‘Beri ruang peneroka berdikari’ - Utusan Malaysia

‘Beri ruang peneroka berdikari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Felda atau nama penuhnya, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan ditubuhkan 64 tahun lalu di bawah Akta Penempatan Berkelompok (GSA) 1960 bertujuan membasmi kemiskinan melalui penanaman sawit dan getah.

Namun, sampai sekarang masih wujud isu yang membelenggu peneroka Felda sehinggakan ada dalam kalangan mereka berdepan masalah kewangan kerana pendapatan tidak setimpal.

Sehubungan itu, Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO-NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman menyarankan Felda kembali kepada asas penubuhannya seperti digagaskan oleh Tun Abdul Razak Hussein iaitu Perdana Menteri Kedua dan pengasas Felda, iaitu membasmi kemiskinan dan memberikan kebebasan kepada peneroka untuk berdikari.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, JUANI MUNIR ABU BAKAR di Johor, Mazlan menyentuh mengenai keperluan menyerahkan pengurusan kepada golongan profesional Felda dan harapan kepada tanah rancangan itu pada masa depan.

UTUSAN: Apa masalah sebenar Felda?
MAZLAN : Felda diuruskan di bawah GSA 1960 sebagai satu panduan untuk tujuan pengurusan.
Ia mengandungi segala perancangan pengurusan ladang dengan setiap peneroka Felda diberikan 10 ekar tanah yang dilihat mencukupi untuk memenuhi keperluan kehidupan mereka.

Oleh kerana akta ini dilihat membawa kekakangan kepada peneroka, maka wujud pertembungan antara pengurusan Felda yang berpegang kepada apa yang mereka sifatkan sebagai menjaga kepentingan peneroka manakala mereka (peneroka) pula melihat akta ini sebagai satu gangguan kepada kehidupan mereka.

Contohnya, sebelum habis hutang peneroka, mereka tidak dibenarkan jual hasil dan buat itu, buat ini. Bahkan nak cari pendapatan sampingan termasuk bercucuk tanam lain pun tidak boleh.

Apabila dibuat, nanti hasil mereka itu dimusnahkan dan keadaan ini berlarutan sehinggalah peneroka sudah dapat pemilikan tanah.

Bagi peneroka yang sudah dapat hak pemilikan tanah, mereka cakap ia punya. Tapi bagi Felda, ia tidak sedemikian. Dari sudut akta, mereka mengawal tanah. Jadi, peneroka anggap tidak bebas kerana bila dah dapat geran, mereka anggap ia sudah bebas.

Maka bila sudah masuk fasa penanaman semula, pilihan itu wajar diberikan kepada peneroka sebab geran ada pada mereka walaupun bersifat (pajakan) 99 tahun. Alasan mereka (Felda), untuk mengurus masyarakat, jika dibiarkan peneroka buat sendiri nanti matlamat tidak tercapai. Oleh itu, Felda mahu peneroka duduk di bawah satu bumbung.

Maka di sini wujud pertembungan apabila mereka rasa tertindas untuk menentukan hala tuju dan haluan. Jadi, mereka melawan walaupun merupakan golongan minoriti, tetapi Felda menghadapi cabaran terhadap golongan ini.

Bagi kerajaan memerintah, golongan ini disifatkan sebagai anti-establishment dengan mengatakan mereka seperti kacang lupakan kulit dan bermacam-macam label lagi. Sedangkan golongan ini yang menyahut seruan bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein yang mengasaskan Felda apabila Allahyarham mahu peneroka berdikari sendiri pada suatu hari nanti.

Apa kelebihan jika peneroka diberikan kebebasan?
Jika dilihat institusi ladang lain termasuk pekebun kecil di kampung, mereka diberikan pilihan urus kebun sendiri dan golongan ini tiada hutang dan pendapatan lebih besar. Mengapa dalam konteks Felda, ini menjadi kontroversi? Sama ada ada pro atau kontra, ia tetap menjadi isu yang hangat diperkatakan.

Sedangkan peneroka Felda mampu menguruskan ladang sendiri dan apabila bebas hutang, mereka berhak menguruskannya sendiri.

Krisis ini akhirnya berlarutan sehingga terdapat kes saman mahkamah. Boleh dikatakan banyak kes sebegini dibawa ke mahkamah.

Apa lagi isu membelenggu peneroka Felda?
Selain itu, timbul isu apabila Felda jaga kebun, peneroka mempersoalkan sudut kualiti hasil kebun, dipanggil Kadar Perahan Gred (KPG). Sampai tahap peneroka bawa sampel ke makmal untuk menentukan berapa jumlah yang patut dapat, sedangkan Felda letak angka begitu begini. Bagi peneroka, mereka anggap tidak adil kerana dilihat rendah.

Bila kadar rendah, mereka anggap pendapatan setiap tan akan jadi rendah sehingga benda ini juga dibawa ke mahkamah.

Oleh itu, bila jadi pertembungan ini, saya selaku pengerusi NGO selalu tekankan bahawa ia tiada membawa manfaat jika perkara ini berlaku, sebaliknya rugi. Bagi saya mudah sahaja. Jika peneroka sudah dapat hak milik dan geran, mengapa dipaksa mereka menyerahkan kebun kepada pengurusan? Bagilah hak kepada mereka uruskan sendiri. Soal ini yang pernah ditekankan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak.

Bukan sahaja jadi isu mahkamah, malah jadi isu politik. Peneroka tidak akan mengundi parti pemerintah sebab mereka mendakwa menyekat hak kebebasan seperti disebut dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimana cadangan menjadikan Felda sebagai estet besar?
Terlebih dahulu saya hendak betulkan perkara ini. Apa yang ada sekarang, satu tanah Felda ada 400 peneroka. Ertinya, sudah ada beribu ekar, ini pun sudah dimaksudkan sebagai estet.

Penubuhan Felda di bawah GSA, benda ini sudah lama wujud. Ini bukan soal estet tetapi isunya adalah pengurusan ladang.

Sejauh mana pengurusan ladang yang efektif dapat dilakukan, kalau peneroka boleh buat sendiri dan dapat pendapatan terbaik? Sudah tentu sekali amat terbaik. Oleh itu, bagi mereka wajar diberi pilihan sama ada hendak urus sendiri atau menyerahkan pengurusan kepada Felda. Bagi saya, ini sebahagian daripada masalah utama yang dihadapi peneroka Felda selama ini.

Apa masalah lain dihadapi peneroka?
Masalah besar juga dihadapi anak peneroka apabila ibu bapa mereka meninggal dunia. Siapa hendak uruskan ladang dalam kalangan anak-anak? Ini pun jadi isu. Sebabnya di bawah GSA, hak perwarisan tiada disentuh.

Sebab itu saya tekankan, akta ini perlu dipinda sebab banyak di bawahnya harus diseimbangkan. Bukan sahaja isu perwarisan tapi juga status peneroka selepas habis hutang.

Adakah mereka masih di bawah Felda atau bebas dalam menentukan hala tuju masing-masing? Ini mesti dijelaskan dalam GSA. Sebab itu bila ada kes perebutan perwarisan di Mahkamah Syariah, akhirnya mahkamah buat keputusan serah balik kepada Felda sebab ia terkeluar daripada bidang kuasa mereka. Pokok pangkalnya, GSA ini perlu dipinda. Saya sudah cakap lama perkara ini dan sampai ke hari ini ia tidak lakukan.

Apa kaedah penyelesaian?
Begini, saya sudah banyak kali sebut. Oleh kerana institusi macam Felda ini realitinya orang yang faham sahaja yang mampu membawa tranformasi. Sepertimana hadis Nabi Muhammad: Jika diberikan bukan ahlinya, lihatlah kehancurannya. Selama ini, masalahnya adalah kita tidak mahu memperakukan kepada kelompok yang faham.

Mereka tahu apa berlaku dalam Felda, jadi berikan kepada mereka. Kita ada golongan profesional daripada Felda, malah kita ada 10,000 anak profesional Felda. Jadi, beri kepada mereka. Kita kena manfaatkan mereka.

Oleh itu, mengapa tidak beri soal pengurusan kepada anak-anak peneroka? Adakah kita tidak percaya mereka? Sedangkan mereka ini menyelami roh dan jiwa orang Felda, mereka boleh bantu.

Jika letak anak-anak peneroka yang ada latar belakang profesional, mereka dibesarkan dan pernah hidup susah payah di Felda. Mereka tahu apa caranya untuk menyelesaikan masalah yang membelenggu Felda.

Yang kedua bagi saya, pegawai pengurusan Felda kena rombak. Ada sesetengah mereka, bila asing (tidak faham) isu Felda, kadang-kala cuba jadi abang besar dengan keluarkan arahan A, arahan B kepada peneroka.

Mereka perlu ingat, peneroka ini siapa? Mereka itu tuan tanah sedangkan pegawai hanya ejen pengurusan, bukan tuan tanah pun. Oleh itu, kena wujud kesatuan antara pengurusan dengan peneroka, tetapi kini seolah-olah wujud jurang antara mereka.

Apa harapan Datuk kepada Felda?
Bagi saya, siapa pun yang mahu dilantik memimpin Felda, berilah kepada orang Felda. Yang kedua, sejauh keazaman orang itu untuk memacu Felda. Saya terlibat lebih 30 tahun dalam NGO Felda.

Banyak saya lihat, kita banyak pegang kepada retorik. Kita wujud idea buat bengkel, forum, bincang tiap-tiap minggu. Isunya adalah pelaksanaan. Teori ini sudah terlalu banyak. Kelemahan kita adalah implementasi.

Pokok pangkalnya, kita hendak tentukan apa? Kalau kita tentukan dari sudut GSA, sejauh mana kita benar-benar serius memindanya walhal idea ini sudah lontar lama dan ramai menteri yang jaga Felda bagi jawapan positif sampai tubuhkan makmal. Saya sudah lama persoal makmal ini tetapi akhirnya, mana pergi makmal ini?

Selain itu, yang penting adalah kembalikan hak kepada peneroka. Itu hak mereka, cuma kita kena pandu sahaja mereka. Jika ini berlaku, Felda dan kerajaan tidak perlu lagi fikir beban selama ini.

Mereka cuma perlu fikir bagaimana untuk beri perbelanjaan bagi insfrastruktur, penyelenggaraan jalan, input pertanian dan sebagainya. Itu sahaja, bukan jadi beban kerajaan untuk lakukan itu ini.

Maka, berikan ruang kepada peneroka untuk berdikari, itu sahaja.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN