Semoga berbahagialah mereka yang gemar membidas dan bersangka buruk tentang penjagaan hutan di Pahang. Kepada kita yang lebih mengetahui, ia ibarat air setitik dilautkan, tanah sekepal digunungkan atau missing the forest for the trees.
Pembidasan serta sangkaan buruk ini masih tidak dapat menidakkan hakikat bahawa Pahang ialah negeri terbaik dalam memelihara hutan seperti diperakui Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) dalam mesyuarat pada Mac 2019 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sepertimana kita ketahui, Pahang ialah negeri terbesar di Semenanjung berkeluasan 3.6 juta hektar atau bersamaan gabungan tiga negeri iaitu Kelantan (1.5 juta hektar), Terengganu (1.3 juta hektar) dan Selangor (793,000 hektar).
Dalam mesyuarat MPFN tersebut dimaklumkan, Pahang adalah penyumbang terbesar kawasan berhutan atau forested area dalam kalangan negeri-negeri di Semenanjung dengan keluasan 2.057 juta hektar atau 57.2 peratus daripada keluasan negeri.
Kawasan seluas 2.057 juta hektar ini boleh disamakan – kecil sikit dari seluruh Perak iaitu negeri kedua terbesar di Semenanjung yang seluas 2.1 juta hektar. Daripada 2.057 juta hektar kawasan berhutan ini, 386,971.14 hektar diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air yang langsung tidak boleh ‘disentuh’ apatah lagi kerja-kerja pembalakan.
Dan 386,971.14 hektar ini pula merupakan tiga kali ganda saiz seluruh Pulau Pinang yang seluas kira-kira 103,104 hektar! Keluasan ini (386,971.14 hektar) ialah tambahan lagi 132,212.58 hektar kepada 254,758.56 hektar sedia ada, sepertimana diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 8 Mei 2019 yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Bukan itu sahaja, usaha penjagaan hutan ini turut meliputi kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands yang pada 9 Oktober 2019, MMK Negeri bersetuju mewartakan kawasan hutan seluas 2,289.62 hektar sebagai hutan taman negeri.
Dengan ini menjadikannya sebagai hutan taman negeri kedua terbesar di Pahang selepas Hutan Simpan Taman Negeri Rompin berkeluasan kira-kira 31,797 hektar yang diwartakan sejak 2000.
Demi memelihara hidupan liar pula, kerajaan negeri meluluskan kawasan seluas kira-kira 127.893 hektar di Sungai Yu, Mukim Batu Yon, Lipis sebagai hutan simpanan kekal (HSK) bagi melindungi hidupan liar termasuk Harimau Malaya. Keputusan mesra-alam dan mesra-hidupan liar ini dibuat dalam mesyuarat MMK Negeri pada 27 November 2019.
NEGATIF
Dalam kecenderungan pihak tertentu kepada hal-hal negatif juga, diam tak diam kerajaan negeri telah pun mewartakan kira-kira 1.5 juta hektar di seluruh negeri ini sebagai HSK, menjadikan Pahang mempunyai kawasan HSK terluas di Semenanjung.
Dalam pada itu pun, kerajaan negeri tidaklah berada dalam denial mode mengenai gejala penerokaan haram.
Oleh itu, ia sentiasa mengambil maklum dan tindakan penguatkuasaan ke atas apa sahaja laporan yang diterima berkaitan penerokaan atau pencerobohan tanah mahupun hutan secara haram di negeri ini.
Usaha dan kejayaan kerajaan negeri menangani dan mengatasi masalah penerokaan tanah haram di Cameron Highlands khususnya di Sungai Ichat baru-baru ini sewajarnya menjadi model kepada usaha-usaha kerajaan negeri seterusnya dalam menangani gejala tersebut.
Rakyat juga diharap dapat membuka mata terhadap usaha dan kejayaan di kawasan tanah tinggi itu serta memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan negeri dalam menangani isu sama di daerah-daerah lain.
KEBUN HARAM
Apa yang tidak dihadapi dalam menangani isu di situ yang berlarutan sejak sekian lama, tahun demi tahun, sebahagian besar disebabkan oleh pengaruh-pengaruh politik tertentu ke atas kepemimpinan negeri.
Selain bantahan oleh petani-petani terbabit termasuk mengadakan demonstrasi hingga memerlukan campur tangan pasukan keselamatan, mereka juga membawa bantahan hingga ke mahkamah yang kemudian menariknya balik.
Namun, Wan Rosdy terus bertegas. Selain merobohkan kebun-kebun haram, Jabatan Perhutanan Negeri diminta menanam semula pokok-pokok yang sesuai di situ.
Selain itu, kerajaan negeri juga mewartakan kawasan seluas 121.12 hektar di situ sebagai HSK Sungai Ichat bagi memastikan Mukim Ulu Telom terus terpelihara.
Akhirnya, bukan sahaja tanah dikembalikan kepada kerajaan negeri, malah air Sungai Ichat yang tercemar sebelumnya pada tahap empat kini menjadi tahap satu yang boleh diminum mentah-mentah.
Semuanya kerana ketegasan serta political will yang tinggi kerajaan negeri dalam usaha memastikan isu penerokaan tanah haram di kawasan tanah tinggi itu dapat diselesaikan. Dan inilah juga mesej hendak disampaikan oleh kepemimpinan Wan Rosdy yang dengan ketegasan secara beristiqamah inilah juga diharapkan hutan di Pahang akan terus terpelihara.










