaya kurikulum pendidikan Islam terutama di sekolah dan pusat tahfiz disusun semula metodologi pengajaran, buku teks dan latihan tenaga pengajar secara lebih praktikal dan bersesuaian dengan perkembangan ilmu pengetahuan terkini. Juga penghayatan nilai dan etika Islam yang lebih berkesan lagi pada zaman penuh pergolakan pemikiran dan cara hidup ini.
Saya hanya memberikan beberapa contoh tertentu tentang hal ini. Yang saya pernah terlibat dan mengetahui dengan agak mendalam mengenai isu ini. Saya percaya, para profesor dan sarjana kita mempunyai pandangan lebih luas. Malah mengikut Rosna lagi – “kerajaan harus mempercayai dan menjalinkan hubungan dengan mana-mana pakar dalam bidang masing-masing dan bukannya menumpukan perhatian kepada yang hanya pandai bercakap tetapi tidak berasaskan bukti dan kajian formal.”
Di samping itu, “profesor harus mengetengahkan penemuan dan inovasi terhadap kajian mereka agar seluruh masyarakat dan negara sedar akan sumbangan mereka dalam bidang ilmiah…” seperti ditegaskan oleh Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Mohammad Shatar.
Mungkin kesedaran dan norma baharu akibat Covid-19 yang sedang kita mencuba untuk memahaminya dengan baik dan mengamalkannya akan membawa banyak perubahan dalam negara ini dan merealisasikan pandangan Tun Dr. Arshad Ayub yang mengharapkan bahawa “…dengan kerjasama antara kumpulan profesional dan profesor, diharapkan ada lebih banyak artikel penyelidikan membabitkan idea di luar kotak dihasilkan seterusnya memberi sumbangan besar kepada masyarakat.”
DATUK Profesor Dr. Ismail Ibrahim ialah bekas Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










