GENERASI muda mungkin tidak tahu sejarah Jalan Duta di ibu negara sebelum diubah menjadi Jalan Tuanku Abdul Halim pada 2014, bersempena nama Yang di-Pertuan Agong ke-14.
Ia asalnya sengaja diwujudkan Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj selepas negara mencapai kemerdekaan. Konon bagi dibuat zon diplomatik menempatkan kedutaan asing.
Ironinya, usaha itu gagal apabila hanya India menempatkan canseri di situ, manakala negara lain lebih gah dekat Kelab Lumba Kuda yang kemudian dibina Menara Berkembar Petronas.
Kini, senario serupa menimpa Putrajaya apabila Presint Diplomatik yang dibangunkan pada 2008, cuma ada Brunei ‘bersendirian’ membina premis di No. 2, Jalan Diplomatik 2/5.
Sebaliknya, 60 lot lagi di kawasan berkeluasan 84 hektar lengang, sunyi sepi ibarat tempat jin bertendang. Walhal, ia sepatutnya meriah dengan 28 negara berbangga ada kedutaan masing-masing di situ.
Jiran sebelah Suruhanjaya Tinggi Brunei masih kosong dengan hanya papan tanda kecil dipacak bagi memaklumkan nama negara yang sudah ‘menempah’ mahu membina canserinya di tapak berkenaan.
Malangnya, Putrajaya setelah lebih 25 tahun yang dicipta khusus sebagai Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, kesemua pejabat perwakilan diplomatik lebih suka ‘bermukim’ di Kuala Lumpur.
Malah direktori Kementerian Luar atau Wisma Putra merekodkan 25 suruhanjaya tinggi iaitu negara ahli Pertubuhan Komanwel Britain dan 77 kedutaan lagi kekal di sekitar ibu kota.
Di mana silapnya? Adakah kerajaan tidak tegas untuk mengarahkan mereka berpindah ke Putrajaya berbanding negara lain yang menukar ibu kota masing-masing diikuti sekali canseri asing?
Walhal, Putrajaya dibina berasaskan model ibu kota baharu negara seperti Brasilia, Brazil; Canberra, Australia; Ankara, Turki; Islamabad, Pakistan; dan Washington DC, Amerika Syarikat (AS).
Bahkan, idea Putrajaya kemudian ‘ditiru’ Myanmar dengan memindahkan Yangon ke Naypyidaw dan Kazakhstan yang berpindah dari Almaty ke Astana (kemudian diubah nama kepada Nur-Sultan).
Persoalan misteri itu mungkin tidak diberi perhatian oleh rakyat biasa, namun bagi politikus tempatan dan global, isu ini ada kesan signifikan berkaitan imej kedaulatan kepada sesebuah negara.
Lihatlah reaksi dunia, kecoh apabila AS angkuh memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis dari Tel Aviv sebagai tanda pentauliahan Israel, sekali gus enggan mengiktiraf Palestin sebagai negara merdeka.
Peliknya, AS tidak pula mahu memindahkan canserinya ke Putrajaya dan langkah ‘aneh’ itu diikuti oleh empat kuasa besar dunia yang ada hak veto di Pertubuhan Bangsa-Bersatu (PBB).
LUCU
Lucunya, lima negara itu boleh pula tiada masalah besar memindahkan kedutaan di Kaherah bersama-sama lebih 60 negara lain ke zon diplomatik terkini di Wedian, ibu kota baharu Mesir.
Difahamkan, ada dua sebab utama kenapa isu ini timbul, iaitu ibu negara rasmi Malaysia masih jelas termaktub di Kuala Lumpur dan bangunan Parlimen bukannya terletak di Putrajaya.
Situasi aneh ini dirumitkan Perlembagaan Persekutuan kekal status-quo, malah Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz ketika menjadi menteri undang-undang pernah ‘ubah’ klausa itu pada 2010 tetapi gagal.
Alasan remeh ini mungkin dijadikan ‘modal’ oleh Jabatan Negara AS di Washington DC untuk enggan pindah kedutaan yang amat strategik di Jalan Tun Razak ke Presint Diplomatik.
Tidak hairanlah sekutunya, Britain dan Perancis pun sanggup sewa pejabat di Kuala Lumpur selepas menjual tanah milik tapak canseri mereka bernilai ratusan juta ringgit di Jalan Ampang.
Begitu jugalah seteru AS, Rusia dan China dilaporkan membeli lagi lot tanah bersebelahan canseri masing-masing sebaris jalan itu untuk memperluaskan pejabat misi diplomatik negara berkenaan.
Sekadar rekod, Bank Negara, Bursa Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri hatta Kementerian Pertahanan, Kementerian Kerja Raya serta markas polis, Bukit Aman pun kekal.
Jika beginilah alasannya, Putrajaya sebenarnya sudah ‘hebat’ setaraf Afrika Selatan apabila kedutaan asing berselerak di tiga ibu negaranya iaitu Pretoria, Capetown dan Bloemfontein.
Hakikatnya, tindakan AS dan empat kuasa utama PBB itu sengaja kekal di Kuala Lumpur adalah sejajar norma hubungan diplomatik antarabangsa dan ia bukan pun perkara baharu.
Sebab itulah dutanya di Belanda berada di Amsterdam, bukan Hague; Sri Lanka di Colombo, bukan Kotte; Chile di Santiago, bukan Valparaiso dan Tanzania di Dodoma, bukan Dar es Salaam.
Secara kebetulan, ada 13 negara di dunia yang pusat pentadbirannya ‘senasib’ Putrajaya apabila kedutaan terletak di tempat lain dek isu lokasi Parlimen dan warta ibu negara rasmi.
Kecualilah Malaysia ‘belajar’ daripada Mesir, Myanmar, Kazakhstan waima Israel, sanggup meminda Perlembagaan bagi mengubah klausa nama ibu negara rasmi hatta berpindah bangunan Parlimen.
Sekiranya dua isu ini dapat ditukar, tidak mustahil semua kedutaan yang ada di sekitar Kuala Lumpur terpaksa berpindah ke Putrajaya, sama ada kerajaan mereka suka atau pun tidak.
Lagipun, tapak Parlimen baharu di Putrajaya memang wujud dengan kos binaan dianggarkan RM800 juta bagi menggantikan bangunan sedia ada di Kuala Lumpur yang berusia hampir 60 tahun.










