Waspada tragedi Islam Timur Tengah - Utusan Malaysia

Waspada tragedi Islam Timur Tengah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

KAMI kena akur juga, bekas Menteri Pertahanan, MOHAMAD SABU popular orangnya. Mana tidaknya, lebih tiga kali topik perbualan kami dengan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu yang dilangsungkan di lobi sebuah hotel di Petaling Jaya minggu lepas ‘dikacau’ oleh para ‘peminatnya’.

Peminat Ahli Parlimen Kota Raja itu adalah pengunjung hotel sendiri, antaranya beberapa keluarga Cina dan India selain pelancong dari Jakarta. Walaupun memakai pelitup muka, wajah bekas menteri yang lebih mesra disapa Mat Sabu masih dapat dicam sehinggakan kami jadi jurufoto untuk mereka bergambar.

“Itulah, saya nak pergi ke tandas tadi pun, dipanggil untuk bergambar pula,” katanya sambil ketawa.

Tampil memakai baju-T berwarna oren dan kot hitam, Mohamad menjawab macam-macam soalan, termasuklah masa depan Amanah dalam politik tanah air. Ikuti sedutan temubual beliau bersama wartawan ZULKIFLI JALIL, ASLINDA NASIR dan jurugambar FAUZI BAHARUDIN.

 

TAK REDA

UTUSAN: Dengan runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada 24 Februari lalu, ramai pelopornya seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga beralih arah. Bagaimana Yang Berhormat (YB) melihat kedudukan Amanah dalam PH?

MOHAMAD: Saya masih tak reda. Bagi saya, demokrasi perlu dihormati. Kita kalah dalam pilihan raya adalah perkara biasa. Saya sendiri bertanding sembilan kali, lima kali kalah empat kali menang dan setiap tahun, kita masuk pilihan raya dan kita rasa boleh ambil alih Malaysia, tapi tak boleh.

Kita tunggu 1999, kita berasa isu membabitkan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, kita boleh ambil kerajaan, tapi tak boleh lagi. Sampai 2008, tak boleh lagi. 2013 pun sama. Hanya 2018 kita berjaya ambil alih kerajaan. Dan bila kita ambil kerajaan, setiap pemerintah ada kehebatan dan kelemahan. Kita tengok pilihan raya kecil selepas itu, banyak kerusi Barisan Nasional (BN) menang. Antaranya Cameron Highlands, Tanjung Piai dan Kimanis. Kenapa mereka tidak fokus supaya mereka dipilih oleh rakyat pada pilihan raya akan datang?

Jadi, bila ambil di tengah jalan dengan cara tidak demokrasi ini, saya tak terima dan saya tak reda sebab sistem demokrasi telah rosak. Maksudnya, kalau siapa menang pun belum tentu mereka kekal jadi kerajaan atau tidak. Jadi, ini peristiwa buruk dalam sejarah negara.

Baru-baru ini, YB mengatakan PH tidak berpeluang kembali menjadi kerajaan. YB kecewa dan putus asa?
Kalau mereka kuat dan bersatu, kenapa mereka tak ambil alih kerajaan pada pilihan raya umum akan datang? Manifesto yang kita buat selama 22 bulan itu pun boleh dilihat hasilnya selepas itu.

Saya yakin kalau kami terus memerintah, rakyat akan teruskan momentum PH. Contohnya tol, baru kita umumkan penurunan 18 peratus, Tabung Haji sudah ada penyelesaian dan diakui menteri sekarang pun. Khazanah ada keuntungan lebih besar.

Ertinya, mana kita nak tahu pada masa itu kita nak jatuh selepas 22 bulan? Itu yang saya kata kita boleh capai kemenangan bila tunjukkan hasil kerja sepanjang lima tahun.

Apa perasaan YB bila Dr. Mahathir meletak jawatan sebelum Perikatan Nasional (PN) ambil alih?
Perdana Menteri letak jawatan perkara biasa dalam politik terutama di Barat. Yang salahnya adalah orang dia lari, (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) bawa lari orang dia lebih 20 orang dan Mohamed Azmin bawa lari 10 orang. Ia menyebabkan hilang pemerintahan itu. Sebab itu bila Perdana Menteri letak jawatan, parti yang majoriti itu perlu berbincang, Contohnya, Perdana Menteri Jepun letak jawatan, parti yang menang akan bincang siapa ganti, Begitu juga yang berlaku di United Kingdom. Jadi, bila Dr. Mahathir letak jawatan, patutnya PH kena bermesyuarat. Tak selesai dua, tiga hari, seminggu pun tak apa. Sampailah kepada siapa ganti Tun (Dr. Mahathir) atau nak pilih Tun semula kah, tak apa. Asalkan parti yang menang itu terus memerintah sehingga pilihan raya.

RUU 355 NYAWA PAS?

Orang di luar sana tidak yakin Amanah mampu menggantikan Pas, kalau mampu, mengapa ujian pertama berhubung cadangan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 pada 2017 tidak disokong oleh Amanah?
RUU itu nyawa Pas. Dulu mereka buat demonstrasi, sekarang mereka kata hanya buat bising.

Kita Amanah pada waktu itu telah kemukakan beberapa pindaan dalam Parlimen ke arah pelaksanaan syariah yang lebih baik. Dan sekarang Selangor dan Pulau Pinang antara yang terbaik dari segi pelaksanaan syariah. Jadi kita nampak isu-isu seperti lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), RUU 355 sengaja dimainkan. Dan sekarang kita tak dengar lagi mereka nak buat demonstrasi tentang perkara itu.

Waktu itu Khalid Samad yang ketika ini Pengarah Komunikasi Amanah lebih dominan dalam menentang RUU 355. Mengapa seakan-akan tidak ada kawalan terhadapnya?
Untuk menjawab satu isu pun saya jarang. Style masing-masingkan? Cuma saya membawa gagasan. Contohnya sekarang, bagi saya Amanah yang letakkan Islam rahmatan lil alamin itu cukup penting sebab kita lihat apa yang berlaku di Timur Tengah, Afghanistan, Pakistan. Di sana negara umat Islam hancur, sehingga timbul fahaman takfiri iaitu kafirkan orang lain, halalnya darah mereka.

Ini memang kuasa dunia untuk menyokong puak yang terlibat dalam program takfiri. Sekarang kita boleh lihat kehancuran di Iraq, Libya, Syria, Yemen, Afghanistan. Indonesia juga sedang berkembang ke arah itu, yang kita memang tidak boleh contohi.

Kita kena cara kita, budaya kita. Amanah sekarang orang lihat kecil, tak apa. Tetapi ahli kami sudah menjangkau akhir tahun ini 200,000 orang. Saya rasa itu perkembangan yang baik dalam usia lima tahun. Dan usaha ini dilihat secara menyeluruh dan perlu ada dalam pembaharuan gerakan Islam.

Dengan kebanyakan pemimpin Amanah dikatakan kelihatan moderat, tidak ekstrem, alangkah bagusnya semua berada dalam Pas, boleh check and balance?
Kami tak lihat acuan yang dibawa Pas itu teguh kerana ia sering berubah-ubah. Contohnya, bekerjasama dengan Semangat 46 yang semasa itu saya terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda, tak apalah. Kemudian kerjasama dengan PKR. Dibincang soal hukum dan nas dengan begitu lama, akhirnya bekerjasama dengan PKR.

Nak pula kerjasama dengan DAP, pun ambil masa panjang. Perbincangan itu sampai Karpal Singh datang ke pejabat Pas. Tapi bila berpisah, kenapa perlu berpisah dan tak ada perbincangan yang panjang? Tiba-tiba bercerai dengan DAP. Kerana apa? Sebab ada unsur Melayu Islam dipermainkan? Kemudian bercerai pula dengan PKR.

Masa berlawan dengan UMNO, kononnya berlawan atas hukum. Kami dilatih bahawa perjuangan Pas itu akidah, sehinggalah berlaku persitiwa Memali. Tapi kita tak tahu Pas bersama UMNO sampai minggu depan atau tahun depan. Sebab Pas boleh ‘bercerai’ bila-bila sahaja.

Jadi, kita nampak pegangan Pas ini sudah tidak menentu. Tapi dalam Amanah, kami tiada sikap sebegitu dan saya rasa tidak ada kualiti untuk nak menjadi seseorang yang bila dia buka mulut sahaja, semua orang ikut. Dia mesti melalui musyawarah dan saya sendiri tidak sekuat pemimpin yang diagungkan seperti Pas.

SERTAI SEMULA PAS?

Tidak terfikir untuk kembali bersama Pas semula?
Itu saya perlu lihat perkembangan-perkembangan sebab dalam politik, kita tak boleh kata no (tidak) sebab sentiasa berlaku perubahan. Pada saya, seluruh umat Islam kena buat perubahan ataupun reform sebab dunia Islam sedang hancur. Sekarang ini dengan kita lihat Israel semakin kuat semakin kukuh, ekonomi hancur. Wang trilion hanya digunakan untuk membeli senjata dan membunuh orang Islam.

Ini kesilapan besar abad ini dan saya yakin lepas berlaku kehancuran ini, umat Islam akan naik semula.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN