Kisah Cina dirotan Melayu - Utusan Malaysia

Kisah Cina dirotan Melayu

Kejayaan kita pada hari ini adalah kerana landasan kepelbagaian kaum yang hidup di negara ini. – UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, saya agak terkejut mendengar satu komen tentang kehidupan pelbagai kaum daripada seorang ahli politik Melayu yang wadah perjuangannya dikatakan Reformis Islam. Dia berkata kepada saya dalam satu perbualan tidak formal: “You know Prof., kalau orang bukan Melayu faham kenapa kita tidak boleh berkunjung ke rumah mereka, senang masalah perpaduan kita. Mereka ini tidak tahu dan sensitif sangat tentang Islam.”

Saya terdiam seketika apabila terdengar kenyataan itu. Biasanya saya dengar mak cik dan pak cik sebelah isteri saya selalu mengingatkan dalam WhatsApp supaya berhati-hati dengan najis besar seperti anjing dan alkohol. Makan kita kena jaga sebab pinggan mangkuk orang bukan Melayu tidak bersih, entah apa yang dimasaknya. Lantai mereka pun jijik sebab anjing lalu lalang dalam rumah.

Tetapi apabila kenyataan itu keluar daripada seorang pemimpin, maka saya termenung lama sikit dalam perjalanan pulang dari majlis tersebut. Saya amat pasti pemimpin itu bukan orang sombong atau berniat jahat atau perasan sendiri. Namun, kenyataannya menunjukkan suatu aspek pendidikan bab suci yang saya tidak senang sebab ia boleh mengancam keharmonian antara kaum.

Maka, saya ingin menceritakan tentang seorang tokoh arkitek, seorang Melayu dan salah seorang perintis arkitek bumiputera yang membantu membina infrastruktur bangunan di negara ini.

Dalam kajian saya untuk menulis biografi tokoh Melayu ini, saya sempat menemu bual dan bertanya tentang apa makna identiti seni bina nasional. Jawapan dia telah membuka mata saya kepada suatu kefahaman tentang warisan sejarah dan bangunan yang saya tidak pernah ketahui sebelum ini.

Dia berkata, masalah besar rakyat kita dalam isu perpaduan dan menetapkan identiti kebangsaan adalah buta sejarah dan warisan negara. Kita mesti mengakui dengan merendah diri bahawa kita kini semua berdiri dengan gagah dan berjaya kerana jasa semua orang yang melintasi hidup kita. Guru kita, kawan kita, ibu bapa kita, kawan dan kenalan mereka, jiran kita, kerani yang kerja dengan kita, pak cik yang jual putu mayam dan ramai lagi. Kalau tidak kerana mereka, mustahil kita berjaya. Seperti juga bangunan warisan dan jalan raya yang tersemat nama tokoh sejarah seperti sultan, raja, orang putih, tauke Cina, tokoh India dan tokoh Melayu. Semuanya adalah refleksi diri kita sebagai hasil daripada kepelbagaian kaum dan budaya.

Dia anak jati KL (Kuala Lumpur). Tak ada ceruk yang dia tak kenal dalam KL ini. Dia melihat KL membangun daripada bangunan ke bangunan dan dari jalan ke jalan yang dibina. Kalau sembang pasal KL dengan tokoh ini, tiga jam pun tak cukup. Segala cerita manusia, tokoh profesional, peniaga, politikus, sultan dan raja yang beliau semua kenal.

Diceritakan yang dia ada rakan karib bangsa Cina. Mereka ke hulu dan ke hilir berbasikal. Selalu sahaja tokoh ini lepak di rumah kawan Cina itu. Kalau kena pada waktu makan, ibu rakannya itu akan membeli nasi daripada orang Melayu dan sajikannya kepada dia kerana nak pastikan yang ia halal. Tokoh arkitek itu berkata, dia tak pernah minta pun dicarikan makanan sedemikian.

Kemudian diceritakan suatu peristiwa di mana dia, adik beradik dan rakan-rakan Cina membina sebuah rakit dan menaikinya menelusuri sungai sejauh beberapa kilometer. Apabila bapa tokoh ini mendapat tahu perbuatan anak dan rakan-rakannya, dipanggil kesemua mereka dan merotan anaknya dan dua rakan Cina tokoh itu! Apabila si bapa rakan Cina terdengar salah seorang anaknya meraung kesakitan, dia bergegas ke sebelah rumah dan terkejut melihat anak-anaknya dirotan jirannya. “Apa hal ini Majid?” tanya Cina itu. Bapa tokoh arkitek memberitahu tentang perbuatan mereka semua berakit di sungai. Si bapa Cina berkata, “Bagus! Rotan mereka kuat-kuat Majid!”

Peristiwa ini amat mengagumkan saya kerana anak Cina dirotan bapa Melayu dan si bapa Cina mengiakannya! Ini menunjukkan betapa erat hubungan antara kaum sebelum Malaysia dilahirkan lagi. Kesemua anak-anak sekampung sejiran dianggap anak-anak semua tidak kira kaum, agama atau cara makan. Inilah perpaduan masa dahulu yang tidak tercapai masa kini dengan persepsi politik, agama dan sejarah yang tidak membantu konsep negara bangsa.

Pada ketika lain, tokoh arkitek ini menceritakan bagaimana seorang guru besar orang putih menangkapnya kerana menconteng dinding sekolah. Hukumannya, dia diarah melakarkan mural dinding sekolah! Bakat melukis diasah dan didorong oleh kesemua guru-gurunya yang pelbagai kaum sehingga dia memenangi pertandingan melukis kebangsaan dan menjadi pelukis tanah air termuda dalam lingkungan remaja lagi.

Akhir sekali, tokoh arkitek ini menceritakan bagaimana dia teringin ke luar negara untuk belajar seni bina tetapi tidak tahu untuk menjayakan impiannya. Tup-tup sewaktu dia menjadi pegawai di sebuah agensi kerajaan, kerani Sikh dan Cina membawa borang Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang sedang menawarkan biasiswa bagi anak-anak bumiputera.

Dia masih terkenang bibit sejarah peribadi ini dan sering mencari-cari guru-gurunya, rakan kerani dan segala orang yang pernah ditemuinya dan menziarahi mereka. Kesemua itu adalah warisan peribadi pelbagai kaum.

Maka itu, daripada cerita ringkas tokoh arkitek ini, saya ingin mengingatkan masyarakat agar menghargai warisan budaya, kaum dan bangunan kita. Janganlah kita lenyapkan ia dan jangan kita angkuh memikirkan kehebatan satu-satu kaum sahaja kerana kejayaan kita sudah pasti berdiri di atas landasan kepelbagaian kaum yang hidup dalam negara kita.

Profesor Dr. Mohd. Tajuddin Mohd. Rasdi ialah ahli akademik seni bina dan penganalisis kritis di media sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN