Selalulah bersyukur - Utusan Malaysia

Selalulah bersyukur

PENULIS bersama arwah moyang pada hari raya pertama 2008 di Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDANG saya membelek album lama, terpandang sekeping gambar arwah moyang. Gambar yang diambil ketika saya berusia lima tahun itu mengimbau kenangan bersama arwah. Moyang ceria orangnya, suka mengusik dan bergurau dengan kami, adik-beradik.

Meskipun tinggal berjauhan, tidak pernah menjarakkan kasih sayang dan kemesraan antara kami. Moyang suka beli buku dan faham selera bacaan kami. Ada sahaja buku-buku baharu sedia menanti setiap kali kami pulang berjumpa moyang.

Terbayang senyuman besarnya menyambut kami di pintu rumah. Biasanya kami akan bawa ais krim kegemarannya sebagai buah tangan. Sambil makan, kami bercerita sebelum saya dan kakak-kakak beralih menatap buku-buku baharu yang dibeli moyang.

Pesan moyang, kita mesti sentiasa bersyukur dan menghargai rezeki. Jangan membazir dan bersikap tamak. Setiap kali usai makan, moyang pastikan kami menghabiskan semua makanan.

Pinggan kami mesti licin tanpa sebutir nasi pun yang tertinggal. Perkara sama turut dilakukan oleh moyang ketika ibu saya masih kecil dan pesanan itu terpahat sehingga kini.

Kata arwah, jika kita mahu rezeki diberkati, jangan sesekali membuang makanan. Maka, jangan tamak ketika mengambil makanan sehingga tidak dapat dihabiskan. Makanlah apa yang dihidangkan dan jangan merungut kerana itu adalah rezeki daripada Allah.

Sejak kecil kami diajar supaya makan dengan berpada-pada, tidak menurut nafsu serta jangan gelojoh. Kami menyimpan makanan yang lebih, walaupun hanya sedikit kuah, serta berusaha untuk tidak membazir dan berjimat-cermat dalam semua keadaan.

Pengalaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan saya bersyukur kerana kami telah dibiasakan makan apa sahaja yang ada. Malah, semasa PKP pun masih ada makanan elok dibuang dan makanan dibazirkan kerana pelbagai sebab yang sepatutnya boleh dielakkan jika kita merancang dengan lebih teliti.

Pengalaman ini sepatutnya meningkatkan usaha kita untuk menghentikan pembaziran makanan. Bersyukur dengan nikmat Allah SWT.

PENULIS berusia 17 tahun dan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN