Bola sepak merupakan sukan paling diminati di dunia. Pergilah ke perkampungan mana pun, permainan bola sepak pasti wujud. Bagaimanapun, setiap negara mempunyai sukan tradisi atau kegemaran mereka yang tersendiri. Malaysia mungkin tidak sebegitu gah dalam sukan bola sepak, namun kita dikatakan raja badminton dunia.
Edisi pertama kejohanan dunia badminton iaitu Piala Thomas yang diadakan pada 1949 disapu bersih oleh pasukan Malaya setelah menewaskan pasukan dari Eropah, Denmark dengan kemenangan 8-1. Perkara sama turut berlaku pada edisi 1952 apabila Malaya menewaskan Amerika Syarikat di pentas akhir dengan kemenangan besar 7-2. Masih belum puas, pada edisi ketiga Piala Thomas 1955, Malaysia sekali lagi mengalahkan Denmark dengan kemenangan sama seperti edisi pertama, 8-1.
Kali terakhir Malaysia menjulang Piala Thomas ialah pada 1992 mengalahkan musuh tradisi, Indonesia 3-2. Kejayaan dan kehebatan pemain-pemain badminton kebangsaan kita waktu itu dijadikan komik autobiografi terkenal, iaitu Anak-anak Sidek yang menceritakan kisah benar sekumpulan adik-beradik yang berkecimpung dalam dunia sukan badminton dari kecil. Komik ini sangat berkesan dalam menimbulkan perasaan minat untuk bermain badminton dalam kalangan anak-anak muda termasuk saya sendiri! Misbun, Razif, Jalani, Rahman dan Rashid merupakan nama-nama yang sangat dekat di hati para peminat badminton di seluruh negara.
Secara keseluruhan, Malaysia memenangi sebanyak lima kali Piala Thomas dan paling terakhir ke pentas akhir ialah pada 2014, tewas di tangan Jepun 3-2. Itu merupakan kejayaan pertama Jepun dalam kejohanan badminton.
GERGASI
Selepas 1960-an, banyak negara di Asia meningkat prestasi permainan badminton mereka seperti Indonesia dan China. Sementara itu, Malaysia, Indonesia, China dan Denmark masih mengungguli sukan badminton dan sentiasa meniti di bibir penggemar badminton di seluruh dunia kerana status mereka sebagai gergasi badminton.
Saya ingin berkongsi sedikit tentang sukan badminton di negara yang jarang disebut, iaitu Rusia. Mengapa Rusia?
Sukan badminton tidak begitu dikenali di Rusia tetapi kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyatnya. Menurut sejarah, sukan badminton di Rusia bermula sejak 1962 lagi dengan tertubuhnya Persekutuan Badminton USSR. Setelah perpecahan Kesatuan Soviet pada 1991, Persatuan Badminton Kebangsaan Rusia pula ditubuhkan.
Sehingga kini, Rusia begitu aktif menyertai banyak pertandingan badminton di semua peringkat. Kemunculan pertama Rusia dalam Piala Thomas ialah pada edisi 2012 dengan langkah kanan menewaskan New Zealand 5-0 sebelum tumpas di suku akhir oleh juara dunia 2016, Denmark. Rusia turut bersama Malaysia dalam kumpulan D Piala Thomas 2018, namun kita menewaskan mereka 5-0 pada perlawanan pertama di Bangkok.
Saya berjaya menemu bual seorang pemain badminton wanita profesional Rusia, Olga Morozova, 25. Antara kejayaan terbesar Olga adalah memenangi pingat perak di pertandingan kejuaraan Eropah wanita beregu dan gangsa bagi perseorangan. Olga juga pernah berada pada kedudukan ranking ke-19 dunia. Wanita yang berasal dari Ekaterinburg ini mula berkecimpung dalam sukan badminton pada 2002.
Yang menarik, Olga berpengalaman bermain dengan pasukan badminton Malaysia dalam pertandingan. Katanya, pasukan Malaysia mempunyai teknik dan gaya permainan yang baik selain pantas.
“Saya berpendapat, Rusia dan Malaysia boleh menjalin kerjasama dalam badminton. Kedua-dua negara boleh berkongsi ilmu dan pengalaman.
“Bagi saya, ia satu inisiatif yang baik untuk pemain-pemain dari dua negara ini saling berkenalan dan bertukar-tukar pandangan. Ia dapat memberi kelebihan kepada kedua-dua belah pihak,” katanya.
Olga yang bermain dengan tangan kanan melihat Malaysia sebagai destinasi pilihannya.
“Saya berharap suatu hari nanti, saya dapat datang untuk menjalani latihan atau bermain di Malaysia. Saya teruja untuk bermain badminton di negara yang menyanjung sukan ini,” ujarnya.
SINAR
Saya pasti ada sinar dengan cadangan kerjasama dalam sukan badminton antara Malaysia dan Rusia. Kita sendiri menyaksikan bagaimana anak tempatan kita, Allahyarham Izuan Ibrahim yang pernah melatih pemain badminton dunia nombor satu dari Jepun, Kento Momota. Khidmat Izuan telah membantu Jepun menjuarai Piala Thomas buat kali pertama pada 2014. Kejayaan Izuan merupakan faktor dan alasan terbaik untuk kita menjadikan cadangan kerjasama ini sebagai kenyataan. Izuan menghembuskan nafas terakhir pada Disember 2019 dalam usia 35 tahun.
Tidak mustahil untuk kita jadikan Malaysia sebagai lubuk atau hab bagi sukan badminton di seluruh dunia. Jadikan kejayaan anak tempatan sebagai langkah untuk kita memulakan kerjasama dengan badan-badan badminton dunia. Mungkin ini saatnya juga untuk kita memberi peluang kepada pemain-pemain badminton tempatan dan Rusia saling bertukar ilmu.
PENULIS ialah pengkaji hubungan Malaysia-Rusia.










