Oleh Teo Kok Seong
Setiap kali timbul perbahasan tentang sekolah vernakular dalam konteks penyatuan negara, dua pihak yang terlibat dalam pertikaiannya selalu membangkitkan persoalan sama yang dihujah secara bertentangan. Persoalannya ialah sekolah vernakular adalah penghalang kepada perpaduan dan lepasannya tidak memiliki sentimen nasional yang positif.
Bagi kelompok yang mempertahankan kewujudan sekolah vernakular, mereka berhujah dengan agresif bahawa ia bukanlah faktor utama yang menyebabkan perpaduan negara tidak utuh.
Mereka berbahas, sekolah vernakular bukan satu-satunya faktor kerana terdapat banyak lagi yang dianggap jauh lebih mudarat sifatnya.
Bagi kelompok yang menyokong khususnya kaum Cina, mereka berhujah dengan penuh emosi bahawa pengetahuan bahasa Mandarin tidak akan sesekali menjadikan lepasan sekolah vernakular tidak nasional. Ini kerana lepasan sekolah vernakular Cina ikut mempelajari dua bahasa lain, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Bagi mereka, pengetahuan tiga bahasa ini adalah kelebihan bukan sahaja kepada pelajar. Ia juga dianggap baik untuk negara kerana selari dengan aspirasi sistem pendidikan kita untuk pelajar bersifat dwibahasa. Tidak dapat dinafikan tentang kebaikan yang dinyatakan itu yang hanya wujud secara teori semata-mata. Ini kerana pada hakikatnya, lepasan sekolah vernakular rata-ratanya hanya cekap dalam bahasa ibunda mereka walaupun diajar dua bahasa lain.
PEKERJA ASING
Pengetahuan dalam bahasa ibunda sahaja inilah yang merupakan persoalan utama yang dipertikai oleh kelompok yang menentang kewujudan terus sekolah vernakular. Bagi mereka ini, tidak mengetahui bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara adalah satu kesalahan yang sama sekali tidak boleh dimaafkan. Ini kerana status kerakyatan ikut terletak pada pengetahuan yang baik terhadap bahasa negara. Dalam keadaan begini yang memperlihatkan ada lagi rakyat Malaysia dan bilangannya besar pula yang tidak cekap berbahasa Melayu, apatah lagi yang tidak boleh berbahasa Melayu langsung, kelompok yang menentang ini mempersoalkan erti kerakyatan yang dipegang. Ia dibandingkan dengan pekerja asing yang baharu sahaja berada di negara ini tetapi sudah boleh berbahasa Melayu.
Inilah sebenarnya masalahnya di sekolah vernakular. Oleh itu, ia perlu diatasi dengan meningkatkan kecekapan berbahasa Melayu agar menjadi baik. Ini penting untuk mendukung identiti nasional selain berkomunikasi secara lebih berkesan dalam konteks bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.
CAUVINIS
Namun ia sukar diatasi dengan adanya sikap menentang yang kuat lagi cauvinis daripada kaum Cina. Mereka menentang cadangan penambahan waktu pendidikan bahasa Melayu di tahun empat, lima dan enam. Cadangan untuk meningkatkan sukatan mata pelajaran bahasa Melayu di sekolah vernakular juga ditentang.
Dua cadangan asal ini yang sememangnya mempunyai tujuan pendidikan semata-mata dan murni pula hasratnya ditolak dengan emosi curiga. Ia didakwa sebagai langkah untuk menghilangkan identiti sekolah vernakular, ikut dipersetujui kaum India untuk menolak dua cadangan mulia itu.
Untuk terus melindungi identiti sekolah vernakular daripada terhakis lalu hilang, mereka mendesak agar mata pelajaran bahasa Melayu diajar oleh guru Cina yang boleh berbahasa Mandarin dan penguasaannya baik pula. Dengan itu, bahasa Melayu diajar melalui kaedah terjemahan yang hanya digunapakai untuk mengajarnya sebagai bahasa asing, yakni kepada bukan rakyat Malaysia. Akan tetapi, ia merupakan kaedah untuk mengajar bahasa negara kepada rakyat sendiri. Ia bukan sahaja salah, ia hina sekali! Ini kerana warganegara mempelajari bahasa negara sebagai orang asing, dengan perlu diterjemahkan sedangkan ia berkumandang dan terpapar di segenap pelosok Malaysia!
NASIONALISTIK
Ini menjurus kepada perkara kedua, iaitu lepasan sekolah vernakular tidak nasionalistik. Untuk ini, kelompok yang menyokong berhujah bahawa ketidakcekapan dalam bahasa Melayu tidak patut dikira sebagai pemilikan dan pameran sentimen nasional yang negatif. Sebenarnya mereka ini tidak konsisten selain bersangka buruk secara selektif. Ini kerana mereka mengutuk segelintir kaum Cina yang tidak bersekolah vernakular, lalu tidak mengetahui bahasa Mandarin sebagai tiada identiti Cina.
Justeru secara perbandingan, kaum Cina yang tiada kecekapan berbahasa Melayu adalah warganegara yang tiada identiti Malaysia! Sebenarnya tidak dapat dinafikan, sekolah vernakular adalah antara faktor penyumbang kepada masalah perpaduan yang kita hadapi. Ini dapat dilihat dengan jelas kepada keengganan kaum Cina misalnya, untuk memperbetul keadaan dengan memberi keutamaan kepada pengetahuan bahasa Melayu. Keengganan mereka untuk mengidentifikasikan diri dengan bahasa Melayu pada kadar yang hanya lebih sedikit di sekolah vernakular, sungguhpun untuk kepentingan negara dalam konteks identiti nasional dan wadah perpaduan, bukan sahaja akan terus meleretkan masalah, ia akan membawa negara ini ke kancah lacur lagi geruh!
PROFESOR Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo di Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Profesor Negara.










