Minat sains makin tinggi - Utusan Malaysia

Minat sains makin tinggi

BANYAK organisasi menganjurkan aktiviti kemasyarakatan berkaitan sains yang diharap dapat menarik minat anak-anak kita. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SEBELUM pandemik Covid-19 bermula, ahli-ahli sains bimbang melihat semakin kurang minat pelajar terhadap kursus-kursus sains asas seperti kimia, biologi dan fizik.

Namun, selepas beberapa bulan wabak itu melanda, terdapat satu perkembangan positif iaitu peningkatan mendadak kesedaran dan minat sains dalam kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur.

Masyarakat kita kini lebih celik sains, terutama berkaitan penyakit berjangkit, kesihatan awam dan biologi molekul perubatan.

Misalnya, rakyat kini mengetahui dan yakin dibuat dengan betul, mencuci tangan dengan sabun sahaja adalah lebih berkesan daripada bahan-bahan pembasmi kuman yang lain dalam mencegah penularan wabak itu.

Melalui penerangan pakar dan pembacaan, mereka tahu sabun bertindak melarutkan lapisan membran lipid (lemak) yang menyaluti virus. Dengan kehilangan lapisan membran itu, kandungan penting dalam virus tidak dapat berfungsi seterusnya menyahaktifkan virus ini sehingga tidak dapat menjangkiti sel manusia.

Sukatan pelajaran mengenai membran lipid terdapat dalam kursus Biologi Sel dan Molekul, iaitu kursus tahun pertama yang penulis ajar kepada pelajar program Sarjana Muda Sains (Biologi) di universiti. Kini masyarakat umum juga tahu tentang membran dan lipid.

Selain itu, hampir semua orang tahu bahawa koronavirus dinamakan sedemikian kerana terdapatnya protein pepaku pada permukaan partikel virus ini menyebabkan ia menyerupai mahkota atau korona pada permukaan matahari.

Penulis yakin kita semua sudah kenal benar dengan virus ini apabila melihat gambar strukturnya sahaja, iaitu ilustrasi yang dihasilkan berdasarkan imej sebenar koronavirus yang diambil menggunakan mikroskop elektron.

Antara istilah sains lain yang menarik perhatian kita ketika mendengar sidang akhbar Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah ialah kadar kebolehjangkitan ataupun R0 yang merujuk kepada purata jangkitan baharu daripada seorang pembawa penyakit tersebut.

Topik-topik seperti penjujukan asid nukleik, asid amino dan mutasi sebelum ini hanya menjadi topik perbincangan dalam kalangan penyelidik bidang biologi. Namun, kini masyarakat terdedah kepada konsep-konsep saintifik ini dan faham kepentingannya kepada kehidupan seharian.

Sudah tentu yang menjadi topik perbualan hangat rakyat sekarang ialah bilakah vaksin Covid-19 akan ditemui? Ini semua akan meningkatkan tahap kesedaran sains dalam kalangan masyarakat.

Penulis menyeru para pembaca untuk memupuk minat anak-anak terhadap sains sejak kecil lagi. Badan-badan berasaskan sains seperti Akademi Sains Malaysia banyak menganjurkan aktiviti kemasyarakatan berkaitan sains yang diharap dapat menarik minat anak-anak kita.

Dengan norma baharu ketika pandemik ini, banyak aktiviti seumpama itu diadakan secara dalam talian. Carilah laman sesawang dan media sosial badan berkenaan untuk mengetahui aktiviti yang sedang berlangsung. Apa yang diperlukan hanyalah komputer riba atau telefon pintar dan capaian internet.

DR. MOHD. FIRDAUS ABDUL WAHAB
Saintis pelawat
Institut Penyelidikan Alam Sekitar NUS, Singapura

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya