Khabar mendukacitakan. Difahamkan sebahagian daripada 64 kios buku yang didirikan sempena Kuala Lumpur Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020 di sekitar Kuala Lumpur menjadi mangsa vandal. Banyak gambar bertebaran di media sosial menunjukkan kios dipecahkan cerminnya dan buku hilang.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai tuan rumah acara antarabangsa itu mengeluarkan belanja yang besar untuk mendirikannya di tempat-tempat tumpuan di Kuala Lumpur. Kios ini dimuatkan pelbagai jenis buku untuk dibaca secara percuma.
Perbuatan vandalisme memberikan gambaran yang buruk kepada Kuala Lumpur dan negara ini di mata dunia. Sudahlah tidak membaca, tempat yang menempatkan buku untuk warga kota membaca pula dimusnahkan.
Kuala Lumpur dipilih oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Ibu Kota Buku Dunia ke-21, menjadi tuan rumah acara khusus berkaitan buku. Walaupun kedai buku semakin berkurangan tetapi pengiktirafan ini perlu dimanfaatkan oleh semua – birokrat dan orang ramai.
Inisiatif DBKL mengalakkan orang ramai membaca wajar dipuji tetapi mendirikan kios buku dianggap tindakan tidak tepat. DBKL sendiri tentu faham perangai sesetengah warga yang berfikiran kelas ketiga – vandalisme.
Saya tidak pasti berapa banyak yang memanfaatkan kios buku ini. Sepanjang pemantauan secara rambang, kelihatan tidak banyak yang memanfaatkan kios buku dan membaca di hentian teksi atau bas. Lebih menyakitkan mata apabila sesetengahnya rabak dan cermin berkecai.
Pihak berkuasa tempatan dilihat terburu-buru mendirikan kios kerana pertama, tidak menyumbang kepada pertumbuhan budaya membaca. Kedua, perbuatan vandalisme bukan perkara baharu di tempat-tempat awam di sekitar Kuala Lumpur. Pengalaman ini perlu dimanfaat sebagai pertimbangan sebelum mendirikan kios buku.
BELANJA
Alangkah baiknya kalau belanja mendirikan kios itu dialihkan pada program lain yang lebih diyakini meningkat budaya membaca. Misalnya mewujudkan ‘lorong buku’ seperti di bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam. Saya sengaja mengambil Vietnam kerana dari segi ekonomi dan sosial, negara itu berada jauh di belakang Malaysia. Malah bandar raya Ho Chi Minh sendiri agak mundur berbanding Kuala Lumpur. Tetapi di sebalik itu sudah lama wujud ‘lorong buku’ yang menjadi pusat menjual buku-buku terjemahan dalam bahasa tempatan dan Inggeris.
Tanpa memperkecilkan usaha DBKL, kita tidak dapat menafikan usaha sekumpulan peminat buku menganjurkan Pasar Buku Bangi sejak empat tahun lalu. Hasilnya agak lebih tertampil. Pasar Buku Bangi dianjurkan secara marhaen – berlapik tikar plastik di tapak letak kereta Perpustakaan Awam Bangi.
Perlu disebut juga, tanpa iltizam dan minat yang mendalam terhadap buku, pelopor Pasar Buku Bangi iaitu Madi Mad Saad, Fairuz Rosli dan Attokz mungkin tidak ‘membuang masa’ menjual buku. Lebih baik menjual tudung kerana pulangannya tinggi. Bagaimanapun, sebenarnya mereka tidak menjual buku tetapi menyebarkan ilmu dan pengetahuan yang dimuatkan dalam buku – termasuk yang sudah buruk dan kusam kerana ditelan usia. Ada juga sekelompok peminat buku yang memburu buku-buku buruk ini.
BERTIGA
Mereka bertiga menggerakkan Pasar Buku Bangi dengan tangan kosong. Tidak ada peruntukan. Bagaimanapun, bernasib baik kerana mendapat kerjasama daripada Perpustakaan Awam Bangi yang membenarkan ruang letak kereta digunakan pada setiap Sabtu kedua dan keempat. Kalaulah Pasar Buku Bangi mendapat dukungan kewangan seperti yang diberikan pada projek kios buku, tradisi membawa buku kepada pembaca di peringkat bawah pasti lebih besar. Purata 20 orang penjual buku nadir dan baharu menghidupkan suasana di ruang letak kereta.
Pengunjung juga pada relatifnya besar dan konsisten. Mereka dalam kalangan warga Bangi dan Lembah Kelang yang menjadikan Pasar Buku Bangi sebagai agenda tetap. Tidak kurang juga dalam kalangan ahli akademik, sejarawan dan budayawan. Profesor Emeritus Dr. Bukhari Lubis misalnya, menjadi pengunjung tetap Pasar Buku Bangi.
Pada 2019, perpustakaan awam itu ditutup untuk dibaik pulih dan Pasar Buku Bangi berpindah ke Bazar Karat Streel Mall, di sebelah Bangi Gateway, Bandar Baru Bangi. Pasar Buku Bangi kini dianjurkan oleh Attokz dengan sokongan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Kota Buku Bangi sebagai hos dan penyediaan tempat.
Menurut Attokz, Pasar Buku Bangi diposisikan oleh pencandu buku kepada peminat buku itu sendiri. Beliau hanya menyediakan premis yang terarah dalam persekitaran khusus, iaitu buku-buku nadir, cetakan terhad dan terpakai.
“Sedikit sebanyak diyakini menaikkan takah geraf dalam agenda budaya membaca. Ini jelas ditunjukkan pada setiap kali penganjuran Pasar Buku Bangi, kehadiran pengunjung daripada pelbagai strata kelompok masyarakat,” jelas Attokz.
Beliau mengimpikan Pasar Buku Bangi menjadi pusat pencarian buku-buku terpakai dan nadir seluruh negara – setaraf Pasar Kwitang, Jakarta atau Pasar Buku Daryaganj, New Delhi. Malah menumbuhkan penganjuran pasar buku lain di setiap bandar utama di seluruh negara.
“Dalam hal ini, diharapkan pihak DBKL mewujudkan bazar yang dipenuhi buku di sepanjang River of Life sejajar dengan penarafan Kuala Lumpur sebagai Ibukota Buku Dunia 2020,” jelas Attokz.
Buku yang baik tidak pernah ada luput tarikh. Ilmu di dalamnya tidak pernah ketinggalan zaman. Malah sentiasa memberi manfaat kepada pembaca sekalipun sudah jauh dari lingkaran zamannya. Tentu amat merugikan kalau ilmu yang sarat dalam sesebuah buku terperap di rak atau stor. Jadi, pasar bukulah tempat untuk buku berpindah tangan.
Ternyata Pasar Buku Bangi menyumbang kepada usaha menaikkan geraf membaca dengan caranya yang agak marhaen. Tetapi buku-buku yang dijual melangkaui sifat marhaennya. Di depan Pasar Buku Bangi ada sederet 10 kedai buku terpakai dan baharu. Di situ lubuk kepada pencinta dan pemburu buku.
PENULIS ialah Editor portal Kuseman.com.










