Tolonglah, usah susahkan mahasiswa - Utusan Malaysia

Tolonglah, usah susahkan mahasiswa

Che Rosmi Che Musa memasukkan semula barangan anaknya ke dalam kereta berikutan sesi pendaftaran di UiTM Kampus Arau ditangguhkan, Jumaat lalu.– UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAUT wajah Che Rosmi Che Musa, 61, dan anaknya yang baru tiba di Perlis dari Tanah Merah, Kelantan pada sesi pendaftaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau, Jumaat lalu, kelihatan lesu, letih dan cukup kecewa.

Penat mereka masih belum habis selepas berjam-jam menempuh perjalanan, terpaksa pula berpatah balik ke Kelantan. Ketika arahan dikeluarkan, dia baru selesai membantu anaknya menyimpan barang di kediaman pelajar di kampus tersebut sebelum memunggah semula ke dalam kenderaan.

Nasib sama turut dialami ribuan pelajar dan ibu bapa yang kerugian masa dan wang ringgit kerana terpaksa melakukan perjalanan sia-sia.

Di laman-laman sosial, ramai mengecam langkah Kementerian Pendidikan Tinggi diketuai menterinya, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang disifatkan lambat membuat keputusan ketika rata-rata pelajar sudah sampai ke universiti masing-masing. Malah desakan letak jawatan juga ‘bergegar’ dalam laman sosial.

Ramai sudah membelanjakan ribuan ringgit untuk kos perjalanan termasuk tiket penerbangan, minyak, hotel, makan dan sewa rumah.

SESUAP NASI

Tidak semua mahasiswa dari keluarga senang, malah ada yang terpaksa bergelut mencari sesuap nasi terutama ketika pandemik Covid-19 ini. Apabila terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang sia-sia, ia cukup menyedihkan.

Keputusan saat akhir seperti itu bukan pertama kali berlaku, malah sebelum ini kementerian sama juga pernah membuat tindakan yang menyusahkan pelajar. Pengumuman lewat ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai pelajar terkandas di kampus berbulan-bulan apabila tidak dapat pulang ke rumah kerana larangan rentas negeri.

Kita faham, jumlah positif Covid-19 yang meningkat mendadak adalah di luar jangkaan, namun menteri juga sepatutnya lebih peka dengan keadaan semasa memandangkan sebelum itu tanda-tanda kenaikan kes sudah mula kelihatan. Langkah penangguhan tersebut sepatutnya boleh sahaja dimaklumkan lebih awal agar tidak menyusahkan pelajar seperti sebelum ini.

Bagaimanapun, langkah beberapa universiti seperti Universiti Malaysia Perlis (Unimap) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) mengumumkan lebih awal penangguhan itu wajar dipuji kerana mereka dilihat lebih bersedia dengan perkembangan situasi semasa. Pujian juga wajar diberikan kepada universiti yang menguruskan pelajar dengan baik ketika kementerian mengumumkan penangguhan tersebut.

Apapun, Noraini sudah memohon maaf di atas segala kesulitan yang timbul. Diharap selepas ini beliau lebih ambil peduli dan cepat membuat keputusan agar tidak membebankan mahasiswa.

PENULIS ialah Koresponden
Utusan Malaysia Perlis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN