Wow! Harga emas naik 700 peratus - Utusan Malaysia

Wow! Harga emas naik 700 peratus

PELANGGAN yakin dengan jenama Makmur Gold kerana selain menjual emas secara dalam talian, ia juga mempunyai kedai fizikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

PADA zaman dahulu, emas dijadikan sebagai mata wang dalam transaksi perniagaan. Berbeza pada masa kini apabila emas sering digunakan sebagai komoditi dalam perniagaan seterusnya menjana keuntungan.

Emas boleh menjadi pelaburan yang baik dalam keadaan kemeruapan harganya pada masa kini. Komoditi emas mempunyai nilai kukuh dan berpotensi terus meningkat pada masa akan datang.

Wartawan Utusan Malaysia, MOHAMAD SHOFI MAT ISA menemu bual Pengerusi Koperasi Muafakat Makmur Berhad (Ko-Makmur), HISHAMUDDIN ABDULLAH bagi berkongsi pandangannya tentang pelaburan komoditi berkenaan.

 

UTUSAN: Bagaimana Ko-Makmur boleh memilih menceburi perniagaan emas?
HISHAMUDDIN: Kita mula-mula buka perniagaan pada 2018 di Jerantut, Pahang. Masa itu, syarat untuk buka koperasi agak cerewet. Pada masa itu, kita ternak lembu dan buka kedai cuci kenderaan. Dalam Ko-Makmur, kita mempunyai seorang ahli lembaga pengarah yang mahir dengan emas dan dia membawa kita berjumpa dengan pembekal emas. Pada waktu itu belum ada koperasi di Malaysia yang buat kedai emas.

Jadi, kita bermula dengan buka cawangan di Kuantan di bawah jenama Makmur Gold. Pada peringkat awal, kita ambil bekalan tiga kilogram emas sahaja. Alhamdulillah, sekarang setelah kira-kira dua tahun, kita mempunyai lebih 60 kilogram emas. Ketika ini, kita mempunyai stok emas fizikal yang berupa barang kemas berjumlah RM15 juta.

Kenapa emas penting?
Emas merupakan perniagaan paling lama di dunia, iaitu sejak 1,400 tahun dahulu. Pada zaman nabi, mata wang ketika itu dinar (emas) dan dirham (perak). Nilai emas stabil. Pada 1,400 tahun dahulu, satu dinar boleh beli seekor kambing. Satu dinar bersamaan 4.25 gram emas. Harga satu dinar kira-kira RM1,000.

Jadi, emas adalah medium penyimpan nilai, kalis inflasi dan tidak susut nilai. Harga emas sedar atau tidak sedar semasa awal tahun 2000 adalah kira-kira RM60 satu gram. Sekarang harga emas RM260 satu gram dan kenaikannya sebanyak 700 peratus.

Sejauh mana jualan emas Makmur Gold?
Alhamdulillah, Ko-Makmur merekodkan hasil jualan mencecah RM80 juta setahun menerusi empat cawangan kedai emas yang dimiliki, iaitu di Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu, Terengganu; Bangi, Selangor dan juga di Kota Bharu, Kelantan. Pencapaian luar biasa ini adalah pemangkin kepada Ko-Makmur untuk terus melonjak ke peringkat seterusnya.

Ko-Makmur kini mempunyai kilang emas yang memenuhi standard dan piawaian ditetapkan yang terletak di Kota Bharu. Di kilang itu, kita mempunyai lebih 30 tukang emas. Semuanya terdiri daripada anak muda Melayu yang kreatif dan inovatif dalam menghasilkan reka bentuk barang kemas.

Selain kedai fizikal, kita juga melakukan jualan secara dalam talian yang mana kita mempunyai sistem atau market place yang tersendiri. Kita mempunyai lima kilogram stok emas yang mana kita hanya jual secara dalam talian.

Kaedahnya ialah pelanggan boleh masuk ke market place kita dan memilih barang kemas diminati. Tiada kos tersembunyi yang mana bayaran hanya berdasarkan berat gram emas yang akan didarabkan dengan harga emas semasa. Sehingga kini, Makmur Gold mempunyai hampir 2,000 usahawan emas secara dalam talian yang berdaftar dengan kita. Pendapatan mereka ini cukup lumayan sehingga ada mencecah RM30,000 sebulan.

Bagaimana Makmur Gold bina jenama?
Ini merupakan cabaran kepada kita, iaitu untuk membina jenama. Pada peringkat awal, kita bina jenama Makmur Gold dengan membina keyakinan orang ramai. Kita wujudkan kedai fizikal bermula di Kuantan dan selepas itu dilebarkan cawangan-cawangannya.

Apabila orang yakin dengan jenama ini selepas melihat kita mempunyai kedai fizikal, sekali gus mereka yakin untuk membeli secara dalam talian. Atas faktor ini juga, jualan secara dalam talian kita terus meningkat dari semasa ke semasa.

Selain itu, kita juga terus membuat pemasaran dari semasa ke semasa termasuk dalam radio tempatan dan menguar-uarkan kepada orang ramai bahawa Makmur Gold adalah milik penuh Ko-Makmur, iaitu 100 peratus anak tempatan.

Perlukah diwujudkah dinar emas?
Saya melihat idea mewujudkan dinar emas ini telah lama dibangkitkan dan ia adalah idea yang baik. Tetapi mungkin pada waktu tersebut, ekonomi kita masih belum bersedia ke arah itu. Tetapi sekarang, kita lihat terdapat ruang untuk guna dinar dan dirham. Kita perlu ada medium tanpa terikat kepada Bank Negara Malaysia (BNM). Ini kerana emas bukan mata wang dan tidak dikawal selia oleh BNM.

Jadi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)melihat ini sebagai ruang untuk membangunkan sistem kewangan sendiri yang disebut sebagai E-Rahn. Ini disebut sebagai sistem ekonomi.

Apa itu E-Rahn?
E-Rahn adalah sistem kewangan patuh syariah yang mana asas utamanya adalah emas. Ia merupakan sistem yang akan digunakan oleh semua koperasi kredit supaya ia seragam. Apabila kita cadangkan kepada SKM untuk membangunkan sistem digital ini, alhamdulillah, ia diterima.

E-Rahn dilihat sebagai penyelesaian kepada perniagaan Ar-Rahnu di bawah seliaan SKM yang kini berubah landskap kepada Ar-Rahnu Tawarruq, sejajar arahan BNM menerusi Majlis Penasihat Syariahnya seperti diumumkan penguatkuasaannya pada 1 Februari lalu.

Sistem digital ini mempunyai lebih daripada 10 modul selain Ar-Rahnu Tawarruq yang memberi impak tinggi kepada rakyat. Antaranya pembiayaan perumahan tawarruq, pembiayaan peribadi tawarruq, pembiayaan kenderaan tawarruq, simpanan emas dan perak serta sistem perniagaan tukar barang menggunakan emas dan perak yang akan dibangunkan secara berperingkat.

Kos pembangunan dan pengoperasian sistem E-Rahn akan dibiayai sepenuhnya oleh Ko-Makmur dan sistem ini dijangka memulakan operasinya pada awal tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN