“Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah.”Peribahasa Melayu tersebut jelas menzahirkan kerisauan rakyat tehadap kemelut politik yang tampak belum surut sejak akhir-akhir ini. Tambahan pula dalam keadaan menghadapi perang asimetri virus Covid-19 yang masih tidak menentu, sudah pasti rakyat mengharapkan kerajaan yang stabil dalam menghadapi ujian sebegini rupa. Sebagai salah satu daripada tiga cabang kuasa pentadbiran, badan legislatif boleh menawarkan peranan inklusif sebagai medium kestabilan politik negara.
Badan legislatif memainkan peranan yang signifikan dalam menggubal, meminda dan memansuhkan undang-undang. Secara integral, ia menjadi platform perbincangan dasar kerajaan dan isu negeri atau nasional selain menjadi mekanisme semak dan imbang (check and balance) kepada badan eksekutif yang mentadbir negeri atau negara. Dalam suasana suhu politik yang sentiasa panas ini, langkah pragmatik perlu diambil serius oleh semua pihak, salah satunya adalah melalui pemerkasaan peranan badan legislatif.
Saya berpandangan, sudah tiba masanya badan legislatif perlu bergerak secara inklusif dalam menjadikan kewujudannya lebih memberi impak kepada masyarakat khususnya. Badan legislatif seharusnya tidak dijadikan rubber stamp sahaja dalam meluluskan sesuatu rang undang-undang atau usul-usul tanpa perbahasan yang kritis oleh Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau ahli-ahli Dewan Rakyat itu sendiri.
Saya ingin meletakkan situasi yang berlaku semasa Sidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Kali Ke-14 (2020) sebagai indikator bagaimana kekusutan atau ketidakstabilan politik boleh dibendung melalui pembuktian bahawa tiada pilih kasih berlaku terhadap mana-mana parti semasa sesi perbahasan. Contohnya, dalam perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan ataupun Belanjawan 2021 Terengganu, peluang berbahas diberikan secara terbuka kepada semua ADUN bahkan buat pertama kalinya dalam sejarah perbahasan undang-undang ini, peluang diberi kepada tujuh orang daripada ADUN bukan kerajaan yakni lebih ramai daripada lima orang sahaja yang sempat berbahas daripada ADUN sebelah kerajaan. Secara tidak langsung, sikap ketelusan yang diamalkan badan legislatif negeri ini lebih dihargai oleh pihak bukan kerajaan yang turut menzahirkan keharmonian sepanjang tempoh persidangan berlangsung.
BUAH FIKIRAN
Selain itu, dalam memupuk keharmonian politik dalam kalangan parti berbeza, segala bentuk pertimbangan keputusan oleh badan legislatif mestilah mengambil kira pembabitan secara holistik pelbagai pihak. Sebagai contoh, badan legislatif boleh melaksanakan kajian penambahbaikan Peraturan-Peraturan Dan Perintah-Perintah Tetap (Standing Rules and Orders) melibatkan wakil-wakil rakyat dari pelbagai parti agar variasi buah fikiran yang bernas dapat disalurkan tanpa perspektif dominan kepada satu-satu parti semata-mata, demi kepentingan rakyat selaras keadaan semasa.
Saya ingin mengajak pembaca untuk mengimbau sejenak kemelut legislatif yang berlaku pada 24 Februari hingga 10 Mac lalu. Peletakan jawatan Perdana Menteri ekoran masalah dalaman sesama anggota parti pemerintah, Pakatan Harapan (PH) pada masa itu membawa dampak kepada kerajaan berasaskan Parlimen seolah-olah mansuh dan tidak dapat berperanan sepenuhnya. Hal ini secara tidak lansung merencatkan fungsi badan legislatif yang turut membawa kesan sosial kepada masyarakat selain turut memberi implikasi negatif kepada ekonomi negara. Perkara yang hampir sama berlaku di Perak yang mana sidang DUN terpaksa ditangguh, susulan kegagalan usul undi percaya terhadap bekas Menteri Besar yang menatijahkan pembentangan belanjawan negeri turut menerima tempias penangguhan.
Persitiwa-peristiwa ini sebenarnya secara tidak lansung membuka kefahaman konservatif rakyat terhadap asas sesebuah badan legislatif dalam mengimplementasikan peranan berkesan terhadap keharmonian politik negeri atau negara.
Saya mengambil kesempatan menyeru kepada semua ahli-ahli badan legislatif di peringkat negeri atau nasional, agar mengambil iktibar untuk sentiasa memelihara kesatuan sesama umat Islam dalam keghairahan kita memperjuangkan fitrah kepartian dalam diri. Hal ini kerana seruan perpaduan dalam al-Quran itu eksplisit sebagaimana dalam surah Ali Imraan (103) yang menyatakan:
“Berpegang teguhlah kamu seluruhnya dengan tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah.”
Datuk Yahaya Ali ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu.










