‘Dik, carilah kerja yang halal’ - Utusan Malaysia

‘Dik, carilah kerja yang halal’

Awas aplikasi WhatsAps dan Telegam boleh digodam.– GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kes-kes penipuan membabitkan Macau Scam heboh kembali selepas sebahagian sindiket ini dapat dikesan dan ditahan. Saban minggu, ada sahaja orang menjadi mangsanya. Malah, kita amat bersimpati dengan mangsa yang kehilangan sejumlah wang akibat penipuan sindiket yang sebenarnya sudah lama beroperasi di negara kita. Banyak wang dalam akaun simpanan disapu kerana mudah terpengaruh dengan taktik licik sindiket ini.

Berdasarkan laporan-laporan berita sebelum ini, sindiket memperkenalkan diri mereka sebagai polis trafik, pegawai bank, staf pejabat pos atau telekom dan sebagainya.

Sindiket ini mampu mengabui mangsa. Mereka menghubungi mangsa, menyuruh memilih nombor untuk bercakap dengan pegawai, ditambah suasana ‘kesibukan’ pejabat yang diperdengarkan.

Saya sendiri pernah menerima beberapa panggilan daripada pihak ini. Salah satu panggilan, seorang ‘pegawai’ pejabat pos memberitahu, surat saya ditahan di Kota Kinabalu. Dalam surat itu pula ada beberapa dokumen seperti kad pengenalan dan buku cek. Oleh itu, saya diminta ke Kota Kinabalu untuk membuat laporan polis kerana menurut dakwaan ‘pegawai’ terbabit, barang-barang dalam surat itu menyalahi undang-undang.

Saya melayan panggilan ini walaupun ‘pegawai’ itu menyebut nama saya yang salah. Kalau betul sekali pun nama disebut, saya tidak kisah kerana sudah hampir lima tahun tidak masuk pejabat pos. Saya yang sudah faham dengan permainan sindiket ini bertanya, kenapa pejabat pos tidak meneliti dahulu barang yang dihantar dan kenapa sudah sampai di destinasi baru hendak diperiksa? Saya bergurau, jika bom, meletuplah di tengah jalan. ‘Pegawai’ itu mula tersentak dan rasa bersalah, kemudian mulalah bercakap soal prosedur. Katanya, memang prosedur pos begitu.

Saya kata prosedur itu mesti diubah. Bahaya. Takkan satu organisasi pos di Malaysia tidak boleh fikir tentang prosedur yang salah kemudian diamalkan pula sekian lama. ‘Pegawai’ itupun meletakkan telefon.

MELAYAN

Dalam soal penipuan sindiket ini, mangsa yang tidak berfikir panjang mudah terpengaruh, apatah lagi jika diberitahu kesalahan yang boleh membawa hukuman lebih berat jika tidak memberi kerjasama. Biasanya mangsa yang terpengaruh akan diminta memberi nombor akaun bank, nombor pin, maklumat peribadi dan sebagainya. Kemudian akan berlaku pemindahan wang dan mangsa mengalami kerugian.

Untuk menangani masalah ini, orang ramai dinasihati agar tidak melayan panggilan daripada individu yang tidak dikenali untuk mengelak penipuan. Jika sudah terlanjur bercakap, orang ramai mestilah memastikan mereka tidak memberi maklumat peribadi sewenang-wenangnya menerusi talian telefon. Orang ramai juga mestilah memahami, urusan mahkamah dan sebagainya dilakukan dengan cara menghantar surat rasmi menerusi kaedah pos dan bukannya panggilan telefon.

Kita juga sangat berharap media elektronik dapat memainkan peranan yang lebih efektif mendidik orang ramai untuk mengelak sebarang bentuk penipuan oleh sindiket ini. Iklan mesti dipaparkan dengan lebih kerap dan memfokuskan golongan yang sering menjadi mangsa.

Manakala pihak berkuasa mestilah melipatgandakan usaha memerangkap dalang dan anggota sindiket ini agar dapat dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman sewajarnya agar menjadi teladan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya tidak mencari rezeki dengan cara yang tidak sah.

Agak menyedihkan kerana sindiket ini turut melibatkan orang Melayu. Dalam beberapa kes yang saya terima panggilan, sempat saya menasihatkan: “Dik, carilah kerja lain. Cari kerja yang halal.”

Satu lagi yang sempat saya nasihati: “Dik, banyak kerja halal yang boleh dibuat. Kurangkan orang asing masuk ke negara kita.”

PENULIS ialah penganalisis sosial dan bekas guru.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN