Sedekah jangan lupa kaum kerabat - Utusan Malaysia

Sedekah jangan lupa kaum kerabat

USTAZ Ebit Liew adalah antara individu yang banyak memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan. – FACEBOOK EBIT LIEW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada kita semua. Antara yang paling terjejas adalah sektor ekonomi. Ramai yang hilang mata pencarian termasuk diberhentikan kerja ekoran wabak yang belum nampak bila akan berakhir.

Situasi ekonomi dunia juga tidak menentu. Laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Selasa lalu mendedahkan sebanyak 835,000 atau 11.3 peratus isi rumah di negara ini berisiko jatuh ke paras kemiskinan.

Dapatan itu diperoleh menerusi laporan terbaharu KRI bertajuk Kebajikan di Malaysia Merentasi Tiga Dekad yang turut menunjukkan kemiskinan relatif masih tinggi, iaitu pada kadar 16.9 peratus melibatkan 1.2 juta isi rumah.

“Ini bererti 11.3 peratus atau 835,000 isi rumah masih ada pendapatan yang hanya tinggi sedikit daripada pendapatan garis kemiskinan mutlak. Masih ramai berada jauh daripada taraf hidup purata masyarakat.

“Isi rumah ini pada bila-bila masa boleh jatuh dalam kategori miskin mutlak se­kira­­nya berlaku malapetaka seperti jatuh sakit atau hilang pekerjaan,” menurut laporan tersebut.

Ia diburukkan lagi dengan berita pihak industri tidak boleh memberi jaminan dapat menyediakan pekerjaan kepada 300,000 siswazah yang baharu memasuki pasaran kerja tahun ini.

Sebabnya, syarikat-syari­kat dilihat ti­dak sanggup meng­ambil risiko menambah tenaga kerja baharu dalam skala besar di tengah-tengah wabak yang melumpuhkan aktiviti eko­nomi di seluruh dunia.

Hal tersebut adalah antara sebahagian ujian yang diberikan Allah SWT kepada manusia dalam menjalani kehidupannya di muka bumi ini. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah: 155)

Dalam hidup, duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit. Bermula dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu sehinggalah yang terbaharu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mulai 14 Oktober lalu, ramai yang terjejas pendapatan.

Bagi Bantuan

Alhamdulillah, ada banyak pihak sama ada kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang melakukan pelbagai inisiatif membantu golongan yang terjejas ini. Pastinya, golongan suami isteri yang diberhentikan kerja lebih parah keadaan mereka.

Dalam saat begini, seperkara yang perlu diingatkan, janganlah kita lupa kepada ahli keluarga dan kaum kerabat yang terjejas. Mereka yang masih ada pendapatan dan pekerjaan boleh memainkan peranan. Hulurkan bantuan kepada adik-beradik atau kaum kerabat terutama yang hilang punca pendapatan.

Janganlah hendaknya, kita membantu orang lain tetapi kita butakan mata dan pekakkan telinga daripada membantu ahli keluarga masing-masing. Perintah membantu ahli keluarga dijelaskan dalam firman Allah SWT yang bermaksud: Dan berikanlah kepada keluarga-keluarga yang dekat akan haknya, kepada orang miskin dan orang yang dalam perjalanan dan janganlah kamu menghambur-hamburkan (hartamu) secara boros. (al-Israk: 26)

Diriwayatkan daripada Anas, beliau berkata, “Abu Thalhah adalah salah seorang sahabat Ansar yang paling banyak memiliki harta daripada kebun kurma di Madinah. Harta kekayaan yang paling disukainya adalah kebun Bairuha yang berhadapan dengan masjid. Rasulullah sering masuk ke kebun itu dan minum air yang bersih di dalamnya”.

Anas pun mengatakan mengenai turunnya ayat al-Quran yang bermaksud: Kamu sekelian sekali-kali tidak sampai pada kebajikan yang sempurna sebelum kamu sekelian mendermakan sebahagian harta yang kamu cintai. (ali-Imran: 92).

Abu Thalhah bertemu Rasulullah lalu berkata: “Wahai Rasulullah, Allah SWT berfirman, Kamu sekalian sekali-kali tidak sampai pada kebajikan yang sempurna sebelum kamu sekalian mendermakan sebahagian harta yang kamu cintai sedangkan harta yang paling saya cintai adalah kebun Bairuha. Kini, kebun itu saya sedekahkan kerana Allah dengan harapan kebajikannya dan simpanan (pahalanya) di sisi Allah SWT maka letakkanlah kebun itu, wahai Rasulullah, sesuai dengan apa yang diberitahukan Allah kepadamu.”

Rasulullah SAW bersabda: “Bagus! Itulah harta yang menguntungkan. Saya telah mendengar apa yang kamu katakan dan saya berpendapat, sebaik-baiknya kebun itu kamu jadikan sedekah kepada kaum kerabat.” Abu Thalhah berkata, “Saya laksanakan, ya Rasulullah.”

Kemudian, Abu Thalhah membahagikan kebun itu untuk sanak saudara dan anak-anak pak ciknya. (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kisah yang terdapat dalam hadis di atas menunjukkan kepada kita akan keutamaan bersedekah kepada kaum keluarga. Bersedekah boleh diberikan kepada siapa sahaja dan dapat menjadi penggerak ekonomi masyarakat. Bagaimanapun, Rasulullah SAW menyarankan kepada Abu Thalhah untuk menyedekahkannya kepada kaum kerabatnya.

Saranan baginda SAW itu menjadi sandaran keutamaan sebelum bersedekah kepada orang lain. Ini kerana, falsafah dalam sedekah adalah untuk mempererat hubungan antara manusia yang dimulai dengan hubungan keluarga, antara jiran tetangga dan pembinaan masyarakat secara lebih makro.

Hal ini dijelaskan lagi menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): apakah yang akan mereka belanjakan (dan kepada siapakah)? Katakanlah:

“Apa jua harta benda (yang halal) yang kamu belanjakan maka berikanlah kepada: Kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang terlantar dalam perjalanan. Dan (ingatlah), apa jua yang kamu buat dari jenis-jenis kebaikan, maka sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui-Nya (dan akan membalas dengan sebaik-baiknya). (al-Baqarah: 215)

Selain itu, dalam Islam, mempererat hubungan keke­luargaan adalah kewajipan yang harus dilakukan oleh setiap Muslim. Malah, pem­berian sedekah kepada ahli keluarga mampu menjaga, memelihara dan merapatkan hubungan silaturrahim.

Tambahan pula, ketika kita bersedekah kepada kerabat, kita mendapatkan dua pahala.

Pertama, pahala sedekah itu sendiri dan yang kedua, pahala menyambung tali keke­luargaan. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Sedekah kepada orang miskin hanya mendapatkan pahala sedekah sedangkan sedekah kepada sanak kerabat mengandung dua keutamaan iaitu sedekah dan menyambung tali persaudaraan. (Riwayat Tirmidzi).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN