SAMA seperti peningkatan kes Covid-19, kes penipuan dalam talian atau Macau Scam juga seolah-olah tidak menunjukan tanda-tanda akan berakhir.
Di Pulau Pinang, boleh dikatakan saban hari ada sahaja laporan polis dibuat oleh mereka yang menjadi mangsa.
Mereka tertipu sama ada dengan panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), wakil pejabat pos atau terjerat dengan pinjaman wang tidak wujud atau pelaburan cepat kaya termasuk forex.
Jumlah kerugian pula ada yang mencecah jutaan ringgit.
Selain hilang wang simpanan sekelip mata, ada yang terpaksa bergolok-gadai dan meminjam tanpa mengetahui mereka sebenarnya sedang ditipu.
Apa yang menghairankan, meskipun sudah terlalu kerap kes penipuan Macau Scam itu didedahkan media, namun masih ada yang terperangkap sehingga ke hari ini.
Kisah penipuan Macau Scam dengan kerugian ratusan ribu ringgit sering mendapat liputan utama media cetak atau media digital.
Jadi, adalah mustahil untuk masyarakat hari ini yang sentiasa terdedah dengan maklumat di hujung jari tidak mengetahui atau menyedari kewujudan sindiket sedemikian.
Apatah lagi modus operandi yang digunakan juga tidak banyak berubah sejak bertahun-tahun lalu iaitu menyamar sebagai pihak berkuasa dan menakut-nakutkan serta mengugut mangsa dengan kesalahan jenayah.
Ada juga kes yang meminta nombor dan maklumat peribadi perbankan serta meminta berkongsi kod kebenaran transaksi bank (TAC) yang jelas adalah satu kesilapan besar untuk dikongsi dengan pihak lain.
Malah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sudah berulang kali menasihatkan orang ramai supaya merujuk balai polis atau institusi perbankan sekiranya menerima panggilan yang mendakwa daripada pihak berkuasa terlibat.
Di pihak PDRM, usaha memburu dalang sindiket itu tidak pernah berhenti dan tangkapan ke atas suspek yang disyaki terlibat juga berjaya dilakukan.
Namun, kelicikan sindiket Macau Scam itu tidak boleh dipatahkan hanya menerusi ketegasan undang-undang.
Tanpa kesedaran dan sikap ambil peduli daripada masyarakat, selagi itulah Macau Scam akan terus aktif memburu mangsa dan mengaut keuntungan berjuta-juta ringgit.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Pulau Pinang.










