Dunia akademik langkaui dinding kampus - Utusan Malaysia

Dunia akademik langkaui dinding kampus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEJAK 2019, tarikh 5 Oktober dijadikan Hari Akademia. Tarikh tersebut didedikasikan buat warga akademik yang bertugas di institusi pendidikan tinggi.

Sempena Hari Akademia ini, eloklah kiranya ahli-ahli akademik melihat peranan dan cakupan dunia akademia pada masa kini dan akan datang.

Tugas ahli akademik semakin rencam dan pelbagai. Pada suatu ketika, fokus negara terarah kepada melahirkan graduan yang dapat memenuhi keperluan negara dalam segenap sektor pekerjaan. Maka pengajaran menjadi fokus utama buat kebanyakan universiti.

Namun, tatkala amalan penarafan universiti semakin mendapat tempat, penyelidikan menjadi salah satu bidang tugas yang mesti juga dijalankan oleh ahli akademik.

Tugas menyelidik bukanlah baru, namun ia menjadi semakin bernilai dewasa ini lebih-lebih lagi apabila Malaysia dan dunia menuju ekonomi berpaksi inovasi yang menuntut penyelidikan lebih berimpak kepada masyarakat dan industri, dengan penjanaan peluang pekerjaan baharu dalam sektor berteknologi tinggi sejajar dengan era Revolusi Industri 4.0.

Tugas memberi khidmat kekal sebagai salah satu tugas utama ahli akademik. Ini termasuklah membantu menyelesaikan masalah masyarakat seperti cabaran menjalankan pembelajaran dalam talian, pencemaran sungai dan kewujudan sisa pepejal yang tidak diurus dengan sistematik.

ISLAM

Kerencaman tugas akademia pada masa kini sebenarnya sudah sedikit sebanyak tergambar pada zaman terdahulu, khususnya pada era kegemilangan Islam.

Ahli akademik boleh kembali melihat peranan yang pernah dimainkan oleh ramai sarjana Islam yang menyinar pada zaman kerajaan Bani Umayyah dan Abbasiah.

Tokoh masyarakat seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Khawarizmi dan Imam Al-Ghazali sebenarnya memiliki citra seorang ahli akademik.

Insan-insan ulung ini ialah pengkaji bidang seperti perubatan, matematik atau keagamaan bahkan mereka mempunyai kepakaran lebih daripada satu bidang. Mereka juga pendidik yang mengajar ahli masyarakat untuk menjadi insan soleh dan berilmu.

Malahan juga, mereka menabur budi membangun ummah dengan bersama-sama pemerintah mentadbir secara lebih berkesan, baik memberi teguran membina mahupun cadangan bernas untuk pertimbangan pemerintah. Ini hampir kepada tugas membina polisi negara yang turut dijalankan oleh sebahagian ahli akademik masa kini.

Citra yang dimiliki oleh tokoh-tokoh tersebut mencerminkan kebijaksanaan mereka sebagai figura awam dan mempunyai ciri-ciri serba boleh. Sama ada mengajar, menulis, mahupun mengkaji, peranan ahli akademik sememangnya tidak lari daripada tugas-tugas ini.

PELUANG

Kerencaman tugas akademia menjanjikan pelbagai peluang untuk diteroka. Baik di dalam atau luar kampus, peluang yang terhidang seperti bersama-sama merangka polisi untuk kementerian menjanjikan satu pulangan besar kepada pelbagai pihak.

Dengan kebijaksanaan yang dimiliki oleh ahli akademik juga, mereka dapat menghubungkan pelbagai tugas ini agar mencipta impak yang lebih ketara.

Sebagai contoh, tugas mengajar dan menyelidik kini bukanlah lagi dua perkara yang terasing. Semakin ramai ahli akademik dapat menghubungkan dua tugas hakiki ini seperti membuat penyelidikan dalam kelas mereka ajar, yang dapat menentukan kekuatan dan kekurangan dalam amalan pengajaran mereka serta seterusnya membuat inovasi kepada pengajaran yang lebih memenuhi keperluan pelajar dan berkualiti tinggi.

Kerencaman tugas ahli akademik juga sebenarnya mencipta satu tanggapan bahawa ahli akademik masih mendapat kepercayaan tinggi daripada banyak pihak dalam memenuhi keperluan masyarakat dan industri yang pelbagai.

Kepercayaan sebegini lahir daripada keyakinan bahawa ahli akademik memiliki kepakaran diperlukan dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan dan isu yang berlaku. Tidaklah pelik jika ahli akademik semakin menjadi sibuk dengan pelbagai tugas lantaran wujudnya rasa percaya dan yakin kepada kewibawaan mereka.

Sungguhpun begitu, kerencaman tugas ahli akademik tidak memungkinkan mereka membuat segala tugas secara sendirian. Kerjasama pelbagai pihak amat didambakan.

Kerangka dunia akademia baharu yang berpaksikan nilai-nilai inklusif dan membina jaringan kerja yang luas dapat membantu menjayakan hasrat mensejahterakan negara dan rakyat.

GLOBAL

Kerangka kerja komprehensif yang menghubungkan akademia dengan pelbagai pihak seperti kerajaan, masyarakat, industri dan warga global dapat menjanjikan satu impak lebih berganda dan membawa pulangan tinggi kepada kemajuan negara dan dunia.

Dunia akademia masa kini dan akan datang melangkaui dinding kampus. Di mana-mana sahaja ahli-ahli akademik berada, baik di pejabat kerajaan, sawah padi, rumah ibadah, pusat pelupusan sisa, sungai mahupun kilang, di situlah letaknya dunia akademia yang inklusif dan merakyat.

Selamat Hari Akademia buat seluruh ahli akademik di Malaysia.

DR. Muhammad Abd. Hadi Bunyamin ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN