Bagaimanakah cara untuk menyatukan Melayu?
Barangkali jawapan terbaik adalah mengimbau kembali sejarah kerana sesungguhnya ia tidak ditulis untuk mereka yang sezaman tetapi untuk generasi-generasi selepasnya.
Sejarah hidup manusia sarat dengan catatan mengenai dengki khianat, komplot, konspirasi, pergaduhan, malah peperangan melibatkan adik-beradik dan saudara-mara semata-mata kerana kuasa dan takhta.
Di Asia Purba, teks Maharabrata mengisahkan Perang Kurukshetra atau Perang Bharata antara Pandava dan Kaurava bagi merebut takhta Hastinapura. Jika ada yang berpendapat ia mungkin sekadar fiksyen, Pemberontakan Tiga Pengawal (1042-1039) selepas kematian Raja Wu, pemerintah Zhou di China boleh dijadikan contoh lain tentang tuanya usia peperangan merebut kuasa antara ahli-ahli keluarga.
Di antara Pemberontakan Tiga Pengawal itu sehingga Pemberontakan Putera Hoshikawa (479-480 M) di Jepun, terdapat puluhan lagi peperangan di rantau sama. Itu yang direkodkan. Yang tidak direkodkan, entah berapa banyak.
Sejarah Eropah Purba pula mencatatkan terdapat sekurang-kurangnya 25 peperangan merebut takhta dalam tempoh kira-kira 850 tahun, bermula dari perang perebutan takhta Macedonia antara Crateuas, Orestes, Aeropus II, Amyntas II the Little, Derdas II, Archelaus II and Pausanias sehinggalah Perang Takhta Hunnic (453-454) selepas kematian Attila the Hun.
Bumi Afrika Purba juga tidak sunyi daripada perang perebutan kuasa dalam kalangan ahli keluarga. Ia direkodkan sejak Dinasti Kedua, Keempat dan Kelima kerajaan Mesir purba kira-kira 4,300 hingga 4,700 tahun dahulu.
Itu pada zaman purba. Perang perebutan kuasa tidak hanya terhenti setakat itu. Ia berterusan ke zaman pertengahan awal sehinggalah zaman moden ini. Jumlahnya beratus-ratus, malah mungkin beribu-ribu. Dan perlu disebut, yang saya maksudkan di sini hanyalah perang perebutan takhta dalam kalangan ahli keluarga, bukannya perang oleh sebab-sebab lain.
Sejarah lama England menjadi saksi pada perseteruan sesama sendiri disebabkan perebutan kuasa sejak era Alfred the Great (848/9–899) mula menjadi raja Kingdom of England. Yang berperang, yang berbunuhan, yang memenjarakan saudara sendiri, menghukum pancung isteri, semuanya direkodkan oleh sejarah.
Di rantau sebelah sini pun, kisah sedemikian terlalu banyak. Paling ketara dan wajar direnung adalah apa yang terjadi pada Disnati Mughal (1526-1857) yang disifatkan oleh sejarah sebagai tempoh paling hebat dalam sejarah India sehingga ada pengkaji berpendapat, sejarah India moden bukan bermula dari pendudukan British pada abad ke-19 Masihi, tetapi sejak penubuhan kerajaan Mughal.
Dinasti itu memunculkan nama-nama hebat, Babur, Akbar, Jahangir, Shah Jahan dan Aurangzeb. Pada era kegemilangan dinasti inilah, terutama ketika Shah Jahan menduduki takhta, munculnya binaan-binaan hebat bercirikan Islam di bumi India. Antaranya Taj Mahal yang menjadi simbol cinta Shah Jahan kepada salah seorang isterinya, Mumtaz Mahal (1593-1631).
Tetapi di sebalik kehebatan itu, sejarahnya juga penuh dengan perselisihan, persengketaan malah peperangan antara anggota keluarga dan kaum kerabat. Paling ketara ialah pertembungan antara anak-anak Shah Jahan, iaitu Dara Shikuh, Shah Shuja , Aurangzeb dan Murad yang mula berebut takhta selepas ayahanda mereka uzur pada 1657.
Adalah lazim pada zaman dahulu, anak-anak raja berlainan ibu berperang kerana ada ketikanya mereka saling tidak mengenali disebabkan raja-raja pada masa itu cenderung beristeri baharu di tempat-tempat yang ditawan mereka. Tempat-tempat itu pula kerap kali berjauhan antara satu dengan lain.
Di sebalik kehebatan Shah Jahan membina Taj Mahal yang mengambil masa hampir 20 tahun dengan tenaga kerja seramai 20,000 orang, baginda ternyata tidak mampu menjadikan anak-anaknya manusia yang saling menyayangi. Malah Shah Jahan sendiri dikenakan tahanan dalam rumah oleh Aurangzeb selama hampir lapan tahun, iaitu sehinggalah ke saat kematiannya pada 22 Januari 1666.
Saya petik kisah-kisah sejarah ini bertujuan menunjukkan usaha menyatukan manusia itu tidaklah mudah.
Jika adik-beradik, bapa saudara dan anak saudara, malah anak dan bapa atau anak dan ibu pun susah hendak disatukan, apatah lagi untuk menyatukan satu atau beberapa bangsa manusia.
Tetapi kesukaran itu tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk kita berhenti daripada menggerakkan usaha menyatukan Melayu.
Di sebalik kisah-kisah pahit di atas, ada kisah manis yang patut dijadikan panduan. Kisah bagaimana Rasululllah SAW menyatupadukan penduduk Madinah sehingga menjadi asas kepada terbinanya sebuah kerajaan Islam yang gemilang.
Sebelum kedatangan Islam ke Madinah, kaum Aus dan Khazraj saling bermusuhan sehingga terjadinya peperangan Bu’ath.
Tetapi dengan kebijaksanaan Rasulullah, baginda berjaya mendamaikan kedua-dua suku kaum yang asalnya serumpun, menghilangkan imej Aus dan Khazraj lalu menjadikan mereka orang-orang Ansar. Mereka kemudian dipersaudarakan pula dengan orang-orang Muhajirin dari Mekah.
Usaha itu juga membuahkan kejayaan dan menjadi pemangkin kepada pembentukan Piagam Madinah yang diterima oleh semua penduduk kota tersebut termasuk orang-orang Yahudi, Nasrani dan masyarakat bukan Islam lain.
Dan apabila Yahudi daripada Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah yang mengkhianati piagam itu disingkirkan dari Madinah, kedudukan Islam tidak tergugat malah bertambah kukuh. Sebabnya, mereka bersatu hati. Mereka sedar bahawa perseteruan sesama sendiri tidak akan menjadikan mereka lebih kuat.
Malangnya kita tidak pernah mahu mengambil contoh itu. Sepertinya kita bodoh, dan kita sombong!
Datuk Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan.










