Bila ‘pesta’ air nak selesai? - Utusan Malaysia

Bila ‘pesta’ air nak selesai?

Penduduk sekitar Keramat beratur untuk mendapatkan bekalan air daripada pili yang disediakan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) selepas LRA terpaksa dihentikan operasi, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEBUT sahaja Selangor, teringat gangguan bekalan air melibatkan kira-kira dua juta pemegang akaun di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.

Itu bukan pertama kali berlaku. Sejak Jun 2019 sehingga September lalu, sebanyak sembilan insiden pencemaran direkodkan sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas. Antara puncanya, pembuangan sisa proses kilang minyak masak, premis tidak menguruskan pelarut minyak enjin terpakai dengan baik, aktiviti pengilangan besi, kolam ikan keli haram dan terbaru, kilang penyelenggaraan jentera.

Bukan itu sahaja, pada 4 Oktober lalu, 309,687 akaun pengguna melibatkan 274 kawasan mengalami gangguan bekalan air berikutan aktiviti pembersihan sebuah ladang angsa yang terletak di Sungai Pajam, Negeri Sembilan sehingga henti tugas LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi.

Rata-rata pengguna mengeluh dan ada peniaga terpaksa mengeluarkan belanja tinggi berikutan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Kerajaan negeri Selangor seharusnya sudah boleh bertindak lebih agresif dan tidak lagi sekadar mengesan pelaku-pelaku yang bertanggungjawab. Sebaliknya, bertindaklah dengan merobohkan rumah atau kilang haram berhampiran tebing sungai yang berpotensi melakukan pencemaran.

Mungkin ini dilihat tindakan drastik dan seakan-akan ‘kejam’, tetapi sampai bila rakyat perlu ‘berpesta’ untuk beratur mengambil air?

Sehingga kini, tiada makluman daripada kerajaan negeri tentang kilang haram yang dirobohkan walaupun Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pernah menitahkan perkara tersebut dan menzahirkan rasa dukacita berhubung masalah gangguan bekalan air menerusi surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Sudah tiba masanya juga kerajaan negeri menyegerakan penggunaan meter khas bagi mengetahui jumlah pembuangan sisa-sisa kumbahan yang boleh menjejaskan alam sekitar seperti dicadangkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Kaedah baharu ini akan memudahkan pengesanan pihak yang terlibat dalam mencemarkan sungai selain boleh mengetahui kuantiti pembuangan sisa dan setiap jumlah yang dilepaskan perlu dibayar oleh pemilik kilang.

Bak kata lirik lagu, Sudah Cukup Sudah yang dinyanyikan Nirwana Band – ‘Sudah cukup, cukup sudah, cukup sampai di sini saja.’ Rakyat sudah muak dengan gangguan bekalan air apatah lagi pihak tidak bertanggungjawab bebas melakukannya dengan beroperasi sewenang-wenangnya walaupun tiada lesen.

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Selangor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN