‘Mahu tonjol muka baharu’ - Utusan Malaysia

‘Mahu tonjol muka baharu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

CANTIK, comel dan bergaya orangnya, namun jangan pandang sebelah mata. Bak kata orang, kecil-kecil cili padi, sekali tergigit pedasnya hingga berdesing telinga. Meskipun kecil tetapi berani bersuara dan tegas memperjuangkan kepentingan dan hak orang muda.

Walaupun terpaksa berdepan golongan belia yang lantang bersuara menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap politik secara terang-terangan, namun WONG SIAW TING mempunyai cara berbeza untuk memberi pemahaman dan menarik golongan itu untuk melihatnya dari versi berbeza.

Ketua Pemuda MCA ini yang lebih dikenali sebagai Nicole Wong merupakan wanita pertama diangkat sebagai pemimpin belia parti tersebut.

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID, wanita berusia 40 tahun itu percaya landskap politik negara mampu menjadi antara yang terbaik sekiranya golongan muda dapat berkongsi idea dan bergerak seiring dalam membentuk sebuah negara tanpa rasa benci terhadap satu sama lain.

UTUSAN: Apa pandangan anda berhubung perkembangan politik semasa yang dilihat seperti tidak stabil?
WONG SIAW TING: Kestabilan negara merupakan sesuatu yang sangat subjektif. Pada masa kritikal seperti sekarang, saya ingin menegaskan bahawa kerajaan telah mencapai satu kestabilan yang sangat matang. Ahli-ahli politik di negara ini tanpa mengira parti dilihat sangat matang berdepan pelbagai isu semasa.

Satu contoh paling bagus adalah #undi18 dengan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berjaya mendapat undi tertinggi bagi Dewan Rakyat meluluskan pindaan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Walaupun berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi, namun saya yakin ia tiada kaitan dengan suasana politik. Kedua-dua itu adalah berbeza kerana buat pertama kali dalam sejarah, kesihatan manusia tergugat akibat pandemik Covid-19.

Golongan muda Cina dilihat lebih tertarik kepada DAP. Apa komen anda?
Ia tidak benar. Penambahan ahli sehingga kini amatlah positif dengan lebih 2,000 orang terdiri daripada latar belakang berbeza menyertai Pemuda MCA.

Tumpuan utama selepas ini adalah mengembalikan keyakinan rakyat terhadap MCA melalui beberapa aktiviti seperti turun padang, dekati komuniti bagi mendapatkan maklumat selain mendengar keluhan dan pendapat mereka.

Bagaimana pandangan golongan muda terhadap politik?
Anak muda pada masa kini lebih lantang bersuara sama ada di media sosial atau jalanan untuk menunjukkan rasa tidak puas hati atau menyokong sesuatu dasar kerajaan. Mereka mahu suara mereka didengari.

Golongan muda berasa teruja untuk melakukan perubahan, justeru mereka memerlukan sokongan dan medium untuk melahirkan idea sekali gus membantu kerajaan membentuk sebuah negara yang adil tanpa meminggirkan golongan muda.

Sudah kenal pasti calon untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)?
Terdapat banyak calon berkaliber. Kebanyakannya profesional dalam pelbagai bidang seperti kejuteraan dan undang-undang.

Mereka berbakat dan memiliki daya kepimpinan yang tinggi. Saya percaya muka-muka baharu yang bakal diketengahkan nanti boleh membawa kelainan dalam politik negara sekali gus menjadi wadah kepada golongan muda untuk menyampaikan idea atau teguran melalui saluran yang betul.

Malah, calon-calon ini juga mampu menarik lebih ramai anak muda untuk berkecimpung dalam arena politik dengan membawa kepelbagaian pandangan.

Had undi diturunkan ke 18 tahun. Komen?
Tidak dinafikan penyokong muda susah untuk dipengaruhi. Bagaimanapun bagi saya, ia adalah sentimen yang baik. Ini menunjukkan mereka akan cuba sedaya upaya untuk berjuang dari segi politik.

Malah pada usia muda ini, mereka boleh berfikir secara matang dalam menilai seseorang pemimpin yang layak dan bersih serta mampu menyuarakan suara akar umbi untuk disampaikan kepada pemimpin negara.

Pandangan anda tentang parti baharu, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda)?
Pertama, kita perlu faham politik tidak sepatutnya digolongkan kepada Melayu, Cina dan India. Ya, ini adalah satu trend global.

Jika dilihat kembali kepada isu semasa, ada Greta Thunberg (aktivis alam sekitar), Joshua Wong (aktivis politik) dan lain lain lagi. Mereka terdiri daripada pemuda-pemudi berkaliber tinggi yang membawa inspirasi baharu kepada golongan belia di Malaysia untuk berkecimpung dalam bidang politik.

Jadi, kita menerima secara baik dan dengan hati terbuka kepada parti baharu tersebut dan meraikan kepelbagaian dalam perspektif politik. Selagi ia baik untuk negara, mengapa tidak diterima?

Bagi MCA, apa yang penting adalah untuk meyakinkan golongan belia untuk menyokong kami. MCA adalah berbeza dengan parti-parti lain. MCA sudah lama dan dikenali, maka perjuangan kami bukan hanya sekadar memperoleh publisiti tetapi memperjuangkan hak belia di negara ini secara adil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN