KECOH dalam media sosial apabila warganet mengkritik cadangan kerajaan negeri Kelantan menaikkan gaji Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) antara RM3,000 hingga RM5,000 ketika pembentangan Belanjawan Kelantan 2021.
Menurut mereka, kerajaan negeri sepatutnya mengutamakan usaha menyelesaikan permasalahan rakyat terutama golongan B40 yang terjejas akibat Covid-19, bukan sibuk memenuhkan poket sendiri.
Alasan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah, pindaan dikemukakan kerana keadaan semasa yang mencabar selain untuk menyamakan elaun wakil rakyat yang ketinggalan jauh berbanding negeri lain, tidak diterima baik.
Seruan ADUN Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad supaya semua pihak tidak hanya melihat dari satu sudut, sebaliknya perlu mengambil kira bagaimana wakil rakyat boleh berbakti jika sumber kewangannya terhad, juga gagal melembutkan hati warganet.
Gara-gara isu ini, tenggelam terus inti pati utama Belanjawan Kelantan 2021 yang sebenarnya saya rasa menarik untuk dikupas seperti anggaran defisit sebanyak RM66.02 juta berbanding RM46.07 juta, tahun lalu.
Meskipun anggaran belanjawan negeri adalah defisit untuk tiga tahun berturut-turut, perbelanjaan sebenar bagi tempoh itu mencatatkan sebaliknya, iaitu lebihan. Ramai tidak nampak fakta ini.
Untuk data lebih tepat lagi, lebihan perbelanjaan pada 2017 ialah RM38.2 juta, seterusnya RM40.4 juta (2018) dan RM45.69 juta (2019).
Biasanya, prestasi kewangan sebegini berlaku hasil amalan kerajaan negeri berbelanja secara berhemat mengikut keutamaan. Kerajaan negeri juga setakat ini bebas kes rasuah sepanjang 30 tahun pentadbirannya.
Selain itu, pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi 2019 meningkat kepada 5.3 peratus, berbanding 2.6 peratus (2018), melepasi paras nasional 4.3 peratus dan ketiga tertinggi selepas Selangor (6.7 peratus) dan Kuala Lumpur (enam peratus).
Oh, ya! Ketika memberi kecaman, rata-rata warganet membangkitkan soal bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat Covid-19 dan peniaga yang gulung tikar. Apa usaha kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah air berkeladak? Sampah sarap di bandar Kota Bharu bagaimana?
Jawapan kepada soalan-soalan sinis itu sebenarnya ada terkandung dalam Belanjawan Kelantan 2021. Cuma perlu rajin membaca dan menelaahnya satu persatu.
Saya dah habis baca semuanya.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Kelantan.










