Politik cara Johor - Utusan Malaysia

Politik cara Johor

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AGAK lama Utusan Malaysia tidak ketemu DATUK IR. HASNI MOHAMMAD sejak beliau menyandang jawatan Menteri Besar Johor pada 28 Februari lalu.

Kesempatan bertemu dengannya di Johor Bahru Sabtu lalu, wartawan ZULKIFLI JALIL bertanyakan beberapa isu semasa yang berlingkar terutama kesan pandemik Covid-19 dan politik yang menempias kerajaan negeri dalam tempoh tujuh bulan lebih beliau mentadbir.

“Sebagai sebuah parti, UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor juga telah bersedia menghadapi bila-bila masa jika pilihan raya umum (PRU) mengejut diadakan. Kedudukan UMNO begitu, bila sampai masa kita tentukan calonnya serta perundingan antara rakan-rakan dalam BN itu dibuat,” kata beliau.

Berikut inti pati temu bual dengan Hasni, 61, yang turut mengulas isu lompat parti dan tanggapan campur tangan Istana dalam politik.

Tujuh bulan mentadbir

Saya sesuaikan diri dengan perubahan sebab kerajaan terdahulu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) gagal kerana tiada persefahaman antara parti-parti gabungan. Memimpin dalam konsep parti gabungan kita harus faham mesti ada formula-formula dipersetujukan oleh ahli-ahli gabungan antara Barisan Nasional (BN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.

Cabarannya adalah kita tidak akan dapat puaskan hati semua orang. Sepanjang masa akan berunding, tolak ansur. Dalam hal ini, kejayaan dalam kerajaan campuran ini ialah supaya tidak banyak masa dibuang untuk berunding sesama sendiri bagi memenuhi hasrat parti masing masing. Tetapi lebih kepada tanggungjawab atau tugas sebagai kerajaan.

Dakwaan bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dianaktirikan

Yang penting ialah kerajaan negeri memenuhi matlamat rakyat. Hasrat rakyat itu kita jayakan. Permintaan rakyat diberi tumpuan. Kalau asyik tertumpu program pun tak boleh juga sebab pentadbiran itu adalah satu tubuh badan. Kerajaan itu adalah otak. Otak kita boleh mati tetapi badan itu tak mati, yang bermakna kita jadi koma.

Wakil rakyat ini jantung. Dewan Undangan Negeri (DUN) itu jantung. Kalau DUN itu terhenti kerana tiada persefahaman lagi, matilah tubuh badan.

Dan apakah setiap pagi bila terbangun, saya jadi bimbang tiba-tiba berubah kerajaan negeri kerana majoriti tipis DUN 29-27? Tidak begitu. Ia (perubahan kerajaan negeri) tidak akan berlaku tanpa ada sebab. Kalaupun hendak berlaku perubahan kerajaan, tentu saya akan tahu. Pasti ada perundingan atau permintaan yang tidak dapat dipenuhi kerana wakil rakyat di Johor ini saya tahu semua bertanggungjawab kepada kawasan masing-masing dan jawatan mereka. Maka tidak akan berkata perkara yang bukan-bukan sebab mereka tahu tanggungjawab pada rakyat. Ini lebih-lebih dari Johor, kita berpegang cara Johor dalam kendalikan sesuatu kerana kita telah dipesan oleh Duli Tuanku, jangan jadikan DUN Johor ini sarkas. Kerajaan negeri pun selalu dinasihat jaga rakyat. Pentingkan cara penyelesaian kesusahan yang rakyat hadapi hari ini.

Johor kena guna cara Johor kerana dalam kerajaan menggerakkan negeri, kita wajar letakkan ukuran kepada sesuatu yang lebih baik. Kalau Singapura berjaya dari segi pendapatan rakyat, maka pendapatan rakyat di Johor pun kena sama juga.

Justeru, nombor (ADUN lompat parti) itu maksudnya kalau beralih, berubahlah (kerajaan negeri). Nombor itu ada jiwa. Manusia dan jiwa. Maknanya semua jangkaan itu jelas sebab itu adalah kebenarannya. Cuma sesiapa yang tidak bersetuju (dengan kerajaan negeri sekarang) sehingga ada rakyat yang terbiar, terpinggir serta mati kelaparan di kawasannya, maka dia layak keluar dari kerajaan sebab tak jaga rakyat.

Bersatu original UMNO?

UMNO Johor mahu nyatakan bahawa Hasni adalah UMNO tetapi UMNO bukan Hasni.

Macam orang kata bahawa Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) itu adalah UMNO tetapi UMNO bukan Najib. UMNO adalah UMNO. Zahid (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi), Hasni adalah UMNO tetapi UMNO bukan Hasni. Parti itu berbeza.

UMNO itulah ideologi perjuangannya dahulu dan sekarang. Tidak pernah berubah. Yang berubah hanya pemimpinnya. Justeru, mereka yang hadapi hal-hal secara individu, itu hal individu. Jangan libatkan parti.

Anwar ada ‘nombor’?

Kalau orang UMNO mahu keluar menyokong Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sekalipun, ia tidak akan alihkan sokongan kepada Anwar sebab Anwar mahu jadi PM (Perdana Menteri) sudah lama kita dengar. Apa beza Anwar dulu dan sekarang? Tentu ada sebab. Kalau orang UMNO kata nak keluar parti, Presiden UMNO, Zahid tidak boleh halang. Jadi, apakah sebab nak diketengahkan? Saya harap ia akan ambil kira kepentingan parti dan rakyat.

Lompat parti

Di Sabah, isu lompat melompat tidak menjadi pertimbangan kerana yang lebih utama, soal keperluan asas, ‘periuk nasi’ serta pembangunan yang perlu banyak berlaku di Sabah. Pertimbangan rakyat di sana berbeza sedikit berbanding di Semenanjung soal lompat ini. Mungkin sekarang kita belum nampak kesannya tetapi bila sampai PRU akan datang dalam penentuan calon, faktor lompat ini akan jadi pertimbangan paling utama dalam menentukan sama ada kerusi itu, parti mana yang akan bertanding, saya akan nilai.

Penyandang kerusi ‘lompat’ bertanding?

Bagi saya tidak wajar. Tetapi kalau rakyat hendak dia juga, jika dia bertanding calon Bebas atau parti lain dan sebagainya, itu keputusan rakyat memilihnya. Tapi dari segi keputusan parti, sepatutnya orang yang lompat ini, dia tidak boleh bertanding atas nama UMNO atau BN. Kalau dulu dia menang atas tiket BN dan mereka rasa menang kerana diri mereka sendiri, jadi buatlah keputusan yang wajar.

Pertimbangan kerusi dulu siapa menang atas tiket siapa, itu pada keadaan ketika PRU-14. Mungkin pendapat saya berbeza daripada sedia ada. Parti yang menang dalam PRU-14, parti itu tanding di situ. Itulah formulanya dan dari segi BN-nya pula, kita pun ada formula-formula lain selain daripada yang mana dulu UMNO menang, dia tanding di situ. Itu adalah kriteria-kriteria yang cuba digunakan untuk penetapan calon. Tapi sama ada Johor boleh terima atau tidak, saya rasa perkara itu ada cara lain. Ada cara yang lebih sesuai di Johor. Tidak 100 peratus ciri yang ditetapkan UMNO Pusat sesuai dengan UMNO Johor, tidak semua.

Kita tak boleh pakai sepenuhnya formula UMNO Pusat atau BN Pusat untuk penentuan di Johor.

Berubahkah DAP?

Ada pemimpin UMNO kata apa salahnya berkawan dengan DAP? Itu yang patut kita fikir secara mendalam maksud kita boleh kawan dengan DAP itu apa? Kalau DAP tak boleh ubah ideologi perjuangannya, itu bukan DAP lagi. Soalkan dua perkaralah, kita sebagai ahli parti dan sebagai individu. Saya tidak boleh putuskan silaturrahim dengan Sheikh Umar (Ketua Pemuda DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali) sebagai contoh, sebab agama tidak ajar saya begitu. Tapi sebagai ahli parti, dia DAP, saya UMNO. Maka, tidak setuju dia di pihak yang lain. Jadi, tak mungkin DAP akan berubah dan tak mungkin UMNO jadi DAP kerana kita sokong DAP, kita kena jadi DAP.

Masa depan muafakat UMNO-Pas

Saya sarankan Pas di Johor setuju dengan cara Johor. Maksud saya, kalau Pas Johor masih lagi berpandukan kepada apa yang berlaku di Kuala Lumpur, sebahagiannya sokong BN, sebahagian tak sokong, saya harap Pas Johor utamakan cara Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN