“Saya pasti akan rindukan senyuman manis dan sikap merendah diri beliau.”
Itu reaksi Felow Utama Institut Kajian Etnik (Kita) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr. Teo Kok Seong selepas mendengar berita kematian Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid.
Menurut isterinya, Rohayah Ahmad Bahiran, Ungku Abdul Aziz meninggal dunia petang semalam di Hospital Prince Court, Kuala Lumpur dipercayai akibat sakit tua pada usia 98 tahun.
Jenazah Ungku Abdul Aziz dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, malam tadi.
Mengimbau kembali, Kok Seong yang pada waktu itu merupakan pelajar sarjana muda Jabatan Pengajian Melayu di Universiti Malaya (UM) sering berselisih dengan Allahyarham ketika berjalan kaki di kaki lima kampus.
Allahyarham pada ketika itu ialah Naib Canselor UM.
“Saya tinggal di asrama Kolej Kelima dan perlu berjalan kaki ke dewan kuliah. Saya kerap berselisih dengan Allahyarham yang suka berjoging. Beliau bukan hanya sekadar senyum, tetapi berhenti dan bertanya khabar.
“Apa khabar? Itu salah satu cara beliau mendekati pelajar di kampus,” kata Kok Seong ketika dihubungi Utusan Malaysia, malam tadi.
Perwatakannya yang kemas, menarik dan memiliki paras rupa kacak bak bintang filem serta kedudukan pangkatnya yang besar, sedikit pun tidak menjadikan Allaharyam seorang yang hidung tinggi.
PERAMAH
Sebaliknya sikap peramah dan kredibilitinya menjadi idola kepada semua ahli akademik kerana berjaya membawa gelaran yang merupakan penghormatan kepadanya dengan begitu cemerlang.
Bagi Kok Seong, Ungku Aziz bukanlah calang-calang orang kerana ilmu yang dicurahkan bukan sahaja berhenti di peringkat universiti, sebaliknya membawa kebaikan kepada masyarakat.
Tambah beliau, Ungku Aziz semasa hayatnya tidak pernah penat untuk mencurahkan ilmu sehingga layak dilantik sebagai Profesor Diraja, satu pengiktirafan besar yang amat padan dengan keperibadiannya.
Sebagai orang yang gemar berkongsi ilmu, Ungku Aziz tidak mahu ilmu yang dicurahkannya berakhir sekadar di peringkat menara gading, tetapi mahu membantu memberi kebaikan sekali gus meringankan beban rakyat.
Masih lagi segar dalam ingatannya, bagaimana Allahyarham bukan sahaja dikenali sebagai tokoh pendidikan, tetapi juga tokoh ekonomi apabila mempunyai visi dalam membantu masyarakat terutama orang Melayu.
TABUNG HAJI
Gagasan Tabung Haji merupakan idea bernas olehnya bagi membantu umat Islam untuk mengerjakan haji melalui wang simpanan atau tabungan. Modal Tabung Haji ini digunakan sehingga hari ini.
Allahyarham mahu melihat umat Islam di negara ini dapat mengerjakan ibadah tanpa perlu menggadai harta benda, sebaliknya menggunakan wang simpanan – satu kebaikan yang sukar diungkap dengan perkataan.
Ungku Abdul Aziz dilahirkan pada 1922 di London, England. Bapanya, Ungku Abdul Hamid Ungku Abdul Majid merupakan seorang pegawai berpangkat Leftenan yang berkhidmat dalam pasukan tentera Timbalan Setia Negeri Johor. Ibunya pula, Hamidah Abdullah ialah seorang warga Turki.
Beliau berkahwin dengan Sharifah Azah Aziz dan dikurniakan seorang anak perempuan, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar, iaitu bekas Gabenor Bank Negara Malaysia.
Beliau mendapat pendidikan menengah di English College, Johor Bahru. Seterusnya, memperoleh Diploma in Arts daripada Raffles College, Singapura pada 1947, diikuti Bachelor of Arts (Honours) in Economics dari Univerisity of Malaya, Singapore pada 1951. Pada 1964, beliau memperoleh ijazah Doctor of Economics dari Waseda University, Tokyo.
PERKHIDMATAN AWAM
Ungku Abdul Aziz memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam dengan kerajaan negeri Johor. Pada 1952, beliau mengorak langkah ke alam akademik apabila diterima sebagai pensyarah dalam bidang ekonomi di UM. Beliau dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran dari 1965 hingga 1968.
Beliau menempa sejarah apabila dilantik sebagai Naib Canselor UM selama 20 tahun dari 1968 hingga 1988. Dalam tempoh tersebut, beliau turut memegang jawatan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sehingga kini dan berkhidmat sebagai Penasihat atau Ahli Jawatankuasa Penasihat kepada beberapa institusi tempatan dan antarabangsa.
Sumbangan beliau kepada negara bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga mencetuskan idea penubuhan Tabung Haji dan menjadi Pengarah Pengasas bagi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sepanjang 1971 hingga 2005, beliau dianugerahkan pelbagai ijazah kehormat daripada institusi tempatan dan antarabangsa. Antaranya, Doctor of Humane Letters dari University of Pittsburgh, Doctor of Education dari Chulalongkorn University, Royal Professor of Economic oleh Yang di-Pertuan Agong, Doctor of Laws dari University of Strathclyde dan Doctor of Economics dari Universiti Malaya.










