Norma baharu: Mampukah siswa bertahan? - Utusan Malaysia

Norma baharu: Mampukah siswa bertahan?

PARA siswa UIAM termasuk pelajar antarabangsa mempamerkan semangat untuk terus belajar meskipun berdepan pandemik Covid-19. – TWITTER UIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam keseronokan ibu bapa meraikan anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi (IPT), satu persoalan yang ada di benak fikiran mereka juga, ke mana arah anak-anak ini seterusnya setelah tamat pengajian? Apa yang tersemat dalam fikiran anak-anak ini dan apakah niat mereka dalam perlumbaan meraih kejayaan demi kejayaan? Adakah anak-anak ini yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan bersedia dalam mengharungi kehidupan di IPT? Suatu suasana yang yang memerlukan ketahanan fizikal mahupun mental dalam menyesuaikan diri di persekitaran baharu pasca Covid-19.

Ditambah pula perbezaan mod pengajaran dan pembelajaran dalam talian di mana sedikit sebanyak memberi kesan kepada kualiti dan impak sesi sedemikian. Mod pembelajaran di mana tiada rakan kuliah duduk bersebelahan, kekurangan sentuhan peribadi oleh pensyarah dan norma ini juga menguji tahap integriti pelajar tersebut apabila kita membicarakan dalam konteks penilaian untuk pemarkahan atau penaksiran. Tidak keterlaluan untuk kita katakan, norma pasca Covid-19 ini memerlukan ketahanan hati yang sangat kuat dengan nilai-nilai murni terutama bagi pelajar baharu yang amat perlukan perhatian oleh pendidik.

ORIENTASI

Dalam usaha kesiapsiagaan pelajar yang baru mendaftar di IPT, satu program pengenalan atau lebih popular dikenali sebagai orientasi haruslah dijalankan sebagai wadah transformasi buat pelajar baharu. Berdasarkan norma sekarang, program ini harus berbeza dari dahulu dan hendaklah digubal dengan menggariskan modul yang diterapkan dengan objektif memberi kesedaran kepada pelajar tentang kewajipan dan maksud kewujudan mereka di IPT. Ia haruslah berupaya menanam nilai-nilai murni mendorong kepada sifat dan sikap kendiri yang positif supaya pelajar baharu dapat menyesuaikan diri dari segi mental dan fizikal serta mendalami objektif sebenar maksud pengajaran dan pembelajaran. Ilmu yang ditimba bukan hanya sekadar mendapatkan segulung ijazah, namun yang akan dikongsi dan diamalkan bagi menolong pembangunan dan kelestarian diri serta komuniti sekeliling terutama dalam menghadapi situasi pasca pandemik yang mendorong kepada ketidaktentuan, ketidakpastian, kerumitan dan kekaburan keadaan semasa.

Justeru, menyedari keperluan untuk membantu pelajar baharu dalam menghadapi cabaran tersebut, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menyediakan modul program orientasi yang berbeza bersandarkan kepada prinsip pendidikan manusiawi dengan elemen khalifah, amanah, iqra’ (pengajaran dan pembelajaran) ke arah mencapai rahmatan lil alamin. Elemen-elemen tersebut adalah ekstrak daripada lirik lagu universiti, Leading the Way yang digubah oleh Allahyarham Johan Nawawi pada 2007 dan didebut pada 20 Mei 2008 sempena sambutan UIAM ke-25 tahun. Modul tersebut mendorong pelajar untuk mengenali UIAM dan seterusnya mendalami visi dan misi universiti dalam konteks membina diri agar menjadi seorang graduan seimbang.

Pensyarah dan pentadbir universiti bergabung tenaga dalam penyediaan modul tersebut. Modus operandi penyampaian semua topik yang dihasilkan akan lebih praktikal dengan penyampaian dalam talian dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang menekankan pembangunan lestari.

Namun begitu, norma baharu yang memerlukan prosedur tertentu dalam semua aktiviti akan sentiasa dititikberatkan. Selain itu, modul ini juga mendorong kepada perkongsian mentor-menti antara pensyarah, pentadbir dan pelajar. Melihat kepada perincian modul program orientasi atau dikenali di UIAM sebagai ta’aruf, topik-topik yang disediakan menekankan keperluan nilai, sifat dan kompetensi untuk peningkatan jati diri dan pengajian sepanjang hayat sebagaimana empat tonggak pendidikan oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), iaitu belajar mengenali, belajar melakukan, belajar hidup bersama dan belajar menjadi seorang yang memberi manfaat kepada masyarakat. Ia juga disuntik dengan elemen Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang memupuk insan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan sosial untuk mewujudkan insan yang holistik dan harmonis.

SUARA

Secara ringkasnya, modul Khalifah menggarapkan semua individu adalah seorang pemimpin. Pemimpin yang bertanggungjawab dan menjadi suara untuk pembangunan dan kesejahteraan masyarakat, bukan semata-mata kepuasan pencapaian diri sendiri. Amanah pula menggariskan integriti sebagai asas untuk segala muamalah dan mahabbah dalam kehidupan yang wajib ada dalam jiwa. Akhirnya, modul rahmatan lil alamin menyeru dan memupuk sifat empati dan kesediaan untuk berbahagi nikmat, berbahagi kebahagiaan dalam kehidupan bermasyarakat dengan menaman sifat qanaah, iaitu berasa cukup dengan pemberian daripada Tuhan seluruh alam serta apa yang ada padanya dan di sekelilingnya agar pelajar akan bersama-sama menghargai peluang yang ada.

Adalah diharapkan usaha UIAM akan melahirkan pelajar yang sejahtera, cintakan ilmu dengan semangat berkobar-kobar untuk kembali kepada masyarakat bagi memberi khidmat sumbangan dalam semua aspek pembangunan negara dan ummah kerana mereka ini bakal pemimpin pada masa hadapan.

DR. Zurina Abd. Ghani ialah Timbalan Pengarah, Pejabat Strategi dan Perubahan Institusi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN