MESKIPUN seruan-seruan mengajak pada menjalankan pekerjaan bersama telah berpuluh-puluh tahun diserukan oleh akhbar-akhbar Melayu, tetapi orang-orang saya terus membawa perasaan untuk sendiri-sendiri sahaja, iaitu menjadi satu bukti yang besar menunjukkan bagaimana besarnya kerosakan budi pekerti orang-orang Melayu pada masa ini.
Hinggakan mereka tidaklah dapat dibawa muafakat. Beberapa persekutuan yang hidup membawa pertelagahan faham dengan persekutuan yang lain. Beberapa hal perniagaan yang semata-mata haluannya kerana dirinya seorang sahaja. Maka di sinilah pula menyebabkan layunya perniagaan bangsa Melayu, oleh sebab ketiadaan modal, kerana enggan mengadakan ikatan bersekutu sesamanya sendiri. Istimewa pula fahaman-fahaman yang berlainan di antara satu pihak dengan yang lain, hingga hiduplah orang-orang Melayu dengan keadaan yang bercempera…
Itu adalah sebahagian daripada keluhan pejuang awal kemerdekaan tanah air, Ibrahim Yaakub dalam bukunya, Melihat Tanah Air (1941) yang ditulis menggunakan nama samaran, Dr. Iskandar Kamel. Buku itu diharamkan oleh British dan hanya muncul semula pada 1970.
Melihat Tanah Air adalah catatan pengalaman dan pemerhatian Ibrahim sewaktu menjelajah ke segenap pelosok tanah air dengan tujuan – menyempurnakan satu siasatan yang berhubung dengan hal ehwal bangsa saya orang Melayu, sekurang-kurangnya mendalamkan pengalaman fahaman atau pengertian saya sendiri bersangkutan dengan hal pergaulan, kemahuan dan politik bangsa sendiri.
Keluhan Ibrahim seperti yang terpapar pada perenggan pertama di atas adalah bukti jelas bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu bukanlah perkara baharu. Ia tidak hanya berlaku selepas sekumpulan ulama UMNO menubuhkan Pas pada 1951, atau selepas perebutan pengaruh team A dan team B UMNO pada 1987 dan tidak juga selepas penyingkiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998.
Ia terjadi lama sebelum itu. Sangat lama. Perebutan kuasa dan pengaruh dalam kalangan kelompok bangsawan Melayu pada masa dahulu menjadi pemangkin kepada perpecahan itu kerana persaingan tersebut tidak hanya melibatkan kelompok berkenaan tetapi juga orang-orang bawahan yang berada di bawah naungan mereka.
RAPAT SAF
Tetapi tulisan ini tidak bertujuan membincangkan mengenai perpecahan. Kita tidak harus mengungkit-ungkit untuk membanyakkan lagi titik perbezaan. Yang perlu kita lakukan adalah berusaha mencari titik persamaan.
Seruan dan ajakan supaya orang Melayu merapatkan saf sudah boleh dikesan sejak kemunculan akhbar Melayu pertama, Jawi Peranakan (1876-1895) yang diterbitkan di Singapura pada 1876.
Begitu juga akhbar Jajahan Melayu (1896-1897) yang diterbitkan di Taiping, Perak dan diasaskan oleh Sayyid Abul Hassan Burhan. Nadanya mungkin berlapik, namun akhbar-akhbar itu merupakan antara ‘suara’ terawal yang cuba menyuntik kesedaran dalam kalangan orang Melayu.
Suara lebih jelas muncul bersama kehadiran akhbar Utusan Melayu yang diterbitkan pada 1907 dengan Muhammad Eunos Abdullah menjadi pengarangnya yang pertama. Sayugia disebut, akhbar ini tiada kaitan dengan Utusan Melayu yang diterbitkan pada 1939. Kedua-duanya didukung oleh dua entiti berbeza. Namun demikian, Utusan Melayu yang kemudian itu pada dasarnya diinspirasikan daripada Utusan Melayu terdahulu. Di bawah pimpinan Eunos, Utusan Melayu menjadi lidah yang menyuarakan kepentingan orang Melayu. Pada masa sama, Eunos tidak jemu-jemu mengingatkan bangsanya bahawa hanya dengan bersatu padu, baharulah hak dan kehormatan mereka dapat diangkat. Suara sama turut dilontarkan oleh akhbar-akhbar lain seperti Al-Iman, Neraca, Al-Ikhwan dan Lembaga Melayu.
Eunos meneruskan usaha untuk menyatupadukan Melayu dengan menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura (KMS) yang merupakan parti politik Melayu pertama pada 1926. 12 tahun kemudian, Ibrahim Yaakob menubuhkan pula Kesatuan Melayu Muda, juga atas sebab-sebab sama. Dan menjelang zaman pendudukan Jepun, banyak persatuan Melayu diwujudkan. Apabila Datuk Onn Jaafar menggerakkan usaha menentang Malayan Union, beliau bermesyuarat dan berbincang dengan lebih 40 persatuan Melayu – satu jumlah yang tidak kecil untuk bumi Tanah Melayu yang tidak sebesar.
Usaha Datuk Onn berjaya. Orang Melayu melupakan perbezaan sesama mereka. Suara mereka digabungkan, dari suara di atas takhta hinggalah suara dari ceruk desa. Dengan suara itulah Malayan Union ‘dikalahkan’. Sesungguhnya saat menentang Malayan Union itulah merupakan titik temu paling indah bagi orang Melayu. Tidak pernah sebelum itu mereka berpadu sedemikian rupa. Tidak pernah juga selepas itu!
TERABA-RABA
Sepanjang hayat saya, telah ribuan kali saya mendengar suara pemimpin Melayu dan tentunya juga Islam kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu itu mestilah beragama Islam, menyeru bangsanya bersatu padu. Saya mula mendengarnya sejak dari kecil dan masih mendengarnya sehinggalah sekarang.
Pelbagai usaha dibuat. Simposium, seminar, kongres, perhimpunan, multaqa dan bermacam nama lagi. Semuanya digerakkan dengan matlamat mencari titik temu yang boleh menyatukan orang Melayu.
Hasilnya? Sampai sekarang kita masih teraba-raba. Ada waktu-waktunya titik temu itu kelihatan begitu hampir tetapi atas sebab-sebab yang sukar difahami – yang puncanya adalah diri kita sendiri – titik itu berlalu pergi. Berkali-kali.
Sesuatu yang disasarkan tidak mungkin dapat dicapai tanpa didukung oleh iltizam kuat. Jadi, dalam soal penyatuan orang Melayu, iltizam itulah yang perlu dinilai semula.
Peluang perpaduan juga tidak menggolek datang. Ia perlu dicari dan jika perlu, dicipta. Kalau kita boleh mencari sebab untuk berbalah, kenapa tidak boleh mencari jalan untuk sebaliknya?
Menanti di hadapan kita sekarang ialah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Sukar dijangka bila tetapi ia pasti akan datang. Sesuatu yang akan tersemat di sanubari jika PRU-15 menjadi kunci titik penyatuan Melayu. Sejarah juga membuktikan penyatuan Melayu akan menjadi ‘pedoman politik’ parti-parti lain untuk mengikuti gabungan penyatuan ini. Ia boleh menjadi kenyataan jika kita benar-benar tidak mahu melihat orang Melayu ‘bercempera’ seperti yang digambarkan oleh Ibrahim Yaakob. Kata kuncinya ialah ‘keikhlasan’ dan ‘kesungguhan’.
Marilah dengan seikhlas hati kita berhenti menjadi enau dalam belukar. Marilah kita pacu perjalanan ke arah penyatuan itu dengan penuh istiqamah. Lakukanlah dengan tekad bahawa kalaupun kita tidak malu kepada anak cucu, kita kasihan kepada pejuang-pejuang Melayu terdahulu. Tidak ada dosanya kita membantu merealisasikan impian mereka yang jauh di lubuk hati merupakan impian kita juga!
Datuk Budiman Mohd. Zohdi ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan.










