BUKU teks Sejarah Tingkatan 4 ini adalah bagi penggunaan sekolah menengah yang mula dipakai pada sesi 2020. Buku ini menggunakan silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).
Ada beberapa perkara yang boleh diulas mengenai penulisan dan kandungannya. Pertama, banyak perkara cuba diketepikan dan disembunyikan dalam penghuraian sejarah politik Tanah Melayu terutama antara 1945 hingga 1948.
Bab 4, Era Peralihan Kuasa British di Negara Kita ialah bahagian penting dalam sejarah Malaysia, terutama nasionalisme dan politik orang Melayu yang diwakili UMNO. Perjuangan mereka dari 1946 hingga 1948 sangat penting kerana itulah usaha mereka yang pertama secara bersepadu dari seluruh Tanah Melayu menentang penjajahan British ke atas Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Tidak Bersekutu.
Pada keseluruhannya, penerangan mengenai kesan dan impak Malayan Union ke atas Negeri-negeri Melayu itu agak longgar. Makna politik Malayan Union tidak ditunjukkan kepada orang Melayu dan semangat patriotisme tidak jelas dipertekankan. Seolah-olah naratif yang dikemukakan ini adalah satu cara untuk menenggelamkan perjuangan tokoh dan parti UMNO yang telah bekerja kuat secara tersusun untuk menumbangkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu pada 1948.
Misalnya dalam subtopik Pentadbiran Malayan Union mengenai raja-raja Melayu dikatakan ‘Sultan menjadi Ahli Majlis Raja-raja yang hanya membincangkan soal agama Islam dan adat istiadat Melayu.’ Ayat ini sangat longgar, sepatutnya ‘Kehilangan kuasa raja-raja sebagai ketua pemerintah negeri dan keistimewaannya sebagai raja pemerintah yang berkuasa mutlak di negeri-negerinya selama ini akan hilang buat selama-lamanya.’
Semua kuasa diserahkan kepada Raja England, semua undang-undang dibuat di London dan Gabenor Malayan Union akan memegang kuasa pentadbiran Tanah Melayu, termasuk pemungutan zakat. Apabila dibincangkan seperti ini, patriotisme pelajar dan guru akan muncul.
Begitu juga subtopik Kewargenegaraan, Malayan Union tidak memasukkan konsep keterbukaan kepada semua rakyat bekas tanah jajahan takluk British di seluruh dunia yang boleh menjadi rakyat Malayan Union. Orang Melayu akan tenggelam dan inilah sebab besar bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union.
TEKANAN
Subtopik British mendapatkan tanda tangan sultan, juga tidak meyakinkan penghuraiannya. Sepatutnya tunjukkan bagaimana mereka dipujuk dengan bermacam-macam cara bagi mendapatkan tandatangan. Tekanan British ke atas sultan-sultan tidak begitu jelas. Hal ini kerana ada sultan yang secara sukarela menurunkan tandatangan, ada pembesar yang tidak banyak soal, ada sultan yang teragak-agak kerana bimbang rakyatnya akan tenggelam dengan kemasukan kerakyatan luar, ada juga sultan yang diancam akan diturunkan takhta dan ada yang menandatangani Perjanjian Malayan Union kerana mendapat takhta negeri.
Penubuhan UMNO disebut sahaja tanpa memberi makna kepada perjuangannya sebagai wakil suara orang Melayu menentang Malayan Union. UMNO yang diterima oleh raja-raja Melayu dan British untuk berunding bagi membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Peranan ini tidak dijelmakan dalam tulisan sebagai hasil Kongres Melayu 1946 tetapi hanya disebut sepintas lalu. Peranan besar UMNO menggantikan Malayan Union dengan Persekutuan Tanah Melayu melalui Perjanjian Persekutuan 1948 tidak disebut langsung. Malah Perjanjian Persekutuan 1948 dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu dipisahkan sebagai satu bab asing. Oleh itu, peranan UMNO dengan Persekutuan Tanah Melayu tidak kelihatan langsung. Inilah cara halus kepentingan UMNO itu ditiadakan dalam naratif sejarah Malaysia.
KOMUNISME
Penubuhan UMNO hanya diletakkan di bawah ayat terakhir subtopik Mengadakan Kongres Melayu. Tidak ada huraian tentang objektif penubuhan UMNO, tokoh-tokoh yang mendukungnya dan identiti Perlembangan UMNO itu sendiri. Tidak seperti asal komunisme dan perkembangannya diutarakan dalam Bab 6.
Peranan UMNO ini telah dicairkan dengan tajuk Bantahan Rakyat Terhadap Malayan Union. Sedangkan penentangan UMNO terhadap Malayan Union adalah satu penyatuan orang Melayu secara besar-besaran menentang penjajahan British yang dilakukan melalui Malayan Union. British telah mencabut dasar perlindungan (protected states) Negeri-Negeri Melayu yang diamalkan sejak 1874 sehingga 1941.
Penentangan UMNO dan orang Melayu kepada Malayan Union adalah kemuncak nasionalisme Melayu dalam sejarah kebangsaannya. Semua negeri Melayu dari utara hingga ke Johor telah membuang semangat kenegerian mereka untuk berkongres pada 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Kerjasama raja-raja Melayu, UMNO dan orang Melayu dalam menentang Malayan Union telah melahirkan Perjanjian Persekutuan 1948 (bagi menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu). Inilah bagi kali pertama, Perjanjian Raja-Raja Melayu dan British serta UMNO dalam menentukan prinsip, dasar dan struktur pemerintahan dan pentadbiran negara bangsa Persekutuan Tanah Melayu yang dibawa kepada Malaysia sehingga ke hari ini.
Hal ini melalui pengembalian takhta, kuasa, jurisdiksi, keistimewaan dan kedaulatan raja-raja di setiap negeri dipulangkan semula seperti sebelum 1941. Setiap negeri beraja mendapat Perjanjian Negeri 1948 – satu perjanjian bertulis bagi kali pertama kecuali Johor dan Terengganu yang telah mempunyai Undang-undang Tubuh Negeri sebelum ini. Konsep Raja Berperlembagaan diwujudkan mengganti sistem raja mutlak. Bahasa Melayu, tulisan Jawi dan Islam menjadi agama negeri-negeri Melayu.
UMNO menjadi wakil politik Persekutuan Tanah Melayu, membentuk Parti Perikatan pada 1955 dan menang 51 daripada 52 kerusi Pilihan Raya Majlis Mesyuarat Perundangan 1955 sehingga membentuk kerajaan peralihan (kerajaan sendiri – self-government) dan menuntut kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan membentuk Malaysia pada 1963. Dengan itu, UMNO sebagai parti Melayu yang dominan dapat menentukan hala tuju politik orang Melayu di Persekutuan Tanah Melayu dan Malaysia sehingga hari ini.
Peranan dan sumbangannya sangat besar untuk dilupakan dan diperkecilkan dalam sejarah tanah air dengan mengenepikan nama UMNO sebagai ketua kerajaan Parti Perikatan dan Barisan Nasional (BN). Hal ini adalah satu fakta sejarah yang tidak patut hilang atau dipinggirkan dalam sejarah negara. Hal ini jelas terlihat dalam Bab 4,5,8 dan 9 buku teks ini.
Kedua, terdapat penekanan yang salah tentang naratif sejarah Malaysia dalam buku teks ini. Dengan tidak memberi penekanan kepada peranan UMNO, sebaliknya hal yang sangat jelas diutarakan oleh Bab 4 buku teks ini ialah menonjolkan peranan golongan radikal dalam episod Malayan Union dan Persekutuan Tanah Melayu dari 1946 hingga 1948.
TERPERINCI
Cerita mengenai golongan ini sengaja dipisahkan daripada penentangan orang Melayu terhadap Malayan Union dalam Bab 4 tetapi dimasukkan dalam Bab 5. Penerangan mengenai mereka sangat luas dan terperinci, iaitu empat muka surat dengan gambar tokoh-tokoh dan peristiwa-peristiwa yang berkaitan dengannya.
Mereka diletakkan di bawah tajuk Gerakan Nasionalis Melayu Radikal, Gabungan PUTERA-AMCJA, Sumbangan Nasionalis Melayu Radikal, Perlembagaan Rakyat dan Hartal.
Dalam Sumbangan Nasionalis Melayu Radikal itu dimasukkan cawangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) di beberapa negeri dan keahliannya. Hal ini tidak ditunjukkan kepada UMNO yang mempunyai sokongan setiap negeri dan 41 pertubuhan hingga berjaya menumbangkan Malayan Union.
Penceritaan PKMM juga tidak menunjukkan dua perkara penting, iaitu PKMM ditubuhkan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) di Ipoh seperti pengakuan Ketua Angkatan Pemuda Insaf (API), Ahmad Boestamam dan perisikan British.
Keduanya, perjuangan PKMM adalah untuk Melayu-Indonesia Raya. Sebab itu tokoh-tokoh politik yang sama kemudian menentang penubuhan Malaysia pada 1963 dan PKM terlibat dalam peristiwa 13 Mei 1969. Oleh itu, pengagungan kepada golongan ini tidak bertepatan dengan sejarah yang mempunyai dokumen jelas.
Malah, mereka gagal memberi sumbangan bermakna kerana Perlembagaan Rakyat telah ditolak sehingga PKM mengangkat senjata menentang British dan raja-raja Melayu. Sepatutnya perjuangan UMNO disebut sebagai nasionalis Melayu kerana menegakkan semula kedudukan dan kuasa politik dan pentadbiran raja-raja Melayu, rakyat dan agama Islam.
Ketiga, penghuraian sokongan imigran dan parti politik dari Singapura dan PKM tidak disebut sebagai satu fakta dari segi sejarah. Ini adalah fakta penting dan tidak boleh disembunyikan.
Mereka menyokong Malayan Union yang menjajah Tanah Melayu dan membuang kuasa raja yang dianggapnya sebuah feudalisme.
Tun Tan Cheng Lock (Pengasas MCA) sejak 1927 mempunyai cita-cita untuk mendapatkan kerakyatan bagi golongan imigran dan melahirkan Malaya yang progresif. Beliau dan persatuannya, Overseas Chinese Association (OCI) telah menghantar memorandum kepada British dalam merancang politik dan pentadbiran Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.
Memorandum itu mencadangkan sebuah kerajaan Malaya yang tidak lagi dipegang oleh raja-raja Melayu dan orang Melayu bukan lagi rakyat raja. Bukti sejarah cukup jelas dalam perkara ini.
Oleh itu, apabila British mula berunding dengan raja-raja Melayu dan UMNO, kegusarannya Tanah Melayu akan kembali keadaannya seperti sebelum Perang Dunia Kedua adalah sangat nyata.
Beliau dengan kerjasama parti dan persatuan Singapura telah menyokong Malayan Union dan Singapura disatukan semula dengan Malaya dan satu kerakyatan terbuka jus soli diadakan.
Hal ini juga didukung oleh PKM dan menubuhkan PKMM. Hal ini adalah agenda imigran, PKM dan bukan Melayu antara 1946 hingga 1948 yang disokong oleh golongan radikal Melayu, sehingga mereka melahirkan Perlembagaan Rakyat 1947. Pada 1948, PKM mengangkat senjata menentang Perjanjian Persekutuan 1948, British, raja-raja Melayu dan UMNO.
Keempat, pengagungan kepada PKM dalam Bab 7 adalah sangat menonjol. Walaupun tajuk bab ini ialah Ancaman Komunis dan Pengistiharan Darurat, namun huraian mengenai PKM dan gerakannya mengangkat senjata menentang British, raja-raja Melayu dan rakyat Persekutuan Tanah Melayu diceritakan dengan terperinci, mengatasi kepentingan pihak berkuasa menentang PKM.
Berbeza dengan UMNO, penghuraian tentang kedatangan dan penubuhan PKM ke Tanah Melayu telah diperincikan di dua muka surat. Dikaitkan juga bagaimana PKM bekerjasama dengan kesatuan sekerja dan parti-parti politik radikal Melayu. Tetapi perjanjian British dan PKM untuk menentang Jepun dalam Perang Dunia Kedua tidak dimasukkan.
Malah, senarai serangan PKM dimuatkan pada muka surat 151 sebagai satu maklumat penting bab ini. Adakah ini untuk menunjukkan kehebatan PKM mengalahkan pasukan keselamatan negara? Tidakkah ini menunjukkan kelemahan pasukan keselamatan Persekutuan Tanah Melayu menentang PKM?
Mengapa tidak dimasukkan pula kejayaan pasukan keselamatan seperti angkatan tentera, askar Melayu, polis, komando dan tentera Komanwel memburu dan menghancurkan serangan-serangan PKM dari 1948 hingga 1960 sehingga PKM lari ke sempadan negara?
KEHEBATAN PKM
Memang ada penceritaan tentang pembesaran pasukan keselamatan tetapi kejayaan perjuangan dan serangan mereka ke atas komunis tidak disebut. Para pelajar dan guru akan berfikir tentang kelemahan pasukan keselamatan Persekutuan Tanah Melayu kerana tidak ada maklumat tentang hal itu. Tidakkah ini boleh dilihat sebagai gambaran mengutamakan kehebatan PKM daripada pasukan keselamatan yang menentang mereka?
Selaras dengan keutamaan yang diberikan kepada golongan radikal yang dikatakan ‘nasionalis’ (muka surat 128 hingga129), sedangkan UMNO disebut sekali lalu (muka surat 105), maka penekanan kepada 11 serangan PKM di Johor, Pahang, Kelantan, Selangor, Perak dan Kedah (muka surat 151) adalah satu penyempurnaan kepada kekuatan PKM menentang pasukan keselamatan.
Hal ini dilihat sebagai satu antipatriotisme kepada guru dan para pelajar kerana mengagungkan PKM. Adakah naratif ini satu propaganda halus untuk mengakui perjuangan PKM sebagai pejuang kemerdekaan negara seperti dakwaan sesetengah pihak? Atau ini satu cara penulisan semula sejarah seperti kritikan mereka beberapa tahun lepas semasa BN dan UMNO menjadi kerajaan?
Adalah diingatkan, buku ini akan digunakan bagi tempoh lima tahun ke atas. Dengan itu, ia akan memberi kesan kepada pemikiran dan pengetahuan pelajar dan guru pada setiap tahun persekolahan. Adalah lebih baik buku ini diperhalusi semula bagi memberi gambaran dan naratif sebenar sejarah negara.
Janganlah sampai yang penting diketepikan dan ditiadakan, tetapi yang tidak penting dan menjadi pengkhianat negara digambarkan sebagai wira bangsa.
PROFESOR Datuk Dr. Ramlah Adam ialah pakar sejarah.










