Lebih separuh abad lalu, seorang ahli kimia wanita terkemuka, Rosalind Franklin pernah menyatakan, sains dan kehidupan seharian tidak boleh dan tidak patut diasingkan. Mutakhir, ungkapan ini amat relevan dan kepentingannya ditekankan dalam satu gerakan global, Gerakan Sains Terbuka (OSM) yang kini kian bertambah jumlah negara yang memberikan perhatian serius terhadapnya kerana ia membolehkan proses pemasyarakatan sains yang digelar “sains rakyat” (SR).
Tujuan OSM dan SR adalah untuk memastikan data-data saintifik mengenai pelbagai isu dan cabaran kehidupan manusia dapat diperoleh, boleh digunakan oleh pelbagai pihak yang memerlukannya dan boleh diguna semula. Memandangkan kajian-kajian sains yang baik dan boleh dipercayai menelan belanja yang begitu besar, objektif OSM amatlah wajar disokong.
Prinsip asasnya juga adalah untuk mendemokrasikan ilmu, iaitu membolehkan rakyat dan pemegang taruh yang bukan semestinya saintis turut serta dalam proses kajian saintifik yang sebenar, bersama-sama diseliapandu oleh para saintis.
Kesan besar OSM kepada masyarakat ialah ilmu sains tidak lagi di luar jangkauan masyarakat yang merupakan pengguna, penerima mahu pun penafi dan penggagal kepada usaha-usaha seperti pemeliharaan air, sungai dan sumber-sumber alam yang kritikal, penggunaan vaksin, pengelakan penyakit sosial (fitnah, skandal) melalui teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang kian canggih dan lain-lain penyalahgunaan sains dan teknologi yang bertujuan meningkatkan kualiti manusia. Lebih mantap lagi sekiranya OSM yang diadaptasi oleh Malaysia disuntik dengan nilai-nilai seperti yang terkandung dalam Rukun Negara, Wawasan Kemakmuran Bersama dan 17 Matlamat Pembangunan Mapan yang juga boleh difahamkan sebagai huraian kepada maksud atau objektif syariah (maqasid syariah).
LESTARI
Melalui OSM dan SR yang sarat nilai akan menjadi pemangkin kepada agenda kemampanan negara seperti yang digariskan oleh Perdana Menteri. Pada 19 Oktober lalu melalui ucapan perasmian di Persidangan dan Pameran Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa (IGEM2020) secara maya, Perdana Menteri menegaskan, agenda pembangunan lestari atau mampan akan banyak dipengaruhi oleh teknologi hijau yang memainkan peranan memacu ekonomi dan pembangunan negara kini dan masa hadapan.
Melihat kepada situasi semasa, keadaan literasi sains dalam kalangan masyarakat juga amat kritikal diberi penekanan, khususnya dalam memahami isu-isu pandemik Covid-19 dan krisis alam sekitar termasuk masalah air di Lembah Klang, baru-baru ini.
Dalam konteks Covid-19, tanpa kefahaman dan ilmu berkaitan sains (virus dan penularannya), amatlah sukar bagi masyarakat untuk turut sama terlibat dalam usaha pencegahan dalam membantu petugas barisan hadapan. Begitu juga dengan isu air, tanpa memahami ilmu yang terkait dengan air dan sistem tabii yang memastikan kualitinya, tidak mungkin kelestarian sungai dapat dijaga oleh pihak-pihak tertentu sahaja tanpa rakyat turut memainkan peranan mereka.
Di sinilah OSM dan SR boleh membantu menarik dan meningkatkan minat masyarakat secara keseluruhannya terhadap peri pentingnya sains.
Di dalam banyak negara hari ini, penglibatan sains rakyat makin popular sehingga ada yang menjangkau 400,000 ahli kumpulan atau platform-platform tertentu. Kajian juga membuktikan hasil usaha daripada SR telah banyak memanfaatkan masyarakat dari sudut projek-projek saintifik berkaitan ramalan cuaca dan kesannya, penyebaran penyakit, fenomena air pasang besar, ekosistem marin dan lain-lain.
ULAMA
Berkesannya usaha rintis SR di negara kita terserlah apabila Akademi Sains Malaysia menganjurkan webinar yang mengetengahkan tiga projek sains rakyat menggabungkan usaha sama saintis, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam dalam projek saintifik seperti yang dilaksanakan oleh Malaysia Nature Society melalui Bird Watching, Reef Check Malaysia dan Macaca Nemestrina Project oleh penyelidik Universiti Sains Malaysia di Hutan Segari Melintang (konservasi spesies monyet di Perak).
Dari perspektif Islam, mungkin masih ramai yang boleh diperingatkan bahawa asas-asas sains moden yang kita nikmati hari ini sebenarnya bermula dengan giatnya pada kurun ke-12 hingga 14 Masihi di Andalusia dalam era yang digelar The Golden Age of Islam. Bandaraya Cordoba yang merupakan bandar raya termoden dunia ketika itu merupakan tempat atau pusat berkumpulnya para saintis Barat dan Timur untuk mempelajari sains dan teknologi yang terkini untuk memahami fenomena alam tabii.
Bagi saintis Muslim yang juga merupakan golongan ulama, kefahaman tentang alam bukan hanya sebagai tanda-tanda kewujudan dan kekuasaan Maha Pencipta tetapi juga sebagai wadah memenuhi tuntutan ibadat, menjalankan kehidupan seharian dan membina tamadun. Sains dan teknologi dilihat tidak terpisah daripada kehidupan pada era kegemilangan Islam pada ketika itu seperti yang dinyatakan oleh Rosalind Franklin (ahli kimia kurun ke-20).
DATUK Dr. Azizan Baharuddin ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










