Belayar jauh demi bahasa Melayu - Utusan Malaysia

Belayar jauh demi bahasa Melayu

Vladivostok merupakan bandar raya kembar dengan Kota Kinabalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hubungan Malaysia dan Rusia bukan sahaja tertumpu dalam bidang sains dan teknologi, bahkan mencakupi semua aspek. Apatah lagi hubungan yang terjalin ini sebenarnya telah bermula lebih lama. Sebagai contoh pada abad ke-19, ramai sarjana Rusia berminat mengkaji dan mempelajari bahasa Melayu seperti Yevgeny Dmitrievich Polivanov (1891-1938) yang berasal dari Moscow.

Beliau merupakan seorang ahli bahasa dan orientalis Rusia. Polivanov dikatakan orang Rusia pertama yang menjalankan kajian terhadap tatabahasa Melayu. Beliau telah menulis lebih daripada 100 artikel dan salah sebuah penulisannya bertajuk Persamaan Bahasa Jepun dan Bahasa Melayu.

Bukan itu sahaja, tahukah anda, Miklouho-Maclay Nikolai Nikolaevich (1846-1888) dikatakan sebagai warga Empayar Rusia pertama menjejakkan kaki ke Tanah Melayu?

Penjelajah dan saintis Rusia ini dikatakan datang ke Tanah Melayu antara November 1874 dan Oktober 1875. Miklouho-Maclay menghabiskan masa selama 165 hari menjelajah Tanah Melayu dan mempelajari bahasa Melayu serta menulis beberapa catatan dalam diari beliau menggunakan bahasa Melayu.

PATUNG

Pada 2017, Kedutaan Besar Persekutuan Rusia di Malaysia menghadiahkan patung ukiran wajah Miklouha-Maclay kepada kerajaan Malaysia sempena ulang tahun ke-50 hubungan Malaysia dan Rusia. Patung tersebut diletakkan di BalaI Seni Visual Negara.

Miklouha-Maclay pernah menulis beberapa karya tentang Tanah Melayu dalam bahasa Rusia. Antaranya, Lawatan Pertama di Semenanjung Tanah Melayu (22 November 1874-31 Januari 1875),

Lawatan Kedua di Semenanjung Tanah Melayu dan Dari Ulu Pahang ke Ulu Kelantan.

Para pembaca mungkin berasa agak terkejut dengan pendedahan yang sebenarnya masih sedikit ini kerana secara realitinya, ia tidak pernah diceritakan dalam mana-mana buku sejarah atau paling tidak dibincangkan oleh para sejarawan dan intelektual kita. Lebih terkesan lagi apabila kita baru sedar yang orang Rusia sebenarnya sangat meminati dan menghargai budaya dan bahasa Melayu.

Salah satu fungsi dan objektif Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (RCSC) di Kuala Lumpur ialah mengkaji dan mengongsikan fakta-fakta sejarah yang tidak pernah diketahui atau jarang disebut.

Ia sesuai dengan misi Pengarah RCSC Malaysia yang baharu, Svetlana Kovaleva supaya rakyat kedua-dua negara dapat saling mengenali dan menghayati serta memelihara hubungan baik yang telah terjalin sekian lama.

Dari sudut lain pula, pengaruh Rusia turut terdapat dalam alat permainan yang pernah kita bermain sewaktu kecil seperti permainan video, Tetris yang sebenarnya dicipta pada 1984 oleh Alexey Pajitnov, iaitu seorang pereka alat permainan video yang berasal dari Rusia.

GRAFIK

Pada mulanya, Tetris dimainkan menggunakan sebuah komputer kecil, Elektronika 60 yang dicipta oleh Kesatuan Soviet. Yang lebih menarik, pada waktu itu, permainan Tetris tidak menggunakan grafik. Sebaliknya bongkah-bongkah tersebut dibina menerusi teks!

Cuba lihat di antara kartun yang pernah menjadi kegilaan anak-anak kita dahulu seperti Masha and the Bear. Tahukah bahawa kartun ini sebenarnya dari Rusia? Kartun ini juga dikatakan paling banyak ditonton di seluruh dunia. Ia dicipta oleh Oleg Kuzovkov dan episod pertama ditayangkan pada 2009. Siri animasi ini ditayangkan di lebih 130 negara di seluruh dunia dan diterjemah ke dalam 25 bahasa! Salah satu episodnya menerima lebih daripada 4.25 billion penonton!

Selain antara negara, hubungan dari skop lebih kecil seperti negeri dan bandar juga terjalin. Contohnya, Vladivostok dan Kota Kinabalu diisytihar sebagai Bandaraya Kembar pada 2010. Majlis menandatangani peristiwa bersejarah tersebut dilaksanakan oleh bekas Datuk Bandar Vladivostok, Igor Pushkaryov dan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Iliyas Ibrahim (2005-2010).

Sekiranya mengunjungi Vladivostok, jangan lupa melawat Taman Bandaraya Kembar di sana kerana anda akan melihat sebuah papan tanda yang tertulis dengan jelas nama Kota Kinabalu! Begitu banyak sekali fakta-fakta sejarah hubungan Malaysia dan Rusia yang masih belum diterokai atau diperhalusi.

CENDEKIAWAN

Oleh itu, kami menyeru supaya lebih ramai para cendekiawan Malaysia dan Rusia bersatu dan bekerjasama untuk menjalankan kajian secara lebih terperinci serta berusaha untuk menerangkannya kepada anak-anak muda. Ini supaya Malaysia dan Rusia dilihat lebih daripada sekadar hubungan ekonomi semata-mata.

Sejarah membuktikan kedua-dua negara ini sudah bersahabat lebih lama. Mungkin ini saatnya juga buat warga Malaysia untuk melihat Rusia dari sisi lebih positif?

PENULIS ialah Pegawai Perhubungan Awam, Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia (RCSC) di Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN