Percubaan menolak untuk menggagalkan Belanjawan 2021 Kementerian Pendidikan oleh pihak tertentu bukan sahaja memperlihat betapa tersasar pemikirannya. Ia juga memperlihatkan pihak itu sudah jauh ketinggalan zaman. Penghujahan penolakan itu didapati berkisar pada mutu rendah sistem pendidikan kita yang dikaitkan sebahagian besar dengan tiadanya penggunaan bahasa Inggeris secara signifikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Bahasa Inggeris dalam penghujahan ini dilihat sebagai bahasa ilmu satu-satunya untuk sesetengah mata pelajaran terutama sains dan matematik. Sehubungan itu, persoalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) yang dimansuhkan pada 2009 terus dibangkitkan, walaupun sudah digantikan pada 2016 dengan Dual Language Program (DLP).
Sebenarnya, DLP ini jauh lebih menyeluruh selain maju daripada PPSMI dari segi penggunaan bahasa Inggeris yang diingini itu. Ini kerana liputan mata pelajarannya lebih meluas. Lebih utama lagi, DLP tidak sesekali bersifat autoritarian seperti PPSMI kerana sama sekali tidak dipaksa kepada semua murid, melainkan dipilih sendiri ibu bapa.
Dengan terus-terusan mengagung-agungkan PPSMI tanpa mengetahui sudah ada perkembangan lebih terkini, ia memperlihat betapa begar hati pihak berkenaan untuk memperoleh sebarang perkara yang diingini tanpa mengira kesesuaiannya lagi.
Pendidikan Islam yang tidak seberapa bilangan waktu pengajaran dan pembelajarannya ikut dijadikan faktor yang melemahkan sistem pendidikan negara. Ia yang hanya diperuntuk 180 minit seminggu di sekolah kebangsaan, ditomahkan sebagai semacam meliputi seluruh tempoh pembelajaran sepanjang seminggu. Lebih malang lagi, wasangka ini datang daripada pihak Melayu-Muslim sendiri.
Daripada penghujahan itu, pihak berkenaan yakin mutu sistem pendidikan kita akan meningkat, malah memperlihat lonjatan saujana, iaitu kemajuan besar-besaran lagi mendadak apabila bahasa Inggeris digunakan sepenuhnya sebagai bahasa ilmu, atau sekurang-kurangnya untuk bidang sains. Dengan kata lain, bahasa Inggeris hendaklah menjadi bahasa pengantar utama dalam sistem pendidikan negara.
Cara berfikir begini daripada kaum Melayu sendiri walaupun segelintir sahaja, memperlihat penafian kepada seluruh sejarah etnik Melayu itu yang bukan sahaja kaya dengan warisan budayanya yang agung, ia ikut memiliki peradaban bermaruah yang rata-rata diungkapkan dalam bahasa Melayu.
Hakikat kepentingan bahasa Inggeris dalam bidang ilmu pengetahuan yang tidak dapat dinafikan, sepatutnya diimbangi secara realiti selain nasionalistik dalam konteks bahasa Inggeris, bahasa sumber ilmu dan bahasa Melayu, bahasa ilmu. Ia tidak boleh sesekali berupa langkah peranjakan daripada bahasa Melayu ke bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi yang sepenuhnya.
KOLOT
Mutu rendah sistem pendidikan negara ikut dikaitkan dengan kurangnya atau keengganan Kementerian Pendidikan untuk menggunakan komputer secara lebih signifikan bagi menyampaikan pelajaran, setelah didakwa diberitahu berkali-kali semenjak sekian lama oleh pihak berkenaan. Sehubungan itu, penggunaan komputer semata-mata dalam sebarang jua cara, bukan kaedah pendidikan afdal. Ini kerana kandungan pendidikan utama sebaik-baiknya disampaikan secara pertemuan bersemuka fizikal antara pengajar dengan yang belajar.
Walaupun ia kaedah tradisional, unsur guru, rakan sebaya, bilik darjah dan sekolah itu sendiri yang dalam bentuk fizikalnya akan memberi pengalaman pendidikan terbaik, selain meningkatkan pergaulan sosial yang sangat penting untuk pembangunan siasiah pelajar.
Dari satu segi, penolakan ini yang menggunakan set hujah tersebut sebenarnya memperlihat sifat kolot lagi degil pada pihak berkenaan, iaitu bukan sahaja pemikirannya yang sudah lapuk ditelan zaman, ia mahu terus dipaksa untuk diterima pakai meskipun amat tidak sesuai lagi.
Dari segi lain, ia memperlihat betapa sasaunya pihak terbabit. Ini kerana yang dibahaskan ialah belajawan negara, iaitu cara percukaian yang mahu dilaksanakan selain perbelanjaan yang dicadangkan untuk tahun kewangan 2021. Dengan ini, penolakan belanjawan Kementerian Pendidikan seharusnya dilakukan berdasar aspek kewangan dan bukannya atas sanding lain.
Cara yang digunakan pihak itu sebenarnya memperlihat niat keji untuk cuba menggagalkan kelancaran pendidikan negara pada 2021. Ini kerana sepatutnya yang seharusnya dibahaskan ialah peruntukan wang yang dicadangkan, yang barangkali tidak selari dengan cara pendidikan normal baharu atau lain-lain. Namun, ini tidak berlaku, sebaliknya mutu yang dibangkitkan tanpa dikaitkan langsung dengan implikasi kewangan.
Tidak dapat dinafikan, penolakan ini adalah bersifat politiking, iaitu penggunaan cara politik yang tidak sepatutnya. Namun, untuk mencapai tujuan politik tertentu, ia terus dilakukan dengan penuh kejelikan tanpa mengambil kira langsung dampaknya kepada masyarakat.
Sehubungan itu, seperkara penting lain ialah ia merendahkan citra politik itu sendiri yang cukup murni, iaitu pembangunan negara untuk kesejahteraan rakyat. Selain itu, ia menjadikan masyarakat enggan lagi berminat dengan politik, bahkan menjadikan mereka benci kepada dinamika politik negara kerana sudah muak dengan pelbagai kerenahnya.
Yang paling dahsyat lagi ialah masyarakat adalah pihak yang langsung perlu menanggung limpahannya, iaitu politik yang berlebihan dan tiada pun manfaatnya kepada rakyat. Oleh itu, sudah tiba masanya masyarakat menjadi responsif terhadap politik rakus ini untuk menolak ahli politik yang candal.
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










