Nak mencelah jangan mengarut - Utusan Malaysia

Nak mencelah jangan mengarut

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen, minggu lalu. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECELIKAN masyarakat terhadap institusi Parlimen dilihat semakin baik. Masyarakat sudah mula tertarik dan mengikuti pembentangan dan perbahasan rang undang-undang baik melibatkan persidangan Dewan Rakyat atau Dewan Negara. Kepekaan ini mungkin kerana kebolehcapaian masyarakat kepada siaran persidangan yang semakin mudah. Masyarakat tidak perlu menunggu surat khabar keesokan hari untuk mengetahui apa yang berlaku dalam persidangan Parlimen. pelbagai platform yang wujud ketika ini.

Perkembangan ini adalah satu perkembangan yang baik dan positif. Ia menggambarkan sekurang-kurangnya rakyat sudah mula peka tentang badan legislatif di negara ini. Lalu rakyat semakin sedar bahawa mereka memerlukan wakil berwibawa yang boleh berhujah bagi pihak mereka di Parlimen. Atau mereka sudah boleh bersedia untuk menukar mana-mana wakil rakyat bagi membawa suara mereka sekiranya tidak hadir atau bertindak di luar batasan norma manusia yang sempurna akal. Persidangan di Parlimen bukanlah seperti di pasar malam ataupun kedai kopi tetapi penuh dengan ketertiban.

EJEK

Sehubungan itu, adalah penting masa persidangan dimanfaatkan dengan perbahasan yang menyentuh kebajikan rakyat. Inilah yang sebenarnya diperlukan oleh rakyat dan bukan perbahasan ejek-mengejek, keji-mengeji dan sebagainya. Misalnya dalam perbahasan Belanjawan 2021, rakyat secara umumnya mengharapkan wakil-wakil rakyat dalam Dewan Rakyat berbahas isu pokok melibatkan kepentingan mereka.

Belanjawan 2021 atau Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz merupakan belanjawan pertama yang dibentangkan oleh kerajaan Perikatan Nasional. Sebenarnya, pembentangan belanjawan bukanlah suatu perkara asing kepada rakyat. Cuma Belanjawan 2021 ini menjadi tumpuan utama kerana ia menentukan hala tuju negara untuk setahun akan datang terutama apabila kita sedang diuji dengan musibah pandemik Covid-19. Itulah sebab rakyat menjadi lebih peka dan mengikuti rapat Belanjawan 2021 ini.

Belanjawan yang dirangka oleh kerajaan tidak semestinya memuaskan hati semua pihak. Kini bukan lagi zaman yang mana kerajaan boleh mengatakan mereka tahu semua atau zaman yang mana kerajaan boleh mendabik dada mengatakan tahu apa terbaik untuk rakyat. Rakyat sudah semakin pintar dan tahu hak mereka, malah semakin arif menilai. Apa yang diharapkan oleh rakyat adalah persidangan untuk membahaskan Belanjawan 2021 berupaya menterjemahkan prinsip semak dan imbang dalam cabang legislatif. Rakyat tidak boleh mengundi ataupun mengambil tempat dalam perbahasan, justeru wakil-wakil rakyat mereka diharap dapat menggunakan masa persidangan untuk membahas dan berhujah demi kepentingan rakyat secara umum.

KRITIKAL

Belanjawan merupakan satu cadangan bagaimana kerajaan merancang untuk membahagikan hasil negara bagi tujuan pengurusan dan pembangunan. Perkara ini merupakan sesuatu yang kritikal dan penting terutama negara kini berhadapan pandemik Covid-19 yang telah mengakibatkan sektor-sektor ekonomi lemah, pengangguran meningkat selain berhadapan isu kos sara hidup yang tidak pernah menemui titik noktahnya.

MENGARUT

Penyertaan perbahasan oleh ahli-ahli Dewan adalah satu keperluan. Dengan kebebasan yang ada oleh ahli-ahli Dewan, sepatutnya mereka boleh berbahas apa sahaja, cuma janganlah mengarut.

Celahan-celahan yang mengarut daripada ahli Dewan seharusnya dihentikan sama sekali memandangkan rakyat tekun menantikan hala tuju kewangan negara diputuskan. Sikap segelintir wakil rakyat yang biadab mencelah perbahasan harus dilihat sebagai proses merendahkan hak bersuara dan tertib aturan sistem demokrasi.

Perbahasan belanjawan kali ini juga menarik kerana ia akan melibatkan bekas-bekas menteri kewangan yang juga pernah membentangkan belanjawan negara sebelum ini. Mereka kini akan berhujah untuk menyokong sepenuhnya, menyokong dengan pindaan atau menentang belanjawan yang bakal dibentangkan. Sudah tentu dengan pengalaman tersemat di dada, pandangan mereka memberikan sudut pandangan yang dapat memperhalusi lagi Belanjawan 2021 bagi manfaat semua.

Tuntasnya, walau apa pun yang dihujahkan, sebagai rakyat kebanyakan, saya benar-benar berharap agar ahli-ahli Dewan berupaya menjalankan peranan dan menggunakan hak serta keistimewaan diberikan. Hak ini hanya diberikan kepada ahli-ahli Dewan Rakyat yang akan menentukan nasib dan kebajikan rakyat untuk sesuatu rang undang-undang diluluskan. Barangkali sentimen politik boleh diketepikan seketika dalam perbahasan belanjawan sebaliknya penekanan kepada nasib rakyat diutamakan. Barulah nanti dalam pilihan raya kelak, ahli-ahli politik ini boleh melaungkan semula slogan rakyat untuk menarik hati pengundi.

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (Wilayah Persekutuan) dan Ahli Jawatankuasa Pusat MACSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN