Sedia tanggung risiko sendiri - Utusan Malaysia

Sedia tanggung risiko sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 27 September lalu, seorang wanita patah tulang belakang selepas tali pada badannya putus ketika aktiviti ayunan tali di Kuala Kubu Bharu, Selangor. Ini bukanlah kes kemalangan pertama melibatkan sukan lasak, tidak juga yang terakhir selagi pihak berkuasa bersikap seperti tidak bertanggungjawab.

Apa yang mengejutkan, pada 11 Oktober lalu, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) menyatakan mungkin membenarkan semula aktiviti itu. Menurut MDHS, aktiviti lasak akan dibenarkan untuk disambung semula hanya apabila dasar berkaitan pelaksanaan dikeluarkan dan semua hal ehwal teknikal berada dalam keadaan teratur.

Kenyataan itu dikeluarkan kurang dari dua minggu selepas kemalangan yang disebabkan tali ayunan baharu jambatan. Sukar untuk dipercayai bagaimana keputusan itu boleh dibuat dalam tempoh yang singkat.

Malah sebelum kemalangan, MDHS didakwa memberitahu pengendali supaya berhenti daripada menjalankan aktiviti beberapa kali tetapi pengendali menentang perintah majlis itu. Pada hakikatnya, pengendali beroperasi tanpa permit sejak 2017.

Bagaimana pengendali berjaya menjalankan perniagaannya (kerana ia haram) selama lebih dua tahun dengan pengetahuan MDHS, sementara tidak terdapat garis panduan sukan lasak? Adakah pengendali itu akan terus melanggar undang-undang jika kemalangan tidak berlaku pada 27 September lalu?

Difahamkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga telah memaklumkan kepada pengendali supaya mencari struktur lain memandangkan jambatan di mana kemalangan itu berlaku di bawah bidang kuasa jabatan berkenaan. Jika benar, saranan itu amat mengejutkan kerana ia tetap perniagaan haram walaupun di mana aktiviti tersebut dijalankan.

Adakah pengendali menginsuranskan mereka yang menyertai aktiviti sukan lasak tersebut? Bersediakah syarikat insurans menjual polisi kepada pengendali sukan lasak yang beroperasi secara haram? Jika tiada insurans, peserta sukan lasak perlu menanggung risiko sendiri.

Menurut laporan, Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (DOSH) berkata, garis panduan mengenai aktiviti ayunan tali bukan di bawah bidang kuasanya kerana kegiatan itu tidak dipandu oleh motor dan tidak juga menggunakan mesin mengangkat. Oleh itu, DOSH digesa menggubal garis panduan baharu untuk memasukkan aktiviti yang pada masa ini di luar bidang kuasa mereka.

Selain itu, pihak berkuasa perlu bertanggungjawab terhadap kegagalan mereka untuk menghentikan aktiviti sukan lasak tanpa terlebih dahulu menggubal dan melaksanakan garis panduan yang sempurna. Ia jelas lebih mengutamakan sukan lasak daripada aspek keselamatan.

Kerajaan juga digesa mengharamkan semua aktiviti sukan lasak sehingga semua agensi berkaitan seperti pihak berkuasa tempatan, Kementerian Belia dan Sukan, dan DOSH menggubal garis panduan lengkap untuk kegiatan berkenaan yang perlu diikuti bagi menjamin keselamatan peserta.

PERSATUAN PENGGUNA
PULAU PINANG (CAP)
Georgetown

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya