‘Kamu tak mengandung lagi?’ - Utusan Malaysia

‘Kamu tak mengandung lagi?’

Sepasang pengantin dinikahkan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan di Kuala Lumpur, baru-baru ini. – GAMBAR HIASAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salah satu tujuan perkahwinan adalah untuk mendapatkan zuriat dan keturunan. Allah berfirman yang bermaksud: “Tuhan telah menjadikan dari diri-diri kamu itu pasangan suami isteri, dan daripada pasangan suami isteri itu pula anak-anak dan cucu-cicit (keturunan).” (Surah an-Nahl: 72)

Dalam al-Quran juga disebutkan, anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia (Surah al-Kahf: 46), bantuan daripada Allah (Surah al-Isra’: 6) dan cahaya mata (Surah al-Furqan: 74). Ini bermaksud anak-anak adalah anugerah Allah untuk menyempurnakan hidup pasangan suami isteri. Dalam pada itu, ibu bapa juga harus sedar bahawa anak-anak merupakan ujian untuk kedua ibu bapanya (Surah at-Taghabun: 15).

Keinginan untuk memiliki anak ialah satu naluri semula jadi manusia. Bukan sahaja pasangan yang berkahwin mengharapkan mereka mendapat anak, ibu bapa, kaum keluarga dan kawan-kawan juga berharap perkahwinan itu dikurniai dengan cahaya mata.

Kajian menunjukkan sama ada di Turki, Bangladesh mahupun Malaysia, jika anda telah berkahwin selama setahun dan masih belum hamil, orang-orang di sekeliling akan mula bertanya, “Kamu tak mengandung lagi?” atau “Bila nak beranak ni?” atau “Kamu berdua tak pergi berubat ke?” Soalan-soalan ini, walaupun berniat baik, ia amat menekan perasaan pasangan suami isteri.

Ketidaksuburan bermaksud kegagalan untuk hamil selepas setahun melakukan hubungan kelamin secara tetap tanpa menggunakan pelindung. Masalah ini dikatakan melanda 10 hingga 15 peratus pasangan di usia reproduktif. Dianggarkan sepertiga masalah berpunca daripada lelaki, sepertiga lagi perempuan dan bakinya kedua-dua lelaki dan perempuan.

PSIKOLOGI

Ketidaksuburan adalah satu masalah kesihatan. Namun, ia boleh menjadi masalah psikologi kerana salah seorang daripada pasangan tadi atau kedua-duanya berasa tertekan dengan sikap orang sekeliling yang tidak berhenti bertanya dan mungkin melabel mereka sebagai mandul atau stigma-stigma sosial lain.

Daripada masalah kesihatan menjadi masalah psikologi, seterusnya masalah sosial apabila pasangan tadi atau salah seorang daripada mereka dalam usaha untuk menguruskan tekanan itu, mula mengelak untuk hadir ke majlis-majlis sosial agar tidak berhadapan dengan soalan-soalan yang menyesakkan fikiran itu.

Sebagai orang Islam, kita percaya mandul atau tidak itu adalah ketentuan Allah SWT dan ia mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Ini jelas dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dia mengurniakan kepada siapa yang disukai-Nya anak perempuan, dan kepada siapa yang disukai-Nya anak lelaki. Ataupun diberikan-Nya mereka pasangan lelaki dan perempuan, kemudian dijadikan-Nya siapa yang disukai-Nya mandul, sesungguhnya Dia Amat Tahu lagi Amat Berkuasa.” (Surah Asy-Syura: 50)

Namun, ia bukanlah penghalang untuk para saintis mencari kaedah mengubati masalah ini. Ia juga tidak menghalang kita untuk memanfaatkan teknologi tersebut. Dengan perkembangan sains, pelbagai teknologi reproduktif berbantu (Assisted Reproductive Technology – ART) dihasilkan untuk membantu pasangan yang mengalami masalah ketidaksuburan mendapatkan anak.

Rawatan terbaik bergantung kepada situasi individu serta punca ketidaksuburan itu. Bagi sesetengah pasangan, hanya satu pihak yang memerlukan rawatan. Namun, bagi pasangan yang lain, kedua-dua pihak perlu dirawat.

Rawatan kesuburan ini termasuk pengambilan ubat-ubatan yang merangsang hormon dan pengovuman. Kadangkala ia dikombinasi dengan prosedur yang memudahkan sperma untuk mempersenyawakan telur, dan membantu telur untuk melekat pada dinding rahim.

IUI, IVF

Dua rawatan kesuburan yang biasa digunakan adalah Intrauterine Insemination (IUI) dan In Vitro Fertilization (IVF). IUI ialah prosedur di mana sperma yang sihat diletakkan ke dalam rahim isteri semasa pengovuman. Manakala IVF ialah prosedur di mana telur dikeluarkan dari ovari dan disenyawakan dengan sperma dalam makmal untuk menghasilkan embrio yang kemudiannya diletakkan pada rahim isteri.

Selain itu, terdapat juga prosedur pengkrioawetan (cryopreservation) di mana telur, sperma dan embrio dibekukan untuk kegunaan pada masa hadapan. Ada juga orang yang mendermakan sperma dan telur mereka untuk kegunaan pasangan lain. Begitu juga, ada yang menjadi ibu tumpang untuk mengandungkan anak orang lain.

Kehadiran teknologi seumpama ini amat dialu-alukan. Namun, sebagai orang Islam, tidak semua teknologi ini dapat dimanfaatkan. Ini kerana dalam Islam, sebarang teknik yang melibatkan benih manusia perlu mematuhi garis panduan tertentu berdasarkan kepada prinsip kemuliaan manusia dan pemeliharaan nasab. Oleh itu, fatwa diperlukan untuk memandu ummah memilih teknologi yang patuh syariah.

Fatwa-fatwa di Malaysia yang menyentuh ART mengharuskan rawatan-rawatan ini dimanfaatkan dalam konteks perkahwinan. Ini bermaksud, jika telur dan sperma itu diambil dengan cara yang terhormat daripada pasangan yang berkahwin dan disenyawakan ketika pasangan tadi masih berkahwin, maka rawatan tersebut dibenarkan. Namun, jika sperma dan telur itu diambil di luar perkahwinan atau disenyawakan di luar perkahwinan selepas pasangan bercerai atau salah seorangnya meninggal dunia, maka ia adalah haram. Fatwa di Malaysia juga mengharamkan penggunaan ibu tumpang.

Fatwa-fatwa seperti ini amat membantu pasangan Muslim yang mengalami masalah ketidaksuburan untuk memilih jenis rawatan yang patuh syariah. Namun, melihat kepada perkembangan ART yang pesat serta situasi masyarakat yang berbeza, fatwa-fatwa baharu sentiasa diperlukan untuk memandu ummah mengatasi masalah ketidaksuburan serta kesan psikologi dan sosial yang diakibatkannya.

PENULIS ialah Felow Kanan, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN