Siam: Bumiputera yang terabai? - Utusan Malaysia

Siam: Bumiputera yang terabai?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada pemerhatian saya, ada dua salah faham orang ramai terhadap komuniti Siam di Malaysia. Pertama, mereka dianggap orang Thai dan warganegara Thailand. Kedua, mereka disangka orang Melayu beragama Islam.

Realitinya, komuniti Siam atau orang Thai Malaysia sudah lama menjadi sebahagian daripada keunikan negara kita. Malah, sekiranya sejarah silam diteliti, orang Siam tidak berhijrah dari Thailand ke Tanah Melayu. Sebaliknya, susulan perjanjian antara British dan Siam pada 1909, kerajaan Siam menyerahkan Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis kepada British. Maka komuniti Siam tidak berhijrah tetapi sempadan negara yang berubah, lalu menjadikan mereka kini warganegara Malaysia.

Dalam usaha mengenali sejarah dan budaya komuniti Siam, saya cuba mencari buku-buku yang boleh dijadikan sumber rujukan tetapi tidak banyak. Antara buku yang ditemui ialah Masyarakat Siam Kelantan: Sejarah, Sosiobudaya & Bahasa (2017), Siamese in Malaysia: Beyond Sixty Years of Heritage (2018) dan Kelantan Siamese: Food, Heritage & Culture (2019).

Agak malang kerana ketiga-tiga buku berkenaan tidak mudah ditemui dalam pasaran terbuka. Maka, bahan dokumentasi berguna tidak sampai sepenuhnya kepada orang ramai. Turut ditemui beberapa kertas kerja berkaitan komuniti Siam yang dibentangkan di beberapa seminar dan tersiar di jurnal akademik. Sekali lagi, hasil kajian berkenaan mungkin tidak diketahui sesiapa di luar dunia akademik.

PENGARANG

Bagi saya secara peribadi, pengetahuan mengenai komuniti Siam lebih banyak diperoleh menerusi pembacaan karya sastera, khususnya cerpen yang dihasilkan oleh penulis keturunan Siam di Malaysia, Boonsiri Somchit berdarah Siam-Cina dan membesar di Kedah. Beliau menulis sebuah buku panduan kepimpinan, When the Chicken Dies, Everyone Cries (2016) tetapi tiada kaitan dengan budaya komuniti Siam.

Cerpen bahasa Melayu yang dihasilkan oleh sejumlah 12 pengarang Siam seperti Eh Deng Eh Chik, Suwanlerd Pro Poul, E Pian Pro Poul dan Prasert Eh Chai lebih banyak membantu saya mengenali identiti, budaya, keunikan dan jati diri komuniti Siam di Malaysia. Agak menarik untuk diperhatikan, rata-rata penulis keturunan Siam dalam sastera kebangsaan berasal dari Kelantan.

WAT

Angka sebenar jumlah penduduk keturunan Siam sukar diketahui. Dalam bukunya, Aweng Eh Rak (2019) menyebut angka 80,000 orang manakala Mala Rajo Sathian (2018) memberikan angka 70,000 orang. Akhbar The Star (2 Mac 2011) memetik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai berkata, terdapat sekitar 60,000 orang Siam di Malaysia dan ada yang menjadi ahli UMNO.

Percanggahan angka mungkin berlaku kerana dalam banci penduduk, ramai juga yang menandakan ‘lain-lain’ pada ruangan kaum/keturunan.

Apa-apa pun, majoriti komuniti Siam tinggal di Kedah dan Kelantan diikuti Perak, Perlis, Terengganu, dan Pulau Pinang. Orang Siam beragama Buddha dan mempunyai hubungan rapat dengan wat (kuil Buddha) yang menjadi pusat komuniti dan tempat belajar bahasa Thai.

Persatuan Masyarakat Siam Kedah-Perlis diasaskan pada 1959 tetapi pendaftarannya dibatalkan pada 1997. Lalu Persatuan Siam Kedah ditubuhkan pada 2008. Pertubuhan Sami Buddha Malaysia tertubuh pada 1968 manakala Persatuan Siam Malaysia diasaskan pada 1976. Persatuan Siam Sektor Awam (Kessa), Persatuan Siam Kelantan (PSKn) serta Persatuan Siam Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor (Pesila) juga sangat aktif.

Pada 2013, kerajaan mengesahkan status bumiputera bagi komuniti Siam di Malaysia. Bagaimanapun, hasil perbualan dengan rakan-rakan keturunan Siam mendapati, pengiktirafan itu masih belum dilaksanakan sepenuhnya. Status bumiputera diperakui dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi masih ramai orang Siam menghadapi masalah sewaktu membeli rumah atau mendaftar syarikat dengan Kementerian Kewangan.

Pusat Buddhis Dhammaduta Malaysia (PBDM) di Putrajaya diumumkan pada 2017 dan semakan terkini mendapati proses pembinaan bangunan dua tingkat itu berjalan lancar. Selain pertubuhan rasmi peringkat negeri dan kebangsaan, wat dan individu dalam komuniti juga memainkan peranan memelihara identiti dan jati diri orang Siam beragama Buddha.

Acara dan perayaan seperti La Sang (pesta menuai), Wai Ban (puja kampung), Sai Preth (roh nenek-moyang), Songkran (pesta air) dan Loy Krathong (melepaskan bunga teratai palsu di sungai) masih diamalkan dan wajar diteruskan tanpa sekatan oleh mana-mana pihak. Begitu juga perayaan berkait rapat dengan Siddhartha Gautama seperti Kathina (menghargai pengorbanan sami), Vesakha Phuja (kelahiran dan kematian), Asalha Phuja dan Makha Phuja.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN