Betulkah gelang boleh cegah Covid-19? - Utusan Malaysia

Betulkah gelang boleh cegah Covid-19?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA Julai lalu, seorang ejen jualan langsung dikompaun RM50,000 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna selepas didapati membuat penyataan mengelirukan dengan mempromosikan gelang yang didakwa mampu mencegah pandemik Covid-19 di laman Facebook miliknya.

Penjualan gelang tangan yang berharga RM580 bukanlah baharu kerana ia adalah produk yang telah lama dijual oleh sebuah syarikat jualan langsung terkenal tempatan, cuma kesilapan wanita terbabit adalah membuat dakwaan keterlaluan.

Gelang berkenaan yang turut dijual menerusi laman jual beli dalam talian, Lazada didakwa menggunakan teknologi memasuk, menyimpan dan menghantar biomaklumat spesifik (BIQM) bagi meningkatkan daya tahan badan melawan penyakit.

Apa sahaja nama yang digunakan sama ada BIQM atau zero point module (ZPM) yang dipopularkan dalam siri televisyen fiksyen sains Stargate SG-1, kebanyakan dakwaan itu sebenarnya berasaskan kepada satu teori lama oleh ahli matematik Scotland, James Clerk Maxwell (1831−1879).

Beliau mendakwa wujud gelombang skalar yang sama sekali berbeza berbanding gelombang elektromagnetik yang menjadi nadi menggerakkan teknologi moden pada masa sekarang seperti radio, televisyen, telefon bimbit dan kemudahan jalur lebar tanpa wayar (wifi).

CIA

Skalar adalah gelombang longitudinal (bergerak dengan cara merapat dan meregang) berbanding gelombang elektromagnetik yang berbentuk transverse iaitu gerakan secara beralun naik dan turun.

Gelombang skalar yang tidak memerlukan medium seperti wayar untuk bergerak adalah kaedah komunikasi yang digunakan sel-sel dalam tubuh kita. Sebab itu dalam badan kita tiada wayar berselirat seperti yang memenuhi ruang kosong dalam badan robot.

Penemu arus elektrik ulang-alik (AC), Nikola Tesla (1856-1943) adalah antara ahli sains yang berjaya membuktikan gelombang skalar boleh digunakan untuk pelbagai manfaat termasuk penghantaran tenaga elektrik tanpa wayar dan sumber tenaga paling bersih bagi menggerakkan kereta.

Tidak seperti AC yang digunakan secara meluas bagi menggerakkan semua perkakas elektrik dalam rumah kita, kajian ahli sains yang dilahirkan di Smiljan, Croatia itu mengenai teknologi skalar kurang diberi perhatian oleh pembiaya kajian beliau iaitu jutawan Amerika Syarikat (AS), J.P. Morgan kerana ia tidak boleh diletak meter seperti elektrik untuk mengaut keuntungan.

Minat terhadap teknologi ini muncul kembali setelah Agensi Perisikan Pusat (CIA) AS pada 2001 mendedahkan satu dokumen miliknya yang menyebut kajian Tesla mengenai gelombang skalar boleh digunakan bagi mencipta alat komunikasi termoden untuk kegunaan kapal selam dalam laut.

Dokumen CIA itu boleh diakses melalui laman web www.cia.gov/library/readingroom/document/cia-rdp96-00792r000500240001-6 yang didedahkan kepada awam sejajar dengan perintah Akta Kebebasan Maklumat (FOIA) 1966.

SYARIKAT

Susulan pendedahan CIA itu, ramai ahli sains giat menjalankan kajian mengenai gelombang skalar. Antara yang terkehadapan ialah pakar dalam bidang elektrik dari University of New Mexico, AS, Dr. Bahman Zohuri.

Buku yang ditulis beliau bertajuk Scalar Wave Driven Energy Applications turut disimpan di perpustakaan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Pada masa sekarang, banyak syarikat Malaysia yang mula berjinak-jinak menghasilkan produk seperti alat penapis udara, rantai dan gelang berasaskan teknologi gelombang skalar yang kebanyakan menjurus kepada bidang perubatan.

Dakwaan mereka ini memang sukar dipercayai dan boleh dianggap sebagai pseudosains (sains palsu) selagi mana ahli sains tidak bersungguh-sungguh mengkaji bagaimana gelombang terbabit berfungsi.

Jika kita semua boleh bersatu hati untuk melawan pandemik Covid-19, apa salahnya semua orang bekerjasama merungkai misteri gelombang skalar yang diramal menjadi penggerak utama teknologi masa depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN